Friday, August 03, 2007

Produk hasil penyelidikan tempatan dari TMR&D

Tahniah kpd kumpulan penyelidik yang menghasilkan produk sebagaimana diterangkan dala artikel dibawah. Semoga produk tersebut dapat memudahkan akses internet terutama dikawasan luar bandar. Harap-harap kos bagi mendapatkan alat tersebut tidaklah mahal sangat kalau tidak ia tidak membantu masyarakat menjadi celik ICT. Bukan nak merendahkan para penyelidik tetapi saya harap jangan indah khabar dari rupa. TMNet yang mencatat untung yg tak kurang banyaknya, kena berikan kembali kpd pengguna dengan menurunkan kos broadband.


ADSL HomePlug sambung soket elektrik ke Internet

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN


JAAFAR Mohamad Abu Bakar (kanan), Azrin Aris (dua dari kanan) serta Kumpulan Penyelidik Wireline & IP Access berbincang mengenai ADSL HomePlug di Serdang, Selangor.

Penggunaan Internet, terutamanya di rumah, memang menjadi rumit apabila pengguna terpaksa membina pendawaian baru sekiranya timbul keperluan untuk menggunakan lebih daripada satu komputer untuk mengakses perkhidmatanInternet.

Lazimnya masalah akan timbul di kalangan pengguna yang tinggal di rumah teres dua tingkat, pangsapuri dan kondominium yang mempunyai beberapa bilik.

Pada umumnya pengguna akan terpaksa meletakkan komputer berhampiran dengan modem yang disambungkan terus pada talian telefon.

Ini menyebabkan komputer yang digunakan untuk mengakses Internet tidak boleh dialihkan ke tempat lain.

Pada pandangan pengguna, ini menyebabkan mereka tidak dapat bergerak sesuka hati di dalam rumah.

Masalah ini menjadi lebih rumit dan menyusahkan pengguna apabila ramai ahli sesebuah keluarga memerlukan akses Internet.

Misalnya bapa memerlukan akses Internet bagi mencari maklumat untuk menyiapkan kerja pejabat atau kertas kerja dan anak-anak yang sedang belajar pula memerlukan Internet bagi menyelesaikan kerja sekolah.

Kini semua masalah ini dapat diselesaikan dengan menggunakan ADSL HomePlug yang direka dan dibangunkan oleh penyelidik-penyelidik tempatan dari TMR&D.

Kerja-kerja reka bentuk peranti ini bermula pada tahun 2005 dan hasil daya usaha dan buah fikiran penyelidik-penyelidik ini serta sokongan dari ibu pejabat TM, mereka berjaya menghasilkan ADSL Homeplug.

Produk yang dibangunkan oleh Kluster Wireline & IP Access, Teknologi Rangkaian Akses, TMR&D merupakan produk pertama direka dan dibangunkan di negara ini yang menggunakan pencantuman teknologi ADSL dan PLC.

Ketua Program Teknologi Rangkaian Akses, yang juga Penyelidik Utama di TMR&D, Jaafar Mohamad Abu Bakar berkata, ADSL HomePlug membolehkan pengguna seisi rumah mengakses Internet dari mana-mana saja bahagian rumah, sama ada dari ruang tamu, bilik utama dan dapur atau dari mana-mana bahagian yang mempunyai pendawaian elektrik.

“Langkah TMR&D menghasilkan produk berkenaan adalah untuk mewujudkan persekitaran ‘One Home, Multiple Internet Access’ dan selaras dengan saranan kerajaan bagi meningkatkan Home Internet Adoption di Malaysia” katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Wireline & IP Access TMR&D, Azrin Aris berkata, produk berkenaan merupakan modem ADSL 2/2+ yang telah dipertingkatkan dengan teknologi talian kuasa elektrik jalur lebar (broadband power line) agar berupaya menyebarkan paket data melalui rangkaian elektrik yang ada di dalam rumah.

Suis data

Azrin berkata, dengan modem ADSL HomePlug bersepadu ini, rangkaian elektrik bertindak sebagai ‘suis data’ bagi seluruh rumah.

“Pengguna boleh menggunakan HomePlug Wall Adapter untuk mengubah mana-mana soket elektrik di rumah kepada port rangkaian untuk sambungan ke komputer” katanya lagi.

Wall Adapter tersebut amat mudah digunakan memandangkan ia tidak memerlukan pendawaian khas, hab berpusat atau suis.

Bukan itu saja, ADSL HomePlug juga dilengkapi dengan ‘Packet Inspection Firewall’ dan sokongan ‘Demetralized Zone’ (DMZ) bagi pilihan keselamatan penuh daripada penggodam.

ADSL HomePlug, menurut Azrin sangat sesuai digunakan di rumah-rumah, small office house office (SOHO) dan kafe siber.

Bagi tujuan keselamatan, peralatan HomePlug dilengkapi dengan 56-bit DES encryption bagi melindungi pengguna daripada pencerobohan di rangkaian elektrik.

ADSL Homeplug memenuhi keperluan pengguna yang mahu meningkatkan jumlah komputer tanpa memerlukan pendawaian data tambahan.

“Dengan peningkatan bilangan pengguna jalur lebar yang mempunyai lebih daripada satu komputer di rumah, ADSL Homeplug akan membantu pengguna berkongsi sambungan jalur lebar dalam sebuah rumah tanpa memerlukan sistem pendawaian data yang baru,” katanya.

Berdasarkan ciri-ciri yang ada pada ADSL Homeplug, ia dijangka akan menerima permintaan yang besar di kalangan pengguna.

ADSL Homeplug mudah digunakan dan dipasang pada mana-mana kediaman sama ada rumah teres, bunglow, apartmen serta kondominium.

Ia juga membantu ke arah persediaan penggunaan perkhidmatan Voice Over Internet Protocol (VOIP) di mana liputan rangkaian penuh amat diperlukan.

Azrin menambah, ciri ‘Simply Plug and Play’ yang ada pada produk ini menjadikan rangkaian rumah menjadi lebih mudah bagi semua orang dalam sebuah keluarga.

“Dengan hanya menyambung adapter ke plug, komputer atau peralatan elektronik, pengguna dapat berkongsi akses Internet, fail, muzik, video streaming di seluruh rumah tanpa sebarang masalah,” katanya.

ADSL Homeplug juga boleh membantu meluaskan liputan rangkaian WiFi yang terhalang oleh dinding konkrit.

Pengguna hanya perlu mengeluarkan kos antara RM240 hingga RM360 bagi satu set bergantung kepada bilangan ‘Wall Adapter’ yang diperlukan.


Sumber:

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_01.htm


No comments: