Turunkan harga minyak, agih untung Petronas untuk basmi kemiskinan - Anwar
Azamin Amin Mon | Aug 20, 07 | 08:57:15 AM | |
KUALA LUMPUR,20 Ogos (Hrkh) - Jika menang pilihan raya umum akan datang, Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim berjanji kepada rakyat untuk menurunkan harga minyak yang semakin membebankan serta menekan kos sara hidup, di samping mengagihkan keuntungan Petronas untuk membasmi kemiskinan. Demi memastikan kemenangan tersebut, beliau menyarankan kepada seluruh rakyat mengembleng tenaga dan bekerjasama bagi merealisasikan matlamat tersebut. “Apa yang perlu adalah semua bekerja keras untuk memastikan kemenangan pada pilihanraya akan datang," katanya ketika berucap di Pahang baru-baru ini. “Sudah tentu, semua golongan tidak mengira Melayu, Cina dan India akan mendapat manafaatnya untuk dikongsi bersama,” jelasnya. Menurut Suara KeADILan online, beliau sebelum itu turut menyentuh isu kepentingan menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang jelas merugikan semua pihak serta menguntungkan kroni tertentu dan perlu digantikan dengan Agenda Ekonomi Nasional yang mempunyai dasar yang lebih adil dalam pengagihan ekonomi negara kepada semua tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama. Beliau yang digandingkan dengan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man memberi ceramah di hadapan 5,000 orang hadirin di Jengka 4, Pahang. Anwar dalam ucapannya turut menyelar tindakan kerajaan pimpinan Abdullah Badawi membeli jet VVIP baru bernilai RM400 juta menggunakan wang rakyat sedangkan jet yang sedia ada masih boleh dipakai. Beliau menegaskan berkali-kali dalam ucapannya bahawa rakyat sekarang sudah semakin pandai dan tidak tahan lagi dengan keburukan kerajaan UMNO/BN. Dalam masa yang sama,Anwar membidas Naib Ketua Pemuda Umno Khairy yang didakwanya menyalahguna kuasa untuk mengaut kekayaan dalam usia yang begitu muda. Anwar dengan tegas mengumumkan akan memfailkan saman terhadap Khairy di atas beberapa tindakan dan kenyataan yang dibuat Khairy terhadapnya. Katanya, beliau mempunyai bukti yang mencukupi untuk menyaman Naib Ketua Pemuda Umno itu. Anwar dalam ucapannya turut menafikan kehadiran beliau dalam arena politik tanah air adalah untuk merampas jawatan menteri dan sebagainya. Menurut Anwar, beliau telah melalui kehidupan di dunia yang tidak pernah dirasai oleh orang lain, dari layanan sebagai Pemangku Perdana Menteri hinggalah kepada layanan seperti binatang, diaibkan dan di penjarakan selama enam tahun dimana makanan pun dibaling kepadanya seperti memberi makanan kepada binatang. “Saya telah melalui kehidupan daripada kehidupan mewah sebagai pemangku perdana menteri hinggalah kepada kehidupan hina di penjara,” katanya yang dipetik daripada Suara Keadilan online.-Az Sumber:http://www.harakahdaily.net/bm/index.php?option=com_content&task=view&id=9343&Itemid=28 |
No comments:
Post a Comment