Wednesday, December 20, 2006

Peguam Syarie Menulis: Cara baik selesai status agama

Melalui artikel ini saya dapat memahami dengan lebih baik persoalan yang berlaku, tetapi saya amat kesal dengan sikpa kerajaan yang seolah-olah sambil lewa sahaja dalam menangani hal-hal seperti ini dan dalam kes Rayappan seolah-olah ada tekanan politik sehingga keadaan menjadi serabut. PM sendiri seolah-olah tidak faham undang2 dengan meminta peguam negara campur tangan dalam urusan menentukan status Islam atau tidak seseorang sedangkan ia adalah bidang kuasa mahkamag syariah. Malang sungguh M'sia mempunyai pemimpin seperti ini. Cakap berbelit-belit dan berbunga0bunga tapi isi tarak.


Kes Nyonya Tahir contoh penentuan dilaksana tanpa ketegangan

ANTARA kes M Moorthy, Nyonya Tahir dan A Rayappan, ada persamaan dan perbezaannya. Persamaannya ialah dalam ketiga-tiga kes di atas keluarga si mati menuntut mayat si mati untuk dikebumikan mengikut upacara agama selain Islam. Namun ada banyak perbezaan antara ketiga-tiga kes di atas

Dalam kes M Moorthy, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mendapat perintah di mahkamah syariah yang memutuskan Moorthy Islam pada saat kematiannya. Malangnya ketika mahkamah syariah memutuskan penghakiman itu, keluarga si mati yang bukan Islam tidak dipanggil memberi keterangan.

Mahkamah sivil pula menolak permohonan keluarga si mati kerana tidak mempunyai bidang kuasa mencampuri urusan mahkamah syariah. Akibat keputusan ini, keluarga si mati mengatakan keadilan dinafikan kepada mereka kerana mereka tidak boleh pergi ke mahkamah syariah dan juga ke mahkamah sivil.

Alhamdulillah Moorthy atau nama Islamnya Muhammad Abdullah selamat dikebumikan mengikut cara Islam kerana mahkamah sivil tidak boleh campur tangan ataupun tidak menghiraukan perintah mahkamah syariah. Namun kes ini masih lagi dirayu di Mahkamah Rayuan Sivil.

Bagi kes Nyonya pula, perjalanan kes ini agak teratur dan tidaklah menimbulkan sebarang ketegangan. Ini adalah kerana keluarga Nyonya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mahkamah syariah dalam mencari keadilan. Keluarga si mati hadir ke mahkamah memberi keterangan dan bukti yang menunjukkan Nyonya tidak mengamalkan Islam.

Walaupun seorang perempuan yang dilahirkan dalam keturunan Melayu, Nyonya diisytiharkan bukan Islam pada saat kematiannya oleh Mahkamah Syariah Negeri Sembilan. Keluarga Nyonya tidak memfailkan sebarang tuntutan di mahkamah sivil. Kes ini menunjukkan keadilan mahkamah syariah dan mahkamah syariah bukan hanya membuat keputusan berpihak kepada orang Islam saja.

Apa yang penting di mahkamah syariah ialah bukti yang dibawa di hadapannya. Penyelesaian kes Nyonya adalah contoh bagaimana sesuatu pertikaian itu dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Nyonya disemadikan mengikut agama Buddha.

Amat berbeza pula apa yang berlaku di Selangor dalam kes Rayappan. Dalam kes ini Majlis Agama Islam Selangor memfailkan permohonan yang antara lain memohon pengisytiharan Rayappan adalah seorang Islam pada saat kematiannya.

Pada 1 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memutuskan antara lain bahawa Allahyarham Rayappan Islam pada masa kematiannya. Namun ketika keputusan itu dibuat keluarga si mati yang bukan Islam juga tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

Semakan dibuat oleh Mahkamah Rayuan Syariah Selangor dan memutuskan waris si mati perlu dipanggil untuk memberi keterangan di samping mengekalkan perintah bahawa si mati Islam pada waktu kematiannya. Waris si mati yang bukan Islam telah dijemput hadir ke mahkamah tinggi syariah untuk membantu mahkamah membuat keputusan melalui sapina, tetapi mereka enggan hadir atau memberi kerjasama kerana berpandangan mereka tidak terikat dengan mahkamah syariah disebabkan mereka bukan Islam. Sikap tidak menghormati mahkamah syariah ini sebenarnya tidak dapat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi dengan cara baik.

Namun tidak sampai beberapa jam selepas itu Mais membuat pengumuman bahawa mereka menarik balik permohonan di mahkamah syariah kerana kekurangan bukti. Apa yang menariknya ialah pada pagi 8 Disember mahkamah menolak notis penarikan balik Mais.

Pada ketika ini lebih dari 11 orang peguam syarie yang bertindak sebagai peguam pemerhati yang membantah penarikan balik itu. Peguam berkenaan mewakili badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Peguam Pembela Islam (PPI), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan peguam Muslim Malaysia (PPMM). Yang Arif Hakim Abu Zaky Muhammad memutuskan menolak notis penarikan balik itu dengan alasan bahawa suatu penghakiman sudah diberikan oleh mahkamah dan Mahkamah Rayuan Syariah sewaktu semakan mengarahkannya menjalankan perbicaraan. Alasan ini amat mudah difahami berdasarkan seksyen 95(1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang berbunyi:

”Plaintif boleh, dengan kebenaran Mahkamah, pada bila-bila masa sebelum penghakiman, menarik balik mana-mana prosiding keseluruhannya atau sebahagiannya dengan memberi notis dalam Borang MS 19 kepada mahkamah dan menyampaikan satu salinan notis itu kepada defendan.”

Oleh itu, notis penarikan balik yang difailkan oleh Mais ditolak oleh mahkamah pada sebelah pagi. Apa yang sangat mengejutkan ialah apabila disiarkan melalui akhbar dan televisyen, Mais mengumumkan mereka mendapat kebenaran menarik balik itu pada jam 3 petang sedangkan di sebelah paginya mereka gagal berbuat demikian.

Yang lebih mengejutkan kebenaran itu diberikan oleh hakim sama yang menolak permohonan pada sebelah pagi. Mahkamah syariah mempunyai kaedah dan tatacaranya sendiri yang diikuti secara jelas. Kaedah dan tatacara ini pula digarap oleh pakar perundangan syariah berdasarkan hukum syarak dan pandangan para alim ulama' termasuklah seksyen 95 yang dinyatakan di atas.

Maka timbullah pelbagai persoalan di sini adakah perubahan keputusan secara mendadak ini akibat faktor luaran, tekanan ataupun bagaimana? Kenapa pula mahkamah syariah yang sama boleh menukar penghakiman dalam tempoh beberapa jam saja sedangkan ada Arahan Amalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakim Syariah Malaysia yang menegah seorang hakim mengubah perintahnya sendiri? Tidakkah mahkamah syariah bebas dari campur tangan orang luar?

Persoalan ini timbul kerana mahkamah syariah memilih untuk tidak mengikuti tatacara yang diterima pakai. Amatlah malang bagi sebuah mahkamah yang berlandaskan agama ini terpaksa tunduk kepada tekanan.

Dalam kekecohan di mahkamah syariah ini pula, keluarga si mati berjaya membawa mayat Rayappan dan dibakar pada 8 Disember. Saman Pemula yang difailkan di mahkamah sivil oleh keluarga bukan Islam si mati pula tidak menamakan Mais sebagai salah satu pihak. Motif ini perlu dipersoalkan. Mungkinkah ada agenda tertentu yang hendak dilakukan?

Mais seharusnya bersikap lebih proaktif dan profesional berlandaskan undang-undang dan hukum syarak. Bukanlah tugas Mais menentukan seorang itu Islam ataupun sebaliknya. Adalah jelas ia di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Apa yang patut dilakukan oleh MAIS ialah mendedahkan kehidupan Islam Rayappan ketika hayatnya. Dikatakan ada saksi yang boleh memberi keterangan itu tetapi takut untuk menonjolkan diri. Mais perlu memujuk mereka untuk tampil menegakkan keadilan. Begitu juga 'deed poll' yang dikatakan ditandatangani oleh Rayappan itu perlu disahkan kebenarannya dengan memanggil saksi atau dilakukan ujian mengenai kesahan tanda tangan di dalam ‘deed poll’ itu bagi memastikan ia benar-benar tandatangan Rayappan. Selepas perkara ini dikemukakan maka terpulanglah kepada mahkamah bagi menentukan status Islam Rayappan.

INTI PATI
Kes tuntutan mayat


  • Kes M Moorthy, Nyonya Tahir dan A Rayappan, ada persamaan dan perbezaannya. Persamaannya ialah dalam ketiga-tiga kes keluarga si mati menuntut mayat si mati untuk dikebumikan mengikut upacara agama selain Islam.

  • Keluarga Nyonya Tahir hadir ke mahkamah memberi keterangan dan bukti yang menunjukkan Nyonya tidak mengamalkan Islam.

  • Pada 1 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam memutuskan antara lain bahawa Allahyarham Rayappan Islam pada masa kematiannya. Namun ketika keputusan itu dibuat keluarga si mati yang bukan Islam juga tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

    Penulis Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia
  • Ufuk Minda: Al-Quran asas bawa hikmah kajian ilmu

    Artikel ini seharusnya menjadi renungan kepada umat Islam terutama yang mengetepikan Al-Quran daripada kerja buat mereka sedangkan Quran mempunyai petunju yang akan menajdikan kehidupan kita didunia dan akhirat berada diatas landasan yang diredhai Allah.




    ILMU dan pendidikan adalah perkara asas dalam pembentukan integriti seseorang manusia. Ilmu memberi suluh dan jalan dalam kehidupan. Ilmu memberi hikmah dan berkat bagi yang mengamalkannya dengan amanah dan jujur. Ilmu apabila diolah dalam proses didik membentuk watak dan sikap. Ilmu tidak sekadar maklumat, data, fakta, hipotesa atau teori mengenai sesuatu tetapi ilmu terkandung makna.

    Sesuatu yang kita terima sama ada menerusi jalan fikir, kaji selidik, pengalaman dan pemerhatian, menjadikan kita tahu sesuatu. Pengetahuan mengenai sesuatu menyebabkan kita berilmu. Ilmu saja tidak memadai tanpa adanya hikmah.

    Hikmah datangnya daripada al-Quran iaitu daripada Allah. Al-Quran memberikan kita petunjuk dan pedoman. Tanpa bimbingan al-Quran manusia hilang makna memahami maksud kewujudan diri, kewujudan alam, kewujudan sekitar apalagi alam ghaib. Dalam Islam, hikmah menjadi suluh membantu jalan fikir dan kaji selidik supaya sesuatu yang ditemui dan diaplikasi membawa mendekatkan manusia terhadap Pencipta.

    Al-Quran memberikan manusia asas ilmu mengenai kejadian alam. Konsep dukhan iaitu asap menjadi rahsia yang amat menarik dikaji oleh saintis harini mengenai asal kejadian alam semesta. Teori ‘Big Bang’ atau Dentuman Besar terbina di Barat mempunyai kaitan dengan asas kejadian bumi.

    Konsep alaqa dalam surah al Alaq dan konsep saripati tanah yang ada dalam air mani dinyatakan dalam ayat 12-14 dalam Surah al Mukminun adalah landasan yang amat menarik bagaimana al-Quran, sejak 1400 tahun menyatakan asas saintifik sebagai pedoman manusia dalam melakukan kajian terhadap alam, bumi dan manusia. Inilah hikmah yang amat utama perlu menjadi rujukan manusia kerana alam, bumi dan manusia adalah diciptakan dan daripada Pencipta maklumat dan hikmah diperolehi.

    Pendidikan pula bukan sekadar suatu proses pindahkan maklumat, pengalaman, pengetahuan dari seorang bapa kepada seorang anak atau dari seorang guru terhadap murid, dari seorang pensyarah terhadap pelajar, tetapi ia adalah suatu proses didik.

    Proses didik membawa maksud bagaimana dengan fakta yang benar, maklumat yang baik, pengetahuan berguna, nilai murni membentuk pemikiran, sikap, watak dan tingkah laku seseorang supaya kegiatan diri dan hidupnya berada dalam keadaan fitrah. Fitrah di sini bermaksud seseorang manusia berada dalam keadaan yang baik, melakukan sesuatu mematuhi faktor syarak dan menjadikan dirinya berguna pada diri dan berguna kepada pihak lain.

    Pendidikan juga dihubungkan sebagai proses pembentukan adab. Adab dikaitkan dengan disiplin minda, disiplin hati dan disiplin amal. Bagaimana manusia berfikir dan apa yang difikirkan memerlukan disiplin. Tanpa disiplin manusia akan cenderung memikirkan apa saja dan menyebabkan lahirnya fikiran yang tidak berfaedah.

    Disiplin minda menjadikan seseorang berfikir dengan tertib, tersusun dan sistematik . Adab berfikir seperti ini membolehkan seseorang menjadikan buah fikiran sesuatu yang bermanfaat dan berdiri atas kebenaran dan kebaikan. Tanpa disiplin minda ilmu yang dipelajari bukanlah ilmu yang bermanfaat dan ianya menjadikan pemikiran hilang arah dan pedoman.

    Disiplin hati menjadikan seseorang memiliki kawalan emosi, niat dan kecenderungan, keinginan dan kecenderungan yang sejalan dengan fikiran yang baik. Sekiranya nafsu diri berada dalam keadaan mutmainnah atau nafsu yang tenang, hati berada dalam keadaan yang murni dan emosi berada dalam keadaan yang stabil, diri manusia akan berada dalam fitrah. Apa yang difikir, apa yang dirasa dan apa yang diamal apabila memiliki disiplin yang tinggi membolehkan proses adab berlaku.

    Disiplin amal menjadikan perbuatan dan tindakan seseorang dipandu oleh akal dan pemikiran yang baik. Ianya akan menjadi lebih baik lagi sekiranya kekuatan hati yang terpancar nilai jujur, amanah, adil, bersyukur, tulus dan telus untuk memandu amal dan perbuatan ke jalan baik dan berguna. Pemikiran dan nilai baik sekiranya dihayati dengan betul, ianya boleh memberi kesan yang baik terhadap kehidupan.

    Adab yang menjadikan seseorang itu amanah, jujur, ikhlas, adil, bertimbang rasa, sentiasa sukakan kebenaran dan kebaikan dan melihat diri serta sekitarnya sebagai sumber rahmah dan nikmah yang perlu diuruskan dengan betul dan saksama. Kesedaran adab menghubungkan manusia dengan Pencipta. Takwa menjadi teras penghubung manusia terhadap Pencipta.

    Sekiranya takwa menjadi sumber penghayatan insan, lahirlah integriti yang amat tinggi ialah melakukan sesuatu kerana Allah (ikhlas) dan berhikmah untuk manusia. Inilah asas integriti yang amat perlu bagi setiap manusia supaya manusia tidak menyeleweng atau melampaui batas. Integriti ini apabila berfungsi di tempat kerja ianya bakal menghasilkan kualiti kerja yang baik dan produktiviti khidmat dan barangan yang tinggi kerana kerja dalam konteks orang yang bertakwa dihubungkan sebagai amal dan ibadah.

    Faktor inilah yang mendorong manusia melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya, amal jariah semaksimum kerana jalan ibadah ini bakal menentukan hubungannya dengan Pencipta dan ketentuan dirinya di akhirat nanti. Inilah integriti manusia sebagai insan yang diciptakan untuk melakukan kebaikan dan kemakrufan dalam hidup dan memberi manfaat kepada yang lain.

    Sumber:http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Agama/20061220000358/Article/

    Wednesday, December 06, 2006

    Hadiah BN Selangor kepada Rakyat Marhain

    Membaca berita ini, hati saya merasa sayu mengenangkan nasib rakyat Malaysia yang diperlakukan oleh pemerintah yang mereka pilih bagaikan mereka tiada harga diri dan marah kepada K'jaan Selangor yang ditunjangi UMNO yang rakus serta tiada pertimbangan kepada rakyat. Mudah-mudahan rakyat akan sedar akan kezaliman k'jaan ini dan akan menjatuhkan k'jaan ini dlm pilihanraya akan datang. Semoga ramai lagi akan sedar sebagaimana mak cik Yani.


    Majlis perkahwinan tergendala angkara MPAJ
    PDF Cetak E-mail
    Anis Nazri
    Wed | Dec 06, 06 | 12:41:40 AM

    AMPANG JAYA, 6 Dis (Hrkh) - Hasrat seorang ibu melihat anaknya bersanding, berkecai apabila majlis yang dirancang 10 Disember ini di Kampung Berembang terpaksa dibatalkan kerana rumah yang didiami mereka dirobohkan MPAJ.

    Norhayani Mohd Yusof, 49, ketika ditemui jelas kesal dan kecewa dengan sikap pihak berkuasa yang tidak berperikemanusiaan, bertindak merobohkan rumah penduduk sesuka hati, di saat keluarganya sibuk mengadakan pelbagai persiapan perkahwinan anaknya.

    Majlis perkahwinan yang direncana akan diadakan di Teluk Intan, Perak pada 10 Disember ini, terpaksa ditangguh kerana sebahagian persiapan majlis perkahwinan itu dimusnahkan MPAJ.

    Bagaimanapun, setelah tragedi 30 November lalu, yang menyaksikan surau kampung mereka pula dirobohkan, majlis itu terpaksa dibatalkan kerana tiada sumber air dan elektrik.

    Kejam atau tidak, tanpa memikirkan ribuan wang yang dibelanjakan untuk persiapan itu, MPAJ yang kering hatinya bertindak merobohkan rumahnya dan rakan-rakan sekampung, 20 November lalu.

    Anaknya yang juga bakal pengantin baru, Norhasliana Osman, 22, agak sebak mengenangkan persiapan perkahwinannya yang lebur sekelip mata.

    Beliau yang turut dikejarkan dan dirawat di High Dependency Unit (HDU), Hospital Gleneagles Intan, Ampang kerana dibelasah FRU pada hari kejadian, tidak dapat membayangkan kesedihan yang ditanggungnya.

    "Saya terpaksa batalkan beberapa persiapan di Teluk Intan seperti baju pengantin, hantaran, dan sebagainya, kerana tidak sanggup meninggalkan 'rumah' kami di sini. Bagaimanapun, Alhamdulillah, kami dinikahkan sebelum kejadian," kata beliau sambil merenung jauh.

    Norhasliana cukup berterima kasih kepada suaminya yang sanggup berhujan dan berpanas di khemah keluarganya dengan meninggalkan sementara keluarga sendiri di Jinjang.

    Bagi beliau, sekurang-kurangnya kehadiran suaminya, Hanafi Baginda Karek di sisi menjadi pelengkap kepada dirinya untuk sama-sama memperjuangkan hak keluarga mereka.

    "Alhamdulillah suami begitu memahami dan sanggup bersama saya. Biarpun kehidupan kami tidak seperti pasangan lain, saya tetap bahagia dengan sokongannya," kata beliau.

    Sementara itu, Norhayati, ketika diminta menceritakan semula saat-saat menyayat hati, dengan wajah penuh sedu terdiam seketika.

    "Makcik anggap ini bagai tsunami. Bukan tsunami bencana alam, tetapi bencana MPAJ. MPAJ yang bertanggungjawab membuat mak cik sekeluarga begini," keluh beliau dengan air mata bergenang di sudut mata.

    Bermula tarikh 20 November lalu, Norhayati mula membina khemah untuk berteduh bagi 11 orang, termasuk menantu, anak buah dan seorang cucu.

    Bertemankan cahaya lampu di tepi jalan, Norhayati tidak 'terkata apa-apa' bila ditanya tentang keadaan cucunya yang tidur bertemankan dingin malam musim tengkujuh, dan hanya menyapu air mata yang mengalir di pipi.

    Jelas, kemusnahan ciptaan MPAJ dengan arahan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo, menjadikan warga pengundi setia BN merempat di tanah air sendiri.

    "Makcik dah tawar hati dengan kerajaan. Makcik sentiasa sokong kerajaan, tapi ini yang dilakukan terhadap kami. Apa yang nak dibangga dengan hantar bantuan ke luar negara, sedangkan rakyat sendiri ditindas tanpa belas kasihan," tegas beliau.

    Bak 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan', begitulah yang boleh dilabelkan ke muka kerajaan negeri Selangor pimpinan Khir dan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

    Jika Malaysia berbangga dengan menghantar bantuan tentera pengaman ke negara bergolak, serta mengutuk kekejaman Israel, hakikatnya ia hanyalah tempelan semata-mata.

    "Kalau Israel, mereka musnahkan orang Islam. Tapi di Malaysia, orang Islam sendiri yang kenakan orang Islam," marah beliau lagi sambil mengemas dan menyapu sekitar khemahnya.

    Menetap hampir 30 tahun di kampung terbabit, Norhayati mengadu tiada seorang wakil rakyat pun yang hadir menjenguk keadaan mereka selepas rumah dirobohkan.

    Katanya, jika waktu pilihan raya, jangan ditanya ke mana wakil rakyat. Sudah tentu ada di depan mata, menjanjikan pelbagai 'gula-gula pilihan raya' sebagai upah mengundi mereka.

    Malah, cerita beliau, Adun Bukit Antarabangsa, Tuan Azman Wahid, pernah berkata dengan angkuh, tiada seorang peguam pun yang menang dalam kes melibatkan setinggan, apabila mengetahui penduduk menggunakan khidmat peguam.

    "Bayangkan, hancur tidaknya hati kami mendengar wakil rakyat berkata demikian kepada kami, sedangkan kepada dialah tempat kami mengadu dan mengemukakan masalah," keluh beliau. - mks.

    Monday, December 04, 2006

    Pendakwah Islam perlu lebih aggresif sebar dakwah



    PDF Cetak E-mail
    Saya berharap artikel ini dapat menyedarkan umat Islam daripada lena mereka termasukgerakan Islam supaya tidak menumpu kepada ceramah politik sahaja. Usaha dakwah Islam mesti dibuat sebagaimana pentingnya pilihanraya kepada mereka. Wujudkan entiti yang fokus kepada usaha dakwah Islam.

    Mohd Sabri Said

    Sun | Dec 03, 06 | 04:22:14 AM

    KEPALA BATAS, 3 Dis (Hrkh) - Pendakwah Kristian lebih agresif melakukan kerja-kerja dakwah berbanding pendakwah Islam yang dilihat lebih cenderung mendapat imbuhan dunia.

    Bekas aktivis Kristian, Kamarudin Abdullah berkata, tidak hairan pendakwah mereka sanggup hidup di hutan atau tinggal bersama keluarga di kawasan pendalaman untuk melebarkan pengaruh agama Kristian.

    "Pendakwah Kristian kuat bekerja untuk agama mereka tetapi pendakwah kita ada yang lena dibuai habuan dunia. Bila kita ajak berdakwah ke kawasan pendalaman tanpa imbuhan besar ada di antaranya menolak dengan berbagai alasan, " terangnya ketika berucap membentangkan kertas kerja bertajuk 'Kristianisasi: Memahami dan Menanganinya' bertempat di Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) Kepala Batas sempena Persidangan Ulamak Utara (Perantara) semalam.

    Menurutnya, pendakwah Kristian rela ke Sabah, Sarawak serta penempatan orang asli kerana mereka tahu pendakwah Islam kurang memberikan tumpuan ke situ.

    Fenomena ini sangat memalukan Islam kerana ramai pendakwah Islam hari ini terlalu mengikut kehendak semasa seperti memiliki rumah dan kereta besar.

    "Hal ini sungguh memalukan. Sepatutnya pendakwah kita ke hadapan kerana itulah saranan Nabi Muhamad s.a.w, sanggup menanggung risiko semata-mata kerana Islam. Ini tidak makin ramai pendakwah kita ke belakang kerana bimbang kehilangan pangkat dan wang," jelasnya.

    Hasilnya, kumpulan yang mengelar diri mereka dengan nama Islam seperti Sisters In Islam (SIS) tanpa merasa was-was untuk melancarkan serangan secara terbuka.

    Sementara itu, pendakwah bebas dan bekas aktivis Hindu, Ustaz Mohd Fitri Abdullah menambah, berbagai cara Persatuan Hindu Sanggam di Malaysia dan Persatuan Hindu Sedunia merancang untuk menarik lebih ramai umat Islam menyertai mereka.

    Jesteru, mereka melancarkan projek lima tahun dalam setiap persidangan mereka.

    Antara perencanaan utama mereka ialah melalui tayangan filem yang mengambarkan keindahan dan kesucian agama tersebut.

    "Di Malaysia sebagai contoh ramai yang terpersona dengan hiburan termasuk filem Hindustan yang menceritakan keharmonian agama Hindu. Bukan itu sahaja malahan mereka sengaja menonjolkan hero yang tampan agar umat Islam khasnya gadis remaja tergila kepada pemuda Hindu yang mempunyai mirip hero pujaan mereka," katanya dengan nada tegas. - mns

    Source:http://harakahdaily.net/v061/index.php?option=com_content&task=view&id=5524&Itemid=29



    Sunday, October 08, 2006

    Kepentingan Iktikaf

    Apa saya membaca artikel ini, saya amat bersetuju dengan penulis. Susah kita nak melihat amalan iktikaf seperti yang dinyatakan oleh penulis ditanahair tetpai keaddan tersebut dapat dilihat di Scotland. Masjid-masjid yang rata-ratanya diuruskan oleh masyarakat Islam yang merantau ke Scotland. Mereka akan membuat kawasan khas dimana para peserta iktikaf akan tinggal dan meletakkan barangan mereka. Kedaan sepeerti ini menjadi sukar apabila pemerintah sendiri kurang menggalakan usaha kearaah tersebut, apabila hampi 10 hari terakhir puasa, stesyen TV milik kerajaan dan swasta akan memutarkan lagu-lagu raya dan juga mengiklankan program-program yang bakal ditayangkan sempena hari lebaran. Perkara seperti ini hanya akan berubah jika orang yang memegang tampok pemerintahan adalah orang yang benar-benar beriman dengan Allah SWT.

    Semarakkan amalan iktikaf Oleh: MOHD. SHAUKI ABD. MAJID

    Sedar atau tidak dalam konteks komuniti Islam di Malaysia sejak awal, ibadah penting yang satu ini iaitu iktikaf di masjid pada bulan Ramadan tidak begitu popular. Padahal al-Quran menyebutnya beberapa kali, walaupun tidak dalam bentuk kutiba (diwajibkan seperti dalam perintah puasa, qishash dan wasiat) atau fi'il amr (kata kerja perintah seperti solat, haji, berperang, dan sebagainya). Dalam kitab-kitab hadis juga banyak membicarakan satu bab khusus tentang iktikaf ini. Wahbah az-Zuhaili, guru besar fikih Universiti Damsyik merumuskan bahawa yang menjadi tujuan iktikaf itu adalah membersihkan hati dengan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. serta menghentikan aktiviti keduniaan pada waktu-waktu tertentu semata-mata untuk beribadah kepada-Nya. Oleh kerana itu, dianjurkan iktikaf dilakukan dalam keadaan berpuasa, bagi mendekatkan lagi diri kepada Allah. Ketika Nabi Ibrahim berjaya menunaikan beberapa perintah Tuhan, termasuk di antaranya membangun Baitullah - (Kaabah) bersama anaknya Ismail - Tuhan lalu memerintahkan kepada keduanya agar tetap menyucikan rumah Allah tersebut bagi melaksanakan tiga kegiatan ibadah. Dan (ingatlah) ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam (tempat berdiri) Ibrahim sebagai tempat solat. Dan kami telah membuat janji dengan Ibrahim dan Ismail agar menyucikan rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang iktikaf, yang rukuk, dan yang sujud. (al-Baqarah [2]: 125). *Fungsi Ayat ini jelas menyebut bahawa salah satu fungsi tempat ibadah ialah iktikaf. Tapi kini di manakah fungsi itu? Hampir kita tidak menemuinya lagi. Bahkan ada sebahagian pengurus masjid melarang orang untuk iktikaf. Iktikaf mereka bolehkan tetapi dalam pengertiannya yang sangat sempit, iaitu sekadar berdiam sejenak. Padahal Nabi jelas mencontohkan iktikaf selama sepuluh hari terakhir di bulan Ramadan. Surah al-Baqarah yang menerangkan secara terperinci pelaksanaan puasa berserta hal-hal yang berkait dengannya juga jelas bersambung dengan masalah iktikaf ini. Perhatikanlah ayat berikut ini: Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri kamu. Mereka adalah pakaian bagi kamu dan kamu (juga) pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan diri, kerana itu Dia menerima taubat dan memaafkan kamu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang Allah telah tetapkan bagi kamu; makan minumlah hingga terang bagi kamu (perbezaan antara) benang putih dan benang hitam, di waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam. Tetapi janganlah kamu mencampuri mereka (isteri kamu) sementara kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah larangan Alah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikanlah Allah menerangkan ayat-ayatnya kepada manusia, mudah-mudahan mereka bertaqwa. (al-Baqarah ayat 187). Membicarakan persoalan ini banyak hadis Nabi dapat kita temui dalam kitab Bukhari-Muslim yang diriwayatkan dari Ibnu Umar, Anas, dan Aisyah seperti berikut ini: Bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. melakukan iktikaf di sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sejak tiba di Madinah sampai beliau wafat. (H.R. Bukhari-Muslim). Riwayat lain menyebutkan: Sesungguhnya Nabi s.a.w. melakukan iktikaf di sepuluh hari kedua dari bulan Ramadan dan sepuluh hari terakhir bulan tersebut. Beliau terus melakukan amalan ini sampai akhir hayatnya. Kemudian amalan tersebut dilanjutkan oleh isteri-isterinya. (Kalau hadis ini benar, bererti ada dua kemungkinan waktu iktikaf Nabi. Pertama, beliau beriktikaf selama 20 hari terakhir dari bulan Ramadan. Kedua, Nabi kadang-kadang melakukannya pada 10 hari kedua dan kadang-kadang 10 hari terakhir.) Nabi menganjurkan sambil mengamalkan iktikaf di masjid dalam rangka perenungan dan penyucian jiwa. Masjid adalah tempat suci. Segala aktiviti kebajikan bermula di masjid. Di masjid pula seseorang diharapkan merenung tentang diri dan masyarakatnya, serta dapat menghindar dari hiruk-pikuk yang menyesakkan jiwa dan fikiran bagi memperoleh tambahan pengetahuan dan pengkayaan iman. Itu sebabnya ketika melaksanakan iktikaf, dianjurkan untuk memperbanyak doa dan bacaan al-Quran, atau bacaan-bacaan lain yang dapat memperkaya iman dan takwa. Memang iktikaf boleh dilakukan di mana saja. (Sebelum diangkat jadi rasul, Nabi Muhammad melakukannya di Gua Hira). Tetapi berdasarkan sunah yang ditunjukkan Nabi sepanjang hidupnya di Madinah, beliau terus melakukannya di masjid. Penekanan masjid sebagai tempat iktikaf menjadi sangat penting mengingatkan tempat tinggal Nabi sesungguhnya bersambung dengan masjid. Ertinya, seandainya masjid tidak begitu penting dalam hal tempat, maka Nabi boleh saja memperbanyak (melakukan dengan tekun) ibadah di masjid tapi kemudian istirahat dan tidur di rumahnya. Tapi nyatanya Nabi tidak melakukan itu. Itu tanda bahawa masjid adalah satu-satunya tempat yang boleh digunakan untuk iktikaf. Tentu saja selama masjid tersebut memiliki kemudahan yang memungkinkan orang untuk tinggal beberapa hari di sana; misalnya tandas, bilik mandi, bilik persalinan menukar pakaian dan sebagainya. Ingatlah iktikaf bukannya wahana untuk berdiskusi, apa lagi untuk berbual kosong. Juga bukan tempat istirahat atau tidur. Tidur dilakukan untuk sekadar menjaga keadaan tubuh agar tetap sihat. Iktikaf adalah wahana untuk bersungguh-sungguh dalam mengintrospeksi diri atau berfastaniqul khairat (berlumba-lumba) dalam memperbanyak ibadah. Pernahkah kita terfikir mengambil cuti bekerja untuk beriktikaf? Pertanyaan ini sangat ganjil. Tetapi ganjil bukan bererti salah. Banyak perkara yang selalunya dianggap ganjil tetapi kini diterima sebagai suatu kebenaran. Sebelum ini kita hanya mengambil cuti berehat ketika untuk bersama keluarga. Demikian juga ketika untuk balik kampung menjelang hari raya. Itu sama sekali tidak salah. Apa yang penting semua itu boleh memberi kebahagiaan diri dan keluarga. Tetapi kalau difikir-fikir secara mendalam apakah semua ini tidak boleh dilakukan sebelum hari raya sehingga harus mengorbankan momentum ibadah yang sangat penting dan hanya datang sekali dalam setahun itu? Mengunjungi orang tua dan sanak saudara boleh dilakukan pada bila-bila masa. Tetapi iktikaf 10 hari terakhir Ramadan tidak dapat dipindah pada waktu yang lain. Dalam hal ibadah ini kita harus mencontohi Nabi. Pernahkah kita mendengar Nabi dan sahabat-sahabatnya membuat persiapan untuk pulang ke kampungnya di Mekah menjelang Aidilfitri? Nabi juga manusia biasa, pasti ada kerinduan kepada kampung halaman dalam dirinya. Tetapi kenapa beliau memilih untuk tinggal di masjid? Ini adalah kerana alasan spirituil dan iktikaf adalah sebahagian dari syariat. Seandainya kita dan keluarga pernah merasakan betapa indah ibadah ini (iktikaf) nescaya kita akan berlumba-lumba memohon cuti untuk melaksanakan ibadah iktikaf itu. Malam Qadar yang ditemui atau yang menemui Nabi pertama kali beliau menyendiri di Gua Hira, merenung tentang diri beliau dan masyarakat, saat jiwa beliau mencapai kesucian, turunlah Ar-Ruh (Jibril) membawa ajaran dan membimbing beliau sehingga terjadilah perubahan keseluruhan dalam perjalanan hidup beliau bahkan perjalanan hidup umat manusia. Kerana itu pula beliau mengajarkan kepada umatnya, dalam rangka menyambut kehadiran lailatulqadar itu, antara lain adalah melakukan iktikaf. Mengapa nabi memilih iktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan, bukan pada 10 hari terawal? Alasannya mungkin berkaitan dengan kedudukan puasa nabi yang kian hari kian meningkat dan alasan kedua kerana ia berkaitan dengan lailatulqadar. Sebenarnya untuk mendapatkan lailatulqadar tidak cukup dengan kesungguhan beribadah pada malam itu saja. Ibadah harus dirintis dari awal sehingga kita bersedia dari segi persiapan rohani untuk menerima kedatanganya. *Pandangan Walaupun iktikaf dapat dilakukan bila-bila masa dan dalam waktu beberapa lama saja bahkan dalam pandangan Imam Syafii, walau sesaat selama disertai oleh niat yang suci-namun Nabi selalu melakukannya pada pada 10 hari dan malam terakhir bulan Ramadan. Di sinilah beliau bertadarus dan merenung sambil berdoa. Salah satu doa yang paling sering beliau baca dan hayati maknanya adalah: Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa neraka. (al-Baqarah [2]: 201). Doa ini bukan sekadar bererti permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan kebajikan akhirat, tetapi ia lebih-lebih lagi bertujuan memantapkan langkah dalam usaha meraih kebajikan, kerana doa mengandungi erti permohonan yang disertai usaha. Permohonan itu juga bererti usaha untuk menjadikan kebajikan dan kebahagiaan yang diperoleh dalam kehidupan dunia ini, tidak hanya terbatas di dunia, tetapi terlanjur hingga hari kemudian kelak. Ibadah yang harus diberi tumpuan semasa iktikaf a. solat-solat sunat b. Membaca al-Quran c. Zikir d. Doa Amalan tambahan yang dapat menyempurnakan iktikaf sesuai dengan falsafahnya. Kita sebut ini sebagai amalan sokongan. Ada tujuh hal yang penting di sini iaitu: Mengurangi lima perkara: a. kurangkan makan minum b. Kurangkan tidur istirahat c. Kurangkan keluar masjid d. Kurangkan bicara e. Kurangkan berkeliaran Menghindari lima perkara: a. Hindari meninggalkan iktikaf b. Hindari berhubungan dengan pihak luar c. Hindari batal wuduk d. Hindari melihat lawan jenis (bukan muhrim) e. Hindari bicara sia-sia Mematuhi lima perkara: a. Tidur/istirahat tepat waktu b. Tidur memakai alas c. Sahur tepat waktu d. Patuhi peraturan masjid e. Patuhi tata tertib Ada tujuh perkara yang dilarang: a. Dilarang mengganggu peserta lain b. Dilarang membangunkan tanpa diminta c. Dilarang menggunakan tempat yang terlarang d. Dilarang memakai barang orang lain (termasuk alas kaki) tanpa izin e. Dilarang menempatkan barang di sebarang tempat f. Dilarang menbazir atau boros ( makan-minum, dan sebagainya) g. Dilarang membuang sampah sebarangan Ada lapan perkara yang tidak boleh ada di hati: a. Amarah b. Bakhil c. Rakus d. Senang dilayani e. Iri hati f. Dendam g. Buruk sangka h. Sentiasa diawasi Ada lapan perkara yang harus ada di hati: a. Sakinah (sikap tenang) b. Senang memberi c. Senang berkhidmat d. Sederhana e. Simpati f. Pemaaf g. Baik sangka h. Memahami

    - PENULIS ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).


    Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

    Tuesday, September 26, 2006

    Internet generasi baru

    Teknologi Internet yang diperkenalkan sejak 1960 yang pada awal adalah bagi tujuan ketenteraan US tetapi akhirnya dijadikan projek awam yang melibatkan beberapa universiti di US sehinggalah ianya berkembang pesat sehingga kini dan protokol TCP/IP menjadi protokol standard. Pengguna internet yang meningkat dengan begitu cepat sehingga IPv4 tidak lagi mampu menampung peningkatan yang pesat tersebut sehingga memaksa para penyelidik internet mencari jalan, akhirnya mereka mengemukan idea IPv6. Sejarah Internet boleh diperolehi dipelbagai laman web antaranya http://www.walthowe.com/navnet/history.html


    China bina rangkaian Internet generasi baru

    BEIJING 25 Sept. – China membina rangkaian Internet generasi baru yang paling laju, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada firma asing.

    Televisyen Pusat China melaporkan, Rangkaian Penyelidikan dan Pendidikan China 2 telah dihubungkan dengan 167 institusi dan jabatan di 25 buah universiti di 20 bandar melalui Protokol Internet versi 6 (IPv6).

    Internet yang digunakan pada masa sekarang di negara ini dikendalikan oleh Protokol Internet versi 4 yang dihadkan oleh nombor-nombor alamat Internet yang boleh dihasilkan, serta kekurangan keselamatan tambahan dan fungsi teknologi tinggi.

    Protokol baru boleh bekerja pada kelajuan 2.5 gigabait hingga 10 gigabait maklumat sesaat, 100 kali lebih pantas daripada kelajuan Internet sekarang.

    Para penyelidik di Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Korea Selatan juga sedang membina teknologi IPv6 yang dijangka mendapat “penguasan global yang signifikan” menjelang 2010.

    Menurut maklumat IPv6 yang terkandung dalam laman web Microsoft, IPv6 dan IPv4 boleh digunakan secara serentak beberapa tahun akan datang memandangkan operator Internet dan pengguna komputer kediaman secara beransur-ansur beralih kepada teknologi baru.

    IPv6 dijangka mampu mengendali nombor infiniti alamat Internet, menawarkan keselamatan yang lebih baik dan lebih mudah digunakan pada telefon bimbit serta peranti komputer kendalian tangan.

    Para penyelidik di China mendapat kebenaran kerajaan bagi membuat penyelidikan dan mengadakan protokol baru Internet pada 2003 yang bertujuan membantu syarikat teknologi tinggi domestik membina perkakasan komputer yang kompetitif bagi Internet generasi baru.

    Pada masa sekarang laluan dan peralatan Internet untuk IPv4 dibekalkan oleh syarikat-syarikat AS seperti Cisco Systems dan Juniper Network.

    Lima operator telekom China termasuk China Telecom dan China Mobile kini berusaha membina rangkaian IPv6 dengan beberapa rangkaian akan memulakan percubaan menjelang hujung tahun ini.

    Institut penyelidikan dan pengeluaran di China juga sedang berusaha membuat piawaian aplikasi dan komersial yang bertujuan menjadikan syarikat China lebih berdaya saing.

    – AFP

    Sunday, September 24, 2006

    Ramadhan Mubarak

    Assalamualaikum,

    1 Ramadhan 1427 Hijrah/Ahad 24 September 2006 bermulalah hari pertama bagi tahun 2006, kali ke-3 aku berpuasa diluar negara. Bertitik tolak daripada ayat 183 surah Al-Baqarah:

    "[183] Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."

    Saya mengucapkan selamat menyambut ramadhan mubarak, sila copy dan paste ke browser anda link dibawah. http://img.123greetings.com/eventsnew/edec_ramadan_wish/8464-001-35-1042.swf

    kepada semua pengunjung bloh ini, semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita semua untuk melaksanakan ibadat puasa serta memanfaatkan bulan Ramdhan sebaik mungkin kerana belum tentu kita akan dapat bersamanya tahun hadapan.


    Wednesday, September 20, 2006

    Ekonomi Islam



    Aku tak berapa mahir sangat dengan ekonomi Islam, tetapi menyakini bahawa ianya akan membawa sinar baru kepada umat Islam jika mereka kembali kepada sistem ekonomi Islam sebagaimana dijelaskan oleh para pembentang kertas kerja. Tapi malangnya PM kita awal-awal lagi tolak, macam kita kata makana tak sedap, walaupun belum rasa. Hairan kenapa PM cepat sangat menolak sebelum mengkaji apa yang dikatanya Dinar Emas. Aku harap Pak Lah akan jadi lebih rasional, jika mahu terus jadi PM, kalau tidak lebih baik bagi BA ambil alih, BN rehat la pulak sebab dah penat memerintah rasanya hilang ketajaman akal dan idea apatah lagi quran ditolak tepi semakin bertambah-tambah lemah.



    Oleh Maslan Yusoh-harakahdaily.net

    KOTA BHARU, 20 Sept (Hrkh) - Harta kekayaan umat Islam akan jatuh ke tangan orang bukan Islam memandangkan sistem kewangan fiat tidak dikuasai mereka, kata Prof Madya Dr Ahamed Kameel Mydin Meera.

    Wang fiat dimaksudkan wang yang tiada nilai intrinsik tersendiri, sama seperti wang kertas dan wang elektronik yang digunakan sekarang.

    "Dari perspektif ekonomi politik, berpindahnya kekayaan kepada institusi-institusi kewangan akan mengakibatkan berpindahnya juga kedaulatan serta kuasa politik kepada mereka.

    "Mereka akhirnya akan menjadi pemerintah sebenar sesebuah negara," katanya ketika membentang kertas kerja pada Seminar Dinar Emas di sebuah hotel di sini, hari ini. Kertas kerjanya bertajuk 'Mengapa Dinar Emas Sejajar Dengan Maqasid al Syariah'.

    Seminar itu diadakan sempena pelancaran Emas Dinar Kelantan yang pertama dilakukan dalam sejarah kewangan Islam di negara ini. Ia dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan Permodalan Kelantan Bhd.

    Dr Ahamed Kameel dari Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, mereka yang mengeluarkan wang fiat akan menikmati kuasa begitu mutlak kerana mempunyai kuasa beli di seluruh dunia.

    Menurutnya, kuasa beli itu telah dinikmati Amerika Syarikat sejak sekian lama dan sekarang dicabar pula oleh Euro.

    Katanya, dengan kuasa beli antarabangsa ini mereka dapat melaksanakan agenda-agenda termasuk membiayai Israel dan menindas umat Islam di serata dunia.

    "Dengan memberi hutang menggunakan wang fiat yang mereka ciptakan, banyak negara membangun telah pun terperangkap dalam satu perangkap hutang. Tidak dapat bayar walaupun bahagian faedahnya, apa lagi pokoknya.

    "Akhirnya kuasa politik dan pengurusan negara jatuh ke tangan institusi-institusi kewangan antarabangsa. Oleh yang demikian beransur-ansur harta kekayaan umat Islam jatuh ke tangan orang bukan Islam," ujarnya.

    Beliau juga memetik ahli ekonomi Islam masa kini, Umer Chapra yang menyebut sistem ekonomi Islam tidak wujud di mana-mana dunia Islam.

    Negara-negara Islam menyelesaikan masalah ekonomi mereka melalui polisi-polisi yang dibentuk dalam perspektif sekular.

    Menurutnya juga, terdapat tiga ciri sistem kewangan masa kini yang mempunyai sifat-sifat riba iaitu wang fiat, perbankan fractional rezab dan riba.

    Sehubungan itu beliau mengajak umat Islam memperjuangkan penggunaan wang emas kerana ia mempunyai nilai intrinsik tersendiri, yang sudah terbukti dalam sejarah ketamadunan manusia.

    Bekas Pengurus Kanan Pengurusan Projek Bank Pembangunan Malaysia (M) Bhd, Hajah Nik Mahani Mohamad mendedahkan perjanjian Bretton Woods pada 1944, di mana 44 negara bersetuju bersandarkan mata wang kertas negara masing-masing kepada Dollar Amerika.

    "Mengapa dunia memberikan persetujuan menggantikan gold standard dengan American Dollar.. dan betapa deception mereka. Dan sejak 1971 Dollar Amerika tidak lagi disandarkan kepada emas.

    "Tindakan unilateral Presiden Nixon menandakan berakhirnya sistem piawai emas. Sehingga hari ini dolar ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran pasaran pertukaran asing," katanya ketika membentang kertas kerja bertajuk 'Kembalinya Dinar, Sejarah dan Implikasinya'.

    Bekas Pengarah Urusan Abrar Finance Bhd, Dr Rosli Yaakop pula berkata, wang kertas yang digunakan di Malaysia adalah dibuat daripada 'kain buruk' yang begitu murah nilainya.

    Menurutnya juga, penggunaan dinar emas dan dirham bermula pada zaman Rasulullah s.a.w dan berakhir selepas Daulah Othamaniah tumbang pada 1924.

    "Selepas dilupakan kira-kira tiga suku abab, kini sudah ada gerakan untuk menziarahi semula sistem ini dengan harapan ianya dapat dihidupkan kembali di negara-negara Islam," katanya.

    Seminar itu mendapat sambutan menggalakkan termasuk dihadiri peserta dari luar Kelantan. Ia dirasmikan anggota Exco, Dato' Husam Musa. Manakala petang ini pelancaran Emas Dinar Kelantan dilakukan Menteri Besar.

    Thursday, August 10, 2006

    Hanya Islam Pilihan Kita

    Membaca artikel ini membuatkan aku melahirkan rasa amat syukur kpeada Illahi kerana dilahirkan Islam, tetapi aku berdoa kepada Allah agar menjadikan aku dan zuriat-zuriatku orang yang memegang Islam dengan sekuatnya dan mempraktikkan serta berusaha menyampaikan dakwah Islam. Dalam keadaan ramai umat Islam yang murtad ditanahairku, aku merasa amat bersyukur kerana Allah memelihara iman ku, Ya Allah ampunkan hambaMu ini dan kedua ibubapaku serta isteri dan anak-anakku. Jadikan kami orang hidup dan mati dalam Islam. Amin. Ya Allah berilah pertolongan kepada saudara-saudara kami di Labenon.

    Semoga kisah Saudara SeIslam kita Untie Aminah mengukuhkan keimanan kita serta tekad utk sebarkan Islam.

    Aminah Assilmi bangga hidup sebagai Islam


    Sebagai pengarah International Union of Muslim Women, Aminah Assilmi mengetuai promosi setem sempena hari raya bagi umat Islam.

    Susunan ZUNAIDAH ZAINON

    TIADA siapa menyangka, wanita kelahiran Oklahoma, Amerika Syarikat yang dahulunya adalah Saouthern Baptist dan penyokong radikal gerakan kewanitaan serta wartawan penyiaran akhirnya memilih Islam sebagai pengabdian hidup.

    Kini, Aminah Assilmi adalah sarjana wanita yang banyak memperjuangkan isu-isu berkaitan agama Islam.

    Pengarah International Union of Muslim Women itu menjelajah hampir seluruh pelosok dunia demi meningkatkan tahap kesedaran dan pemahaman terhadap agama suci Allah itu. Lebih manis, beliau berhijab, lengkap dengan tudung kepala yang menutupi rambut dan lehernya serta pakaian yang sopan serta menutup aurat.

    Aminah Assilmi menemui kemanisan pertama sebagai Muslim semasa mengikuti kelas teater lebih 30 tahun lalu. Rentetan daripada kesilapan komputer mencetak kelas yang perlu diikuti sepanjang semester pengajian, akhirnya telah merobah kehidupan Assilmi buat selama-lamanya.

    Ketika itu, beliau hampir-hampir menggugurkan keputusan mengikuti kelas teater apabila mendapati sebilangan besar pelajar adalah berbangsa Arab yang memakai hijab. Dalam buku Choosing Islam, Assilmi menulis, “Tidak ada cara lain sekiranya saya duduk di dalam kelas itu dengan cara yang tidak beradab...saya menutup pintu dan terus pulang ke rumah.”

    Selepas suaminya memberi kata-kata perangsang supaya beliau mengikuti kelas tersebut, Assilmi merasakan tugasnya sekarang ialah menarik seberapa ramai pelajar di kelasnya bertukar kepada Kristian bagi mengelakkan mereka masuk neraka.

    “Saya katakan kepada mereka, sesiapa yang tidak masuk Kristian akan dibakar dalam api neraka. Malah Jesus amat menyayangi pengikutnya dan akan menyelamatkan mereka daripada segala dosa. Rakan-rakan sekelas saya amat baik tetapi sayangnya mereka bukan Kristian dan akan menjadi penghuni neraka. Jadi, saya bercadang mengkaji al-Quran demi membuktikan bahawa Islam adalah agama yang salah dan Nabi Muhammad juga tidak benar,” cerita Assilmi.

    Seorang rakan telah bermurah hati menghadiahkannya senaskah al-Quran. Bagi memastikan misinya berjaya, Assilmi turut mendalami 15 buku untuk mengkaji hadis Muslim dan bahan bacaan berkaitan dengan agama Islam. Ketika itu, beliau amat yakin rakan-rakan sekelasnya akan meninggalkan agama Islam dan memilih Kristian!

    Atas kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t., semakin banyak Assilmi membaca al-Quran, hati kecilnya semakin tertarik kepada keindahan agama Islam terutama kedudukan lelaki dan wanita di sisi Allah s.w.t. Selama ini, beliau mempunyai tanggapan bahawa wanita Islam sentiasa dipukul oleh suami mereka dan tidak boleh dibantah.

    Melalui kajian dan hasil pembacaannya, beliau mendapati bahawa wanita Islam memiliki martabat yang sama dengan lelaki dan mereka yang bekerja akan dibayar gaji tanpa mengira jantina. Malah lelaki dan wanita mendapat hak yang seimbang dalam mendapatkan pendidikan. Lebih istimewa, wanita Islam yang berkahwin tidak perlu menukar nama akhir kepada nama suami sebaliknya mengekalkan nama ayah untuk selama-lamanya.

    “Selama dua tahun saya belajar demi untuk menarik perhatian pelajar Islam agar bertukar ke agama Kristian,” katanya.

    Tetapi pada masa tersebut, rumah tangganya menunjukkan bibit-bibit keretakan. Kebiasaannya, mereka gemar berparti dan mengunjungi bar setiap malam Jumaat dan Sabtu. Bagaimanapun, Assilmi semakin tidak selesa dengan cara hidup demikian dan mula menolak untuk ke disko dan sebagainya. Sebaliknya, perubahan Assilmi dikatakan berpunca dengan kehadiran orang ketiga. Akhirnya, mereka berpisah.

    Assilmi berpindah keluar daripada rumah tersebut bersama-sama dengan tiga orang anaknya ke sebuah apartmen. Walaupun telah berpisah, beliau masih meneruskan usahanya untuk menarik mereka kepada Kristian.

    Suatu hari, pintu rumahnya diketuk. Apabila membukanya, beliau amat terkejut apabila mendapati seorang lelaki berpakaian putih dan menutupi kepalanya dengan kain berkotak putih merah ditemani tiga lelaki yang memakai pijama.

    “Ketika itu, saya mula terfikir apakah pandangan orang sekeliling apabila seorang wanita didatangi lelaki ke rumahnya pada waktu malam. Lebih mengejutkan apabila lelaki tersebut menyatakan bahawa dia tahu yang saya berminat dengan Islam. Saya tegaskan bahawa saya tidak berminat tetapi mempunyai beberapa soalan,” cerita Assilmi lagi.

    Kemusykilan

    Kemudian, lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Aziz Al-Shiek dan bersedia untuk menjawab segala kemusykilan tentang Islam. Beliau ditanya sama ada mempercayai Allah dan Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah. Assilmi mengakuinya.

    “Dengan menjawab ‘Ya’ kepada soalan tentang Allah dan Nabi Muhammad, saya diberitahu telah pun memeluk Islam. Tetapi saya membantah dan bertegas masih Kristian.

    “Saya hanya cuba untuk memahami Islam dan tidak akan memeluk agama Islam. Saya katakan kepadanya yang saya adalah orang Amerika dan berkulit putih!” tambah beliau menceritakan saat-saat pertemuan dengan lelaki tersebut.

    Assilmi menyifatkan Abdul Aziz Al-Shiek amat penyabar. Beliau menyatakan bahawa dalam pencarian ilmu dan mengamalkannya umpama mendaki anak tangga. Sekiranya, terlepas salah satu anak tangga, ia akan menyebabkan seseorang terjatuh. Mengucap dua kalimah syahadah adalah anak tangga pertama untuk mendaki tangga seterusnya.

    Bagi Assilmi yang mengucap dua kalimah syahadah pada 21 Mei 1977, langkah awal adalah memahami Islam dengan lebih mendalam. Bagaimanapun, masih wujud beberapa keraguan dalam dirinya terutama membabitkan hijab.

    “Tetapi Abdul Aziz masih sabar menjawab semua soalan saya dan menjelaskan bahawa Allah menggalakkan umatnya mencari ilmu pengetahuan. Acap kali dia sabar menerangkan kepada saya satu-persatu, saya melihat seolah-olah sekuntum bunga ros sedang berkembang mekar hingga ia menampakkan keindahannya,” ujar Assilmi.

    Namanya bermaksud kebenaran yang membawa keamanan yang diambil sempena krisis tawanan Iran pada 1980. Ketika memeluk Islam pada 1977, beliau berumur dalam lingkungan 30 tahun.

    Apabila ilmu agamanya semakin meningkat selepas mempelajarinya daripada beberapa guru agama, Assilmi mula menampakkan perubahan. Amat membanggakan, beliau memakai hijab tanpa dipaksa.

    “Sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran, seorang Muslim harus menutup aurat. Ya, saya adalah Islam dan saya tahu hukum yang ditetapkan oleh Allah. Bagi saya, hijab bukan suatu keperluan tetapi ia adalah hak dan keistimewaan. Hingga mati, saya akan pastikan yang saya akan memakainya,” katanya.

    Sebelum memeluk Islam, Assilmi menerima ijazah dalam bidang penyiaran, pendidikan dan komunikasi. Beliau merupakan pemenang anugerah penyiaran Emmy dan bekerja di belakang tabir yang menyediakan pelbagai program menarik untuk siaran televisyen.

    Assilmi juga berpendapat, wanita Islam tidak mempunyai had tertentu untuk melibatkan diri dalam bidang profesional. Tetapi, profesion yang paling tinggi martabatnya ialah menjadi ibu kerana peranannya dalam membentuk generasi masa depan. Katanya, wanita Islam selalu didiskriminasikan kerana mereka memakai hijab.

    Apabila memilih Islam, ada harga yang perlu dibayar. Assilmi tidak terlepas daripada menerima pelbagai dugaan termasuklah kehilangan hak penjagaan ke atas anak-anaknya. Mahkamah memutuskan bahawa individu yang menganuti ‘agama ortodoks’ akan menjejaskan masa depan anak-anak. Berhadapan dengan masalah rumah tangga dan kehilangan anak-anak menyebabkan beliau hilang semangat untuk meneruskan kehidupan. Pada masa yang sama, keluarga juga seolah-olah memulaunya.

    Assilmi juga kehilangan pekerjaan sebagai wartawan penyiaran pada saat beliau mengambil keputusan tampil sebagai wanita Muslim.

    “Cuma yang paling menggembirakan apabila nenek saya mengucapkan dua kalimah syahadah. Beliau bukan sahaja bersetuju dengan keputusan saya memeluk Islam tetapi turut tertarik dengan agama suci Allah s.w.t. Nenek meninggal dunia tidak lama selepas bergelar Muslim. Bersyukur kepada Allah s.w.t. Alhamdulillah!” katanya penuh syukur.

    Kekuatan

    Setelah hampir kehilangan rakan-rakan dan saudara mara, akhirnya Assilmi memperoleh kekuatan. Pengislamannya turut menarik ahli keluarganya memeluk agama Islam. Sahabat baiknya, Qaiser Imam turut memberitahu bahawa bekas suaminya juga memeluk Islam setelah 16 tahun memerhati dan mengkaji cara hidup Assilmi.

    “Dia mahu anak kami hidup dan membesar sebagai Islam. Dia juga meminta maaf kepada saya di atas segala perbuatannya. Sedangkan hakikatnya, saya telah lama memaafkannya,” ujar Assilmi yang amat gembira dengan berita pengislaman bekas suaminya. Anak lelakinya, Whittney juga dalam proses mendalami Islam.

    Benar, Allah sentiasa menguji setiap hamba-Nya. Beberapa tahun lalu, Assilmi disahkan menghidap kanser tulang di peringkat kritikal. Kemungkinan besar beliau mempunyai setahun untuk hidup. Bagaimanapun, beliau sentiasa percaya kepada kebesaran dan keEsaan Allah s.w.t.

    Kini, selepas puas menjelajah hampir sebahagian negara di dunia dan berusaha melawan kanser tulang yang dialaminya, Assilmi telah menunaikan dua kali ibadat haji. Penyakit kansernya memaksa beliau berkerusi roda untuk bergerak.

    “Tuhan telah menyatakan, bahawa saya perlu meneruskan kehidupan. Dan saya tidak takut untuk menghadapinya. Sesungguhnya, saya ingin menyatakan kepada Allah bahawa saya gembira berkongsi hidup sebagai Islam,” katanya yang menghasilkan beberapa buku antaranya Scattering Illusions dan Love and Romance in Islam.

    Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm



    Sunday, August 06, 2006

    Adauhai Tanahairku


    Apabila membaca artikel ini saya amat setuju dan menyokong pandangan Prof. Dalam suasana pemimpin Melayu yg bercakaran sesama sendiri bukan disebabkan memperjuangan kan agama atau kepentingan negara tetapi kerana kepentingan mereka sendiri. Artis diberikan populariti yang sangat luas dan ulama dicemuh dalam suasana masalah murtad semakin menjadi-jadi. Kepada semua orang Melayu yang sayangkan agama, bangsa dan negara fikirkanlah semula sokongan anda kepada UMNO. Sokongan itu ibarat sokong membawa rebah. Zaman Mahathir sudah berlalu(byk shit yg dia tinggalkan , Pak Lah tanggung). Dengan kemenangan yg bukan kepalang majoritinya kepada BN, maka Pak Lah menjanjikan pelbagai tindakan bagi membersihkan pentadbiran negara drpd pelbagai masalah spt rasuah, campurtangan politik dlm pentadbiran kerajaan dan kehakiman serta lain-lain lagi. Sekarang heboh pulak isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa semakin menjadi-jadi sejak Pak Lah ambil alih. KJ(sapa tak kenal) dikatakan berkuasa drpd PM. Saya tak mahu ulas pjg tetapi byk laman web dan hinggakan Che Det dlm roadshownya memperkatakan tentang KJ ni.
    Rakyat M'sia tak ada pilihan utk menyelamatkan M'sia, berikan sokongan kpd gabungan BA dan nyahkan UMNO utk 5 thn drpd putrajaya, lihat bagaimana BA mentadbir. Jika sama shj, kita nyahkan pulak BA. BN sudah terlalu lama. Di negara maju, pemimpin takut rakyat, tetapi di M'sia rakyat takut pemimpin(ini tak betul. pemimpin jahat pulak tu). Sekian dulu.

    Prof A Bakar Hamid: Melayu tidak berfikiran strategik
    Sat | Aug 05, 06 | 06:22:42 PM
    Oleh Harakahdaily Kritikannya terhadap kongkongan di universiti, sehingga menyifatkan peranan naib-naib canselor tidak jauh bezanya dengan pengarah cawangan khas (SB) polis, agak mengejutkannya. Namun, mendekati Profesor Datuk Abu Bakar Hamid, tokoh berpengalaman luas selama lebih 32 tahun sebagai ahli akademik dan pentadbir di Universiti Malaya, ternyata cakupan bicaranya cukup meluas. Bekas Timbalan Naib Canselor UM ini juga pernah menjadi Pengerusi Bernama dan Profesor Ternama, Kerusi Tun Razak, Universiti Ohio, selain dianugerahkan Doktor Kehormat Persuratan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Ikuti sedutan wawancara AHMAD LUTFI OTHMAN dan NYZA AYOB bersamanya baru-baru ini.

    HARAKAH: Bagaimana Prof melihat sistem pendidikan tinggi hari ini? Apa isu-isu yang seharusnya diselesaikan dahulu?
    ABU BAKAR: Banyak masalah pendidikan tinggi hari ini. Kita perlukan pelan menyeluruh jangka panjang. Sekarang ramai bercakap masalah siswazah menganggur. Ini masalah besar yang merisaukan. Tapi, lagi banyak siswazah menganggur, lagi banyak universiti ditubuhkan. Kita tidak tahu apakah ada pelan jangka panjang yang menyeluruh atau tidak.
    Keadaan ini kelihatan seperti permainan bola sepak politik. Contohnya, nak menang Terengganu atau Kelantan, universiti pun jadi umpan. Jadi, kita mesti fikirkan peranan asas sebuah universiti, apakah untuk melatih pelajar demi keperluan tertentu?
    Apabila 40,000 atau 60,000 pelajar menganggur, mereka disalahkan. Pelajar juga ada dikatakan terlalu memilih kerja. Soalnya, apakah kita mahu lulusan universiti ini bekerja sebagai buruh? Jika perlukan mereka kerja seperti itu, perlukah mereka dilatih di universiti? Tidakkah ini membazir?
    Pelajar juga tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk bekerja. Kita seharusnya memberitahu kepada universiti kemahiran yang diperlukan pelajar. Contohnya kemahiran komunikasi. Kenapa tidak diberitahu kepada universiti bahawa setiap jabatan atau fakulti mesti melahirkan pelajar yang boleh berkomunikasi dengan baik.
    Dalam pada itu, jika 50,000 atau 60,000 pelajar sudah mempunyai kemahiran komunikasi ini, apakah mereka akan mendapat pekerjaan? Kita juga sering menuding jari dan mengharapkan siswazah mesti mencipta kerja. Bagaimana hendak mencipta kerja sedangkan mereka sukar mendapat pinjaman bank.
    Saya pernah jadi pengarah bank, jadi saya tahu. Bank hanya bagi pinjam pada orang kaya sahaja. Bank tidak akan bagi pinjaman pada orang miskin melainkan ada skim.
    Kita saling salah menyalahi walhal kita tidak cuba memahami masalah
    pelajar. Apakah sebenarnya kita perlukan universiti atau sekolah tinggi
    vokasional? Jika kita mahukan pelajar disediakan pekerjaan, maka tidak perlu kita tubuhkan banyak universiti. Sebaliknya kita tubuhkan sekolah tinggi vokasional ini. Semua ini boleh diubah tetapi saya tidak tahu kenapa ia tidak diubah.

    Dalam dunia pendidikan hari ini, dua perkara utama harus dititik berat
    iaitu menjadikan pelajar seorang terpelajar serta memberi mereka nanti pekerjaan untuk menyara hidup.

    Jadi, Prof berpendapat kita perlu mewujudkan lebih banyak sekolah tinggi vokasional berbanding universiti?

    Kita mesti kaji jenis pendidikan yang kita perlukan. Jika banyak pekerjaan memerlukan pendidikan vokasional, maka kita perbanyakkannya. Kita perlukan perancangan jangka panjang yang menyeluruh. Dulu kita mempunyai Universiti Pertanian tapi kemudiannya dihapuskan. Saya merupakan salah seorang yang menentang Universiti Pertanian dihapuskan. Sekarang baru kita sedar kepentingan Universiti Pertanian.

    Kita terlalu terpengaruh dengan teknologi maklumat sehingga Universiti Pertanian ditutup. Sepatutnya kita gunakan teknologi maklumat ini untuk mengembangkan pertanian. Bagaimana seorang petani yang mempunyai seekar tanah misalnya boleh hidup menyara keluarga dengan tanah seekar itu, menggunakan teknologi moden. Perkara ini yang perlu kita fikirkan.

    Daripada apa yang Prof sebut, nampak begitu mudah sesebuah universiti itu hendak dibina ataupun ditukar nama. Apakah ia tidak memerlukan proses tertentu, yang membabitkan lebih ramai pakar, terutama di peringkat perancangan pendidikan tinggi? (bold)

    Saya tidak tahu sebab saya tidak lagi diajak berunding. Sepatutnya mesti ada satu pelan induk dalam pendidikan tinggi, misalnya berapa universiti yang kita perlukan hingga tahun 2020, dalam bidang apa dan di mana hendak ditubuhkan? Perkara ini perlu perancangan yang teliti supaya penubuhan universiti baru ini bersesuaian dengan keperluan negara.
    Selain itu supaya penubuhan universiti baru tidak mengganggu universiti sedia ada. Dulu sewaktu saya menjadi Timbalan Naib Canselor, pada waktu itu UKM hendak menubuhkan dua fakulti baru, undang-undang dan pergigian. Ketika itu kedua-dua fakulti ini hanya terdapat di Universiti Malaya.
    Kita bukan tidak mahu bekerjasama tetapi hendaklah diberi tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun supaya UM dalam bidang ini boleh ambil 30 peratus tenaga pengajar lebih daripada yang diperlukan. Kita bukan tidak mahu mereka pergi. Kita tahu ini untuk keperluan negara. Tetapi berilah tempoh supaya mereka dibekalkan pengalaman mencukupi untuk menerajui fakulti baru.

    Universiti yang baru ini kita tidak mahu dimulakan dengan kursus baru oleh pensyarah yang tidak berpengalaman. Sekurang-kurang dekan berpengalaman sepuluh tahun dan sudah jadi profesor madya, dan sebaik-baiknya profesor penuh. Ia juga tidak menjejaskan fakulti sedia ada.

    AKUJANJI HINA PENSYARAH

    Universiti juga dibebani pelbagai sekatan dan halangan, antaranya yang popular ialah Akta Universiti dan Kolej Universiti, Auku, dan sekarang masalah akujanji kakitangan akademik.

    Ya, universiti patut bebas dari kongkongan birokrasi. contohnya akujanji,ia cukup menghna pensyarah universiti. Ramai yang tidak bersetuju apabila saya mengatakan dengan adanya akujanji ini menjadikan pensyarah lebih rendah tarafnya daripada petani dan polis.
    Apabila menjadi pensyarah universiti kita boleh diambil tindakan tatatertib hanya berdasatkan syak wasangka. Kalau pimpinan universiti baru mensyaki kita tidak menjalankan kerja atau melakukan sesuatu yang bercanggah kepentingan universiti, kita boleh diambil tindakan. Ini bertentangan dengan hak asasi manusia. Ia mesti dihapuskan.
    Kongkongan birokrasi kerajaan kepada universiti juga satu hal. Saya pernah menyebut bahawa lembaga universiti (LPU) yang ada ini tidak berfungsi. Semua peraturan dikeluarkan oleh JPA dan badan-badan kerajaan, dan ia mesti diikuti universiti. Universiti tidak boleh mengatakan tidak. LPU mesti menerimanya. Jadi, apa perlunya LPU? Dari dulu sampai sekarang LPU akan menerima pakai segala peraturan kerajaan
    termasuk gaji.
    Saya yang manduduki jawatankuasa ini pernah meminta supaya diadakan komisioner universiti sendiri yang tidak terikat dengan JPA. Kita
    diminta bertanding dengan universiti-universiti ternama dunia. Mereka memakai pakaian sukan berlari tetapi kita dengan memakai tali leher dan berkot turut berlari untuk berlawan. Kita memang tidak boleh lawan. Dari awal lagi kita akan kalah.
    Selain itu bagaimana kita hendak bersaing dengan universiti lain? Pensyarah kita umur 56 sudah pencen. Umur bersara universiti di Malaysia paling rendah di dunia. Di negara lain, umur sebegini baru mendapat profesor dan tidak ada umur bersara bagi mereka. Bagaimanapun mereka akan bersara kerana kemudahan bersara itu adalah lebih baik.
    Sewaktu jadi TNC dahulu, saya pernah suarakan pada Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir supaya tempoh perkhidmatan pensyarah dilanjutkan, kerana ramai pesyarah bidang profesional sebelum umur 50 tahun sudah berhenti. Beliau bersetuju supaya tempoh perkhidmatan dilanjutkan sebagaimana hakim sehingga 65 tahun. Akhirnya tak jadi juga. Tenaga berpengalaman puluhan tahun selalunya bersara begitu saja, tidak dapat dimanfaatkan oleh universiti.

    Kita sentuh sikit isu politik Melayu. Selalunya orang Melayu terlalu bersikap partisan, sukar berkompromi hanya kerana duduk dalam parti politik berbeda. Ini berlainan dengan orang Cina yang lebih mudah bertolak ansur dalam isu-isu yang disepakati bersama.


    Orang Cina, saya kira, berfikir secara strategik. Saya pernah bertanya Dr Mahathir, dengan memberi contoh di Pulau Pinang, mengapa ketika Adun Umno majoriti, ketua nenterinya tetap Cina. Kata Dr Mahathir, jika dilantik ketua menteri di Pulau Pinang di kalangan Melayu, pada pilihan raya berikutnya, orang Cina tidak lagi memberi undi kepada BN dan akan beralih kepada parti lawan.

    Selain itu orang Cina mempunyai matlamat politik yang jelas. Lihat saja 1999, jika orang Cina sokong pembangkang, BN akan kalah. Tapi orang Cina kuat menyokong BN kerana mereka mahu kerajaan yang ada kekal. Tapi jika mereka tahu orang Melayu kuat menyokong BN, mereka akan menyokong pembangkang supaya suara pembangkang diterima di Parlimen. Mereka boleh aturkan.
    Contohnya, mereka boleh mengundi BN di peringkat negeri tapi mengundi pembangkang di Parlimen. Keputusan pilihan raya Sarawak baru-baru ini, yang menyaksikan kawasan Cina dimenangi DAP juga menunjukkan hal sama.
    Selain itu, institusi dalam masyarakat Cina seperti Suqiu, didengar pendapat mereka oleh semua parti Cina. Bagaimanapun, kita orang Melayu tidak berfikir secara starategi tetapi emosional.
    Dalam pada itu suara-suara ketiga dalam masyarakat Melayu, terdiri daripada NGO, di zaman Dr Mahathir, suara mereka dihancurkan. Walhal jika tiada NGO Melayu, tidak akan ada UKM dan tidak akan ada Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
    Sayang sekali suara NGO Melayu ini dikembirikan. Ini menyebabkan Melayu seperti tidak boleh berfikir. Baru-baru ini muncul Kongres Kepentingan Bangsa, yang saya kira dapat memperkasakan semula NGO Melayu ini. Kita terpaksa memperkasa NGO Melayu supaya mereka bebas bersuara. Kepentingan politik orang Melayu terlalu kuat. Justeru, orang tengah atau suara ketiga ini diperlukan. Selagi NGO Melayu tidak mendapat tempat dalam masyarakat, saya rasakan orang Melayu akan rugi.
    Baru-baru ini Dr Mahathir mengatakan bahawa sokongan yang diterimanya daripada menteri-menterinya dahulu adalah tidak berkualiti. Mereka mengatakan mengangguk dan menyokong apa saja yang dikatakan Perdana Menteri. Sebab itu tidak berkualiti. Mereka tidak bebas memberi pandangan sendiri.
    Justeru, pendapat NGO Melayu ini harus didengar kerana mereka tidak mempunyai kepentingan politik peribadi. Jika kita mahu orang Melayu berjalan di rel yang betul, kita mesti ramaikan golongan yang dapat berfikir berdasarkan prinsip dan kepentingan dalam jangka masa panjang.

    Ada kalanya Prof, dalam masyarakat Melayu terdapat ramai golongan opurtunis, yang memikirkan keuntungan diri saja, dan sanggup melihat bangsa kecundang.

    Golongan ini memang ada. Tapi mereka biasanya tidak akan aktif. Sewaktu UKM hendak ditubuhkan dahulu, Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran semdiri menentang. Begitu juga Naib Canselor UM pada waktu itu juga menentang. Tapi yang memperjuangkan penubuhannya ramai di kalangan pensyarah UM.
    Kita pergi berkempen untuk memberi penerangan hampir setiap minggu di seluruh negeri dengan kerjasama badan-badan seperti persatuan penulis, persatuan belia dan persatuan pelajar. Tindakan ini membuka minda rakyat. Apabila sokongan tidak dapat lagi dibendung, maka kerajaan terpaksa menerimanya.
    Sekarang, badan-badan belia misalnya bergantung pada kerajaan. Pada waktu dulu bukan tidak ada sekatan. Contohnya, program yang saya hadiri, dianjurkan badan belia di Kedah. Ia menggunakan balai raya dan tempahan dibuat tiga bulan sebelum program. Bagaimanapun pada hari program, kunci balai raya hilang. Jadi kita tidak dapat gunakan tempat tersebut dan sebagai ganti kita guna sebuah rumah. Sewaktu memberi penerangan, kita diarah berhenti. Katanya, arahan Cawangan Khas (SB). Jadi pada waktu itu ada juga tekanan. Namun umumnya NGO dahulu lebih bebas dan berani.
    Patut disokong usaha menggerak dan memperkasakan NGO Melayu seperti yang dianjurkan Tengku Razaleigh Hamzah itu. Sebenarnya kerajaan rugi kerana mengongkong NGO berkenaan.

    MAHATHIR MAHU PEMBANGKANG KUAT

    Prof sebut orang Cina berfikiran strategik, bijak memilih kerajaan dan menentukan pembangkang. Tapi, Dr Mahathir hanya mengiktiraf peranan pembangkang selepas tidak berkuasa lagi.

    Sewaktu Dr Mahathir masih berkuasa, saya dan beberapa rakan pernah berjumpanya menyatakan supaya memberi tempat kepada pembangkang dan jangan terlalu mengongkong. Beliau berkata, beliau tidak mahu pembangkang mati. Beliau mahu PAS lantang bersuara. Katanya, lihat di cawangan-cawangan Umno, jika tidak ada pembangkang, pemimpin Umno akan menjadi raja.
    Mahathir memberi contoh, jika diperuntukkan basikal untuk diberi kepada rakyat miskin, Umno akan bagi pada kroninya. Kami nyatakan kepada Mahathir, mengapa kenyataannya dalam akhbar seolah-olah hendak membunuh semua parti pembangkang. Beliau membalas balik, sebagai ahli Umno beliau mesti mempertahankan Umno dan mahukan Umno menang 100 peratus!
    Bagaimana dengan peranan NGO Melayu? (bold)
    NGO Melayu tidak lagi aktif bergerak, kecuali segelintir kecil, misalnya ABIM. Persatuan lain mungkin tidak lagi berani menjemput golongan yang dianggap berfikiran bebas. Ini mungkin kerana mereka terlalu dikuasai kerajaan.
    Saya percaya kalau kita ingin bebas dari rasuah, kita mesti ada sistem dua parti, supaya rakyat boleh pilih. Saya juga mengharapkan parti-parti pembangkang lebih kuat, bukan kerana saya menyokong pembangkang tapi untuk kebaikan semua pihak.


    Bagaimana Prof melihat suasana baru di bawah Abdullah Badawi?


    Saya kurang arif kerana selepas pencen ini saya jarang menghadiri mesyuarat-mesyuarat. Saya hanya mengikuti melalui media. Sehingga hari ini saya melihat belum terdapat apa-apa perubahan, terutama dalam konteks memberi kontrak secara telus.
    Kita lihat ia masih tertutup dan tidak diketahui siapa yang dapat. Proses pemilihan tidak terbuka. Tradisi lama masih diteruskan. Kongkongan terhadap media juga dapat dilihat. Kalau dulu A Kadir Jasin kawal NST, sekarang orang lain pula. Majalah lain ada menemuramah saya tapi NST tidak pula. Media masih kuat dikongkong.
    Kerajaan selalu menolak tuntutan untuk membebaskan media dengan mendakwa di mana-mana pun tidak pernah wujud kebebasan mutlak, walhal kita sendiri tidak pernah menuntut kebebasan tanpa batas. (bold)
    Dr Mahathir amat pandai berhujah. Saya mengajar retorik, dalam ilmu retorik, dinyatakan bahawa apa-apa pun pendapat, jika kita tarik pada kedua-dua hujungnya, akhirnya ia akan jadi tidak masuk akal. Begitu juga dengan cara Dr Mahathir berhujah mengenai sesuatu topik. Beliau akan mengatakan tidak akan ada kebebasan mutlak, sedangkan orang pun tidak memintanya.
    Memang di Amerika pun tidak ada kebebasan mutlak. Tetapi terdapat kebebasan di Amerika yang membolehkan seseorang itu menyatakan pandangannya. Kita boleh mengetahui pandangan mereka. Di Malaysia, lebih banyak diceritakan tentang gossip untuk menjual surat khabar daripada isu-isu yang patut diketahui pembaca.
    Hari ini kita dapat lihat, orang yang amat benci dengan Malaysiakini telah melakukan temuramah dengan akhbar talian ini dan dia pula mendakwa tidak diberi tempat dalam akhbar-akhbar utama. Mungkin ini ada pengajarannya tapi hanya selepas tidak berkuasa. Dalam internet dinyatakan pada zaman Abdullah ini 'spinning' yang dibuat media lebih hebat daripada zaman Mahathir.

    Perlukah kerajaan menguasai media?

    Saya berpendapat kerajaan perlukan media tertentu untuk menyampaikan maklumat dan hasrat mereka. Cuma jangan dikongkong media-media yang lain. Contohnya, Harakah yang dahulunya terbit seminggu dua kali kini dihadkan dua kali sebulan. Jika alasan yang diberikan untuk menyelaraskan supaya sama dengan akhbar penerbitan Umno, adakah alasan ini munasabah?

    Umno pun tidak lagi terbitkan akhbarnya, Prof!

    Ya, hanya dalam internet (ketawa). Jika ini dilihat sebagai permainan bola sepak, pengadil adalah di sebelah sana. Dia yang tentukan segalanya, walaupun dia juga seorang pemain.

    Saya melihat perkara ini tidak betul. Dia tidak memberi izin pihak lain menerbitkan akhbar. Ini saya lihat merugikan. Tetapi dengan adanya akhbar talian internet, kerajaan tidak dapat mengongkong lagi.

    Berdasarkan pengalaman kami, tekanan terhadap media lebih ketat dan teruk di bawah Abdullah. Mungkin tiada lagi akhbar atau majalah diharamkan seperti dulu, tapi ini bukan kerana sikap terbuka Abdullah. Bagaimana nak haramkan media kalau permit penerbitan terlalu sukar diberikan. Mohon enam tujuh tahun tapi tak ada sebarang berita!


    Itu yang saya tegaskan, pemain di pihak sana juga menjadi pengadil. Mereka tidak berfikir dari segi keadilan. Akhbar Cina lebih berani dari akhbar Melayu. Fikiran orang Melayu dikongkong. Oleh sebab itu orang bukan Melayu boleh berfikir dengan bebas tetapi tidak buat orang Melayu.


    Apa impian Prof terhadap kehidupan rakyat di negara ini?


    Rakyat biasa wajar diberi ruang untuk memberi input kepada pembangunan negara. Seharusnya tidak ada lagi kemiskinan tegar. Kita mahu negara ini maju dan tidak ada lagi golongan miskin. Kita mesti bebas dari
    rasuah dan dadah. Seseorang yang ingin memegang jawatan awam hendaklah berani mengisytiharkan hartanya kepada publik.
    Jika tidak mahu membuat pengisytiharan, seseorang itu tidak boleh menjadi pemimpin rakyat. Pendidikan juga harus diberi secara percuma. Kesihatan juga tidak boleh diswastakan. Jika semua ini ada di negara kita, bolehlah kita katakan negara ini negara maju.
    Jika hanya dikira melalui pendapatan perkapita belum lagi dapat dikatakan negara kita negara maju. Ini kerana jurang terlalu luas. Rasuah juga harus dihapuskan. Saya antara yang terawal menulis tentang rasuah dalam Umno. Saya dipanggil seorang menteri. Beliau menyatakan apabila anggota kabinet membaca tulisan saya, mereka mengatakan ia terlalu 'strong'. Dalam tulisan itu saya nyatakan bibit-bibit rasuah dalam Umno amat merbahaya.

    PUKULAN MAUT BAHASA MELAYU

    Perdana Menteri dilihat berani menyanggah beberapa keputusan penting Mahathir, tetapi ia lebih banyak menjurus soal projek besar, misalnya jambatan bengkok. Mengapa Abdullah tidak merombak saja dasar yang merugikan anak-anak Melayu, seperti pengajaran sains, matematik dalam bahasa Inggeris?

    Saya melihat Dr Mahathir telah membuat perkitaran yang lengkap. Beliau mulai naik dengan mengkritik secara terbuka Perdana Menteri pertama. Dan apabila turun beliau mengkritik Perdana Menteri sekarang. Kita tahu beliau tidak akan berhenti bercakap. Apa yang dia fikir, suara hatinya akan dinyatakan.
    Secara peribadi saya menyukainya, sewaktu dia menjadi rakyat biasa pada tahun 1969/70 dulu, kami berkawan baik. Sekarang apabila beliau lantang bersuara, kita juga boleh tumpang bersuara secara terbuka. Kita harap media lebih terbuka khususnya kepada NGO. Jika tahun 1969 beliau menyerang, beliau tidak mempunyai gol untuk dijaga. Pada hari ini golnya lebih besar.
    Banyak yang telah dilakukannya dulu yang tidak dipersetujui ramai. Beliau sendiri akui anggukan menteri pun palsu. Kita lihat suasana hari ini merupakan fasa baru dalam politik Malaysia. Ia bergantung kebijaksanaan Abdullah menyelesaikannya.

    Dr Mahathir yang saya kenal bukanlah seorang yang suka berkompromi. Dan tidak ada orang tengah kepadanya. Baik Mahatir atau Abdullah, masing-masing mempunyai target. Mahathir selagi tidak mencapai targetnya dia tidak akan berhenti.
    Dalam isu bahasa, saya harap Abdullah lebih berani. Isu bahasa Inggeris ini tidak akan selesai selagi isu bahasa Melayu tidak diselesaikan dulu. Selagi orang Melayu tidak percaya kerajaan mahu mendaulatkan bahasa Melayu, isu bahasa Inggeris ini akan menjadi masalah.
    Saya juga mahu isu bahasa Melayu terus hidup. Bagi saya, kita perlu menguasai lebih daripada dua bahasa. Orang Melayu mesti tahu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Terbaru, cadangan jawatankuasa laporan Wan Zahid mengatakan bahasa pengantar di universiti adalah bahasa Inggeris. Pada saya jika kerajaan terima cadangan ini, ia satu malapetaka besar.
    Saya percaya 50 peratus pensyarah di universiti tidak boleh mengajar dalam bahasa Inggeris. Lebih buruk lagi, cadangan ini merupakan pukulan maut kepada bahasa Melayu. Jika bahasa Melayu tidak menjadi bahasa ilmu, ia akan mati. Tiada istilah baru dicipta. Jika perkara ini dilaksanakan, betullah telahan kita semua.
    Hujah yang diberikan dulu, apabila mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris, ialah ia hanya babitkan dua mata pelajaran. Tapi kita sudah membuat kajian dua pelajaran ini jika dipraktikkan hingga tingkatan empat di sekolah sains, ia sudah merangkumi 80 peratus.

    Genap 17 tahun, bahasa Melayu akan menjadi bahasa pasar, malah lebih teruk lagi. Kawan saya beritahu, bila dia pergi ke pasar malam, orang sudah bercakap bahasa Inggeris (ketawa). Kita bimbang kedudukan bahasa Melayu menjadi lebih teruk daripada bahasa Jawa. Jika pergi pasar malam di Yogjakarta, bahasa Jawa digunakan dan kita mungkin dapat beli dengan lebih murah jika tahu bahasa Jawa!
    Media perlu bangkitkan isu ini supaya PM sedar ia akan menjadi satu beban yang besar apabila mempertahankan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Pelaksanaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah sebenarnya bertentangan akta. Akta mengatakan bahasa utama adalah bahasa Melayu. Perkara ini dilaksanakan tanpa pindaan akta.

    Dalam politik Melayu, kerap kali isu perpaduan dan juga perpecahan selalu menjadi momokan, seolah-olah jika ada perbedaan pandangan dan aliran yang memisahkan dua kelompok besar Melayu maka dianggap bangsa sudah berpecah. Sedangkan dalam demokrasi, ia fenomena biasa yang tidak perlu dibimbangkan.

    Ini kerana Umno terlalu biasa dengan suasana menguasai politik Melayu. Sedangkan dalam konteks hari ini, kita harus fikir bahawa orang Melayu memerlukan dua parti politik yang kuat. Ia sebagai alternatif kepada Umno. Saya fikir Umno kini sudah dimakan anai-anai dari dalam. Selagi Umno tidak berani memanggil BPR untuk menyelesaikan rasuah politiknya, ia akan hancur dari dalam. Kita lihat tiada tindakan walaupun jaminan di bawah pemerintahan Abdullah isu rasuah ini akan ditangani secara berkesan. Tidak ada.
    Jika dilihat pada 1999, PAS dengan keADILan mendapat sokongan hampir 70 peratus orang Melayu, maknanya secara psikologi pernah menjadi menjadi parti Melayu terbesar. Malangnya PAS, tidak sepertimana Umno, berjaya membentuk gabungan parti-parti semantap BN. (bold)
    Umno terus berkuasa bukan kerana kekuatannya tetapi kerana tidak mempunyai saingan. Saya harap PAS mesti berfikir ke arah itu. Untuk mengajak orang bukan Islam menjadi ahli PAS, itu terlalu jauh dan angan-angan yang terlalu besar. PAS harus mengukuhkan di kalangan orang Islam sebagai alternatif kepada Umno dan menunjukkan PAS itu bersih dan tidak terkongkong dengan isu-isu kecil dan sempit.

    PAS LEBIH BANYAK MENUNGGU?

    Atau mungkin PAS dilihat tidak membawa isu-isu Melayu secara berkesan?

    Ia bukan hanya isu Melayu tetapi isu yang universal yang menguntungkan orang Melayu. PAS mesti rapat dengan NGO Melayu dan memenangi hati Melayu. Contohnya, sewaktu PAS menguasai Terengganu, saya difahamkan tidak banyak perbezaan antara pemerintahan PAS dengan Umno. Perkara ini perlu difikirkan.
    PAS masih jauh dalam memenangi hati orang Melayu. PAS harus menjadi jaguh dalam isu-isu Melayu, di samping menguasai isu-isu negara yang lebih kompleks. Tapi, saya melihat PAS lebih banyak menunggu daripada merintis jalan. Menunggu untuk diberikan idea. Sepatutnya PAS mencari dan mendekati kelompok atau individu yang mempunyai idea. Saya yakin ramai yang bersedia menyumbang.

    Kita tidak mendengar kerajaan PAS Kelantan korupsi. Dan ini merupakan modal yang penting. Begitu juga dengan pelancongan. Kelantan mempunyai potensi yang banyak. Malah pelancongan dari segi agama juga dapat dimajukan di Kelantan, banyak warisan ulama silam ada di sana.

    Sumber:http://www.harakahdaily.net/v06/index.php?option=com_content&task=view&id=3638&Itemid=60

    Friday, June 30, 2006

    Dalam keadaan dunia diselubungi demam Pial Dunia 06 dan serangan Isreal laknatullah kpd umat Islam Palestine, aku sempat mendengar siaran langsung wtv8 yg memaparkan temubual dengan Prof Dato Dr Khoo Kay Kim(Pakar Sejarah). Aku tertarik dengan komennya mengenai orang Melayu malu-malu untuk menyampaikan Islam kepada orang lain terutamanya masyarakat Cina, kalau mereka membincangkan Islam tiba2 ada orang bukan Islam datang, mereka kata, ini bukan urusan engkau(sambil merujuk kepada pengalaman beliau. Aku berkesempatan berada di UK melihat sedikit sebanyak usaha menyebarkan Islam oleh umat Islam disini. Mereka melakukannya bersungguh dan menerusi kaedah yang menarik. Pas juga mengakui bahawa mereka juga agak kurang melakukan usaha dakwah Islam kpd org bukan Islam, yang sepatutnya menjadi salah satu core business mereka. Sudah tiba masanya Pas memeikirkan cara terbaik menyampaikan dakwah kpd masyarakat bukan Islam di M'sia khususnya orang Cina, Adakan hubungan baik dengan MACMA dan tubuhkan Task Force untuk usaha tersebut dan libatkan ustaz2 drpd kalangan saudara Islam atau ustaz yg boleh berbahsa Cina untuk berdakwah kepada masyarakat Islam.Usaha dakwah di europah dan US sangat bertenaga, umat Islam M'sia yang cintakan Islam harus mempelajari dan mencontohi mereka. Sdr Muhd Riduan mereupaka salah seorang Cina muslim di M'sia ynag mungkin boleh diajak bersama dalam usaha dakwah kepada orang Cina.


    Insiden dihempap kontena perkukuhkan iman Muhd. Riduan Hoe

    Oleh ZUARIDA MOHYIN


    PELANGGAN bertali arus mengunjungi pejabat Aculife di Jalan Sepadu, Taman United, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Muhd Riduan Hoe (kiri) sedang melayan pelanggan baru dan lama.

    MALANG tidak berbau. Pun begitu sebagai seorang muslim kita perlu meyakini bahawa setiap sesuatu yang berlaku itu adalah ketentuan Ilahi.

    Namun bagi Muhd Riduan Hoe, 68, Pengarah Sri Ikatan Builder Sdn. Bhd., syarikat yang mengendalikan kerja-kerja melukis pelan bangunan, kedua-dua kenyataan di atas berlaku serentak dalam kehidupannya.

    Semuanya bermula selepas beliau terlibat dalam satu kemalangan yang amat mengerikan sewaktu dalam perjalanan ke tapak projek yang terletak di Bukit Jalil dekat Kuala Lumpur. Melihat kepada kenderaan pacuan empat roda milik Muhd. Riduan yang rosak teruk akibat daripada hempapan kontena seberat ratusan kilogram itu, ramai tidak menyangka pemandunya masih mampu bernafas.

    Biarpun nyawanya masih panjang, namun kemalangan ngeri itu menyebabkan beliau yang memeluk Islam beberapa tahun sebelum itu terlantar koma selama beberapa bulan, selain menerima rawatan khusus akibat retakan tengkorak kepala dan kecederaan teruk hampir di seluruh badan.

    Sungguhpun insiden tragis ini berlaku kira-kira lapan tahun lalu dan sudah kembali pulih, ia tidak seperti sebelum kemalangan. Kesengsaraan yang ditanggung selama di hospital serta sepanjang pemulihan masih kukuh dalam ingatannya. Malah semua kepedihan itu terubat dengan hikmah yang diperoleh.

    Kematian

    “Ramai orang tersayang dan kenalan seperti mengharapkan kematian saya memandangkan jika pulih pun saya tidak lagi seperti dulu. Malah saya dianggap membebankan mereka. Segala simpanan dan harta benda saya hilang begitu sahaja dan akhirnya saya hilang segalanya.

    “Setelah sedar daripada koma, fikiran saya masih belum mampu berfungsi secara normal dan kecederaan teruk di bahagian sebelah kiri badan menyebabkan pergerakan saya terbatas. Semua ini amat membebankan, apatah lagi mengenangkan nasib ditinggalkan orang tersayang.

    “Sehingga satu peringkat, dugaan berat ini ada ketikanya merapuhkan benteng keimanan diri. Lebih-lebih lagi bila mengenangkan saya sendirian mengharunginya. Fikiran saya berkecamuk, perasaan saya tertekan dan situasi ini amat menyiksakan dan tidak tertanggung rasanya. Alhamdulillah, Allah masih sayangkan saya. Ruparupanya lebih banyak rezeki dan nikmat yang diberikan selepas ujian berat itu,” cerita Muhd. Riduan.

    Katanya, selepas melakukan pelbagai kaedah perubatan sama ada moden atau alternatif, keadaan kesihatannya masih tidak banyak berubah. Malah wang simpanan yang masih berbaki semuanya dibelanjakan untuk mendapatkan perkhidmatan pemulihan. Malangnya, semuanya tidak berjaya.

    Setelah kecewa dengan pelbagai jenis kaedah perubatan yang terdapat di pasaran, Muhd. Riduan tergerak untuk mencuba sejenis alat ciptaan dari negara Jerman iaitu Peralatan Elektrik Anion, kaedah moden untuk membuang oksigen aktif (radikal bebas) dan toksin serta dalam masa yang sama menggunakan akupuntur Tenaga Bio.

    “Hasil kajian sejak 1980 hingga kini mendapati 90 peratus penyakit seperti kanser, lumpuh, arteriosklerosis, dermatitis, kulit kering, bintik hitam, kulit kedut dan banyak lagi berpunca daripada oksigen aktif. Apabila oksigen aktif bergabung dengan asid lemak tidak tepu, ia akan membentuk bahan lemak yang dioksidakan. Proses berterusan ini akan turut mengoksidakan sel-sel dan tisu serta merosakkan bahan protein yang berfungsi untuk membina sel-sel.

    “Sementara itu alat Akupuntur Tenaga Bio merupakan teknologi terkini yang membuktikan bahawa tenaga bio mengaktifkan tenaga positif atau ‘Qi’ dalam titik-titik akupuntur badan. Alat ini menggabungkan kuasa perangsang dalaman dengan akupuntur tradisional memberikan satu resolusi kepada produk kesihatan secara saintifik dan praktis.

    “Alhamdulillah, selepas setahun menggunakan dua peralatan itu, perubahan positifnya terasa hari demi hari. Saya benar-benar bersyukur dengan perkembangan kesihatan saya. Apa tidaknya, daripada herot muka, sukar berjalan dan lemah otak kini kehidupan saya lebih selesa,” akui Muhd. Riduan.

    Hasil rawatan perubatan itu juga mendorong beliau menubuhkan Aculife (M) Sdn. Bhd. bukan atas dasar mencari keuntungan semata-mata tetapi berniat untuk membantu orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama.

    Menurut Muhd. Riduan, apa yang berlaku ke atasnya selama ini semuanya membuktikan kekuasaan Allah. Malah penubuhan syarikat Aculife juga adalah salah satu tanda kesyukurannya. Ini kerana selain menjadi punca rezeki ia juga dianggap satu tanggungjawab untuk menghulurkan bantuan kepada insan lain.

    Pengakuan

    Sewaktu berkunjung ke pejabat operasi Aculife (M) Sdn. Bhd. baru-baru ini, penulis tidak menyangka dalam usia penubuhannya yang baru setahun jagung rupa-rupanya Aculife telah berjaya memberi sinar baru terutama kepada pesakit-pesakit kronik di negara ini. Ini terbukti daripada testimoni-testimoni beberapa pesakit yang berada di situ serta menerusi pengakuan yang dibuat di beberapa media cetak pelbagai bahasa. Malah ada di antara mereka yang telah sembuh sepenuhnya kini bergelar ejen dan pengedar Aculife.

    Muhd. Riduan sewaktu diminta menceritakan perjalanan pengislamannya memberitahu datuk moyangnya dulu-dulu beragama Islam tetapi pegangan Islam mereka hilang begitu sahaja.

    “Saya masih ingat kisah sewaktu saya pulang ke kampung di China ketika kecil dulu. Saya dapati ada perbezaan besar yang ketara antara kehidupan orang Cina Islam jika dibandingkan dengan yang beragama Buddha di sana. Hal ini sedikit sebanyak telah menarik minat saya kepada Islam.

    “Sehinggalah usia saya meningkat dewasa dan berusia, saya pernah mengajak isteri dan anak-anak untuk sama-sama memeluk Islam. Sayangnya, hasrat saya tidak kesampaian dan mereka hanya berpura-pura ikhlas di hadapan mata tetapi di belakang mereka menolak,” ceritanya yang memeluk Islam di ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

    Kata Muhd. Riduan, ketenangan dan kesihatan yang dikurniakan kepadanya sekarang serta sokongan daripada pejabat agama dan orang perseorangan secara tidak langsung menjadi sumber kekuatan buatnya meneruskan kelangsungan hidup. Ditambah pula dengan usaha murni menerusi Aculife yang diumpamakan ‘bonus’ baginya.

    Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang kaedah perubatan itu boleh menghubungi Muhd. Riduan Hoe melalui talian 017-3737686 atau 03-7983 0400.



    Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

    Thursday, May 25, 2006

    Kemahiran Berfikir dan remaja

    Aku tertarik dengan ayat penulis remaja tak seharusnya didedahkan dengan pendekatan mengingatkan meghafaz shj. Rasanya itulah yang berlaku dalam sistem pendidikan kita yang sangat berorientasikan peperiksaan. Hasilnya lihat kualiti pelajar pada zaman sekarang tak berupaya mengolah sendiri maklumat dan menganalisanya serta memahami dengan lebih baik sesuatu disiplin ilmu. Saya harap kerajaan menyedari perkara ini dan Pak menteri jangan asyik dok berfikir nak pertahankan jawatan shj, perah otak fikir yg terbaik utk rakyat bukan hanya utk perut dan bawah perut kamu shj.

    Kemahiran berfikir perlu pendedahan sejak zaman remaja
    Oleh: DR. SIDEK BABA
    KEMAHIRAN berfikir adalah sesuatu yang amat fundamental dalam kemajuan sesuatu negara dan bangsa. Bangsa Yunani terkenal melahirkan ahli-ahli fikir dan sekali gus menghasilkan karya-karya besar.
    Pemikir seperti Aristotle, Plato, Socrates dan lain-lain, pemikirannya dikaji sehingga kini. Hal yang sama berlaku dalam ketamadunan Islam yang melahirkan pemikir-pemikir besar dalam banyak bidang. Orang-orang seperti Ibn Nafis, Ibn Sina, al Batani, al Khwarizmi, al Biruni, al Zahrawi, ibn Khaldun, ibn Taimiyyah, Shah Waliyullah dan lain-lain adalah pemikir, pengkaji dan saintis pada zamannya yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan manusia dan tamadun. Kekuatan yang ada pada mereka bermula dengan tradisi berfikir yang menghasilkan ilmu dan karya.
    Kemahiran berfikir harus didedahkan kepada generasi muda sejak zaman remajanya lagi. Kecenderungan al Farabi, al Kindi, Ibn Rushd berfikir bermula sejak umur remaja lagi. Bermula dengan mendekati dan meneliti al Quran, menguasai aspek-aspek bahasa dan tafsir sehinggalah mendekatkan mereka dengan ilmu-ilmu falsafah, matematik, astronomi dan muzik adalah gambaran tradisi berfikir yang cemerlang berlaku di kalangan mereka. Dewasanya mereka menghasilkan karya-karya besar untuk kajian dan tatapan manusia berzaman-zaman.
    Berfikir sebagai suatu kemahiran perlu disuburkan di kalangan remaja. Tempoh remaja adalah tempoh yang amat berpotensi membentuk kemahiran berfikir supaya potensi akliah atau mindanya dapat berkembang dengan subur dan baik. Remaja tidak seharusnya di dedah dengan pendekatan mengingat dan menghafaz saja. Ia juga penting sebagai suatu cara merakam maklumat dan ilmu. Tetapi lebih penting lagi ialah bagaimana maklumat dan ilmu dapat difahami dan diaplikasikan kepada diri dan juga diluar diri. Ia sudah tentu menuntut upaya atau kemahiran berfikir.
    Kemahiran berfikir amat perlu bagi remaja supaya sudut pandangannya menjadi luas dan mantap. Oleh kerana sifat ilmu dan maklumat adalah berkembang, pemikiran remaja tidak harus statik, beku dan jumud dalam tahap-tahap tertentu sedangkan perkembangan maklumat dan ilmu di sekitarnya berkembang dengan laju. Dalam gelombang perkembangan maklumat yang digerakkan oleh teknologi para remaja harus berkemampuan menyaring yang mana baik dan bermanfaat atau yang mana sebaliknya. Kemahiran berfikir boleh membantu.
    Apa yang penting bagi remaja ialah kenal pasti potensi, minat dan kecenderungan terhadap bidang-bidang ilmu dan keahlian kemudian latih diri dengan kemahiran berfikir yang sistematik. Maksud berfikir yang sistematik ialah bagaimana pemerhatian, pengkajian, dapatan, penemuan yang dilalui oleh remaja baik dalam hal-hal akademik dan kerja saintifik, mahupun khazanah pengalaman dan pemerhatian mencetuskan daya fikir, perasaan ingin tahu yang tinggi, kecenderungan melihat dalam perspektif yang berbeza, memperkayakan persepsi, tafsir dan taawil terhadap sesuatu adalah jalan-jalan yang menghasilkan kemahiran berfikir.
    Remaja di peringkat awal membina kemahiran berfikir harus peka dan sensitif terhadap sesuatu. Ia mendorong rasa ingin tahu yang tinggi. Dorongan ingin tahu harus diikuti dengan pembacaan, perkongsian ilmu dan maklumat, melakukan analisis, mendapatkan maklumat-maklumat berbanding dari sumber-sumber lain kemudian meletakkan sesuatu subjek atau isu dalam persepktifnya. Apabila sesuatu itu berada dalam perspektifnya maka barulah asas pemikiran diletakkan dan subjek itu boleh dilihat secara kritikal, kreatif, reflektif, lateral, analitis, evaluatif dan sebagainya.
    Melihat dan menanggapi sesuatu berasaskan perspektif pemikiran boleh menambahkan lagi kesuburan ilmu, menjadikan maklumat berkembang, pendapat diperkayakan dan akhirnya data dan fakta yang diperolehi menjadi lebih tersaring dan rumusan ke arah sesuatu akan menjadi lebih baik. Ia sangat penting memandu remaja berfikir dengan lebih tepat, baik dan sempurna. Ia boleh menyebabkan remaja berfikir dengan kualiti.
    Pada hari ini ramai remaja yang tidak berfikir. Sesuatu itu dilihat secara pergi dan datang tanpa kecenderungan untuk berfikir baik atau buruknya. Sesuatu yang datang dalam hidupnya baik yang bercorak maklumat, hiburan, senikata, bahan pembacaan dan tontonan lebih banyak yang mengisi keperluan naluri dan nafsu. Sekiranya para remaja tidak dibina asas dirinya menjadi remaja yang baik dan berakhlak unsur hiburan dan berpoya-poya sangat digemari. Remaja jenis ini jarang berfikir tentang baik buruk, bermanfaat atau pun tidak akan sesuatu itu, sebaliknya menjadi pengguna setia hingga akhirnya menyebabkan para remaja terpengaruh dengan perkara-perkara negatif dan terlibat dengan perbuatan yang melampaui batas.
    Dalam tradisi Islam kemahiran berfikir sentiasa dihubungkan dengan faktor zikir. Zikir di sini harus dilihat dalam erti kata yang luas. Zikir bukan hanya menyebut nama Allah atau kebesarannya tetapi zikir dalam konteks fikir mengajar remaja memahami faktor kewujudan Allah dengan tanda-tanda kebesaran-Nya. Allah s.w.t adalah sesuatu yang ghaib. Adanya alam ini, seluruh kejadian yang ada, rahmah dan nikmat yang melimpah, diberikan roh kepada manusia supaya manusia mampu berfikir, merasa dan memilik nilai dalam aplikasi hidup.
    Remaja di peringkat awal umur lagi jangan hanya berfikir terhadap benda-benda yang wujud dan tampak semata-mata. Sesuatu yang wujud dalam alam dan kehidupan ini tidak semestinya maujud dalam bentuk yang nyata dan tampak. Roh yang ada pada tubuh remaja sendiri adalah sesuatu yang ghaib. Tetapi ia wujud pada diri dan memperkasa akal dan hati. Tanpa roh jasad, akal dan rohani tidak akan memberi makna apa-apa. Pemikiran pokoknya ialah siapa yang mencipta roh itu. Al-Quran memberikan pertunjuk bahawa roh itu adalah ciptaan Allah dan yang diketahui oleh manusia tentang roh adalah amat sedikit.
    Akal adalah anugerah Allah yang amat berharga. Dari akal membolehkan remaja mengingat dan menghafaz. Dari akal juga menyebabkan pemikiran berkembang dan daya taakulan terjadi. Berfikir adalah suatu proses dan apa yang difikir menjadi sumber maklumat dan ilmu kepada remaja. Tetapi upaya pemikiran remaja terbatas sedangkan alam dan kehidupan yang amat luas ini sifatnya tidak terbatas. Remaja memerlukan pedoman. Al-Quran sebagai kalam Allah memberikan kita pedoman mengenai alam nyata dan alam ghaib. Darinya remaja belajar memberi perimbangan mengenai pertunjuk, pedoman dan pertanda dari Allah untuk manusia tahu dan darinya manusia dapat mengukuhkan jiwa kehambaan yang tinggi supaya kepatuhan dan ketaatan yang ada membolehkan remaja hidup dalam keadaan yang fitrah. Kalau tidak pemikiran remaja akan berkembang secara pemikiran orang Barat yang sebahagiannya tidak percaya kepada konsep Penciptaan dan menolak konsep ghaib sebagai dogma dan dihubungkan sebagai tidak rasional dan tidak saintifik.
    Dalam al-Quran terdapat hampir 200 ayat yang khusus tentang sains. Ulama dan ilmuan Islam pada masa terdahulu berfikir berpandukan zikir iaitu menghubungkan Allah sebagai Pencipta. Sedikit kebesaran dan kehebatan hasil ciptaan-Nya dikaji oleh manusia dalam mengurus hidupnya. Bagi yang tidak beriman merasakan apa yang ditemui dan didapati dianggap ia hasil kajian saintifik manusia sedangkan bagi pemikir dan saintis Islam ia adalah tanda kebesaran Allah yang menciptakan segala sesuatu dan manusia hanya dapat menemui sedikit rahmah, hikmah dan nikmat-Nya. Dari situ manusia memiliki rasa syukur yang tinggi.
    Para remaja Islam perlu bersikap kreatif, inovatif dan kritikal terhadap sesuatu fakta dan data. Tetapi daya kreatif, inovatif dan kritikal jangan sampai kita menolak faktor zikir hingga menyebabkan remaja kehilangan arah dan pedoman dan akhirnya menolak Tuhan dan agama. Faktor zikir adalah faktor yang memandu remaja dekat dengan kebenaran dan faham tentang fitrah kejadian. Oleh itu berfikir tanpa landasan boleh menyebabkan remaja hilang arah. Berfikir menolak fitrah kejadian akhirnya menyebabkan remaja menolak fitrah kejadian. Berfikir secara Qurani akan membimbing remaja ke arah kebenaran yang hakiki. Kebenaran hakikilah yang menjadi pedoman terbaik memandu remaja membina peribadi yang fitrah.
    * Prof. Dr. Sidek Baba ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.