Apabila membaca artikel ini saya amat setuju dan menyokong pandangan Prof. Dalam suasana pemimpin Melayu yg bercakaran sesama sendiri bukan disebabkan memperjuangan kan agama atau kepentingan negara tetapi kerana kepentingan mereka sendiri. Artis diberikan populariti yang sangat luas dan ulama dicemuh dalam suasana masalah murtad semakin menjadi-jadi. Kepada semua orang Melayu yang sayangkan agama, bangsa dan negara fikirkanlah semula sokongan anda kepada UMNO. Sokongan itu ibarat sokong membawa rebah. Zaman Mahathir sudah berlalu(byk shit yg dia tinggalkan , Pak Lah tanggung). Dengan kemenangan yg bukan kepalang majoritinya kepada BN, maka Pak Lah menjanjikan pelbagai tindakan bagi membersihkan pentadbiran negara drpd pelbagai masalah spt rasuah, campurtangan politik dlm pentadbiran kerajaan dan kehakiman serta lain-lain lagi. Sekarang heboh pulak isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa semakin menjadi-jadi sejak Pak Lah ambil alih. KJ(sapa tak kenal) dikatakan berkuasa drpd PM. Saya tak mahu ulas pjg tetapi byk laman web dan hinggakan Che Det dlm roadshownya memperkatakan tentang KJ ni. Rakyat M'sia tak ada pilihan utk menyelamatkan M'sia, berikan sokongan kpd gabungan BA dan nyahkan UMNO utk 5 thn drpd putrajaya, lihat bagaimana BA mentadbir. Jika sama shj, kita nyahkan pulak BA. BN sudah terlalu lama. Di negara maju, pemimpin takut rakyat, tetapi di M'sia rakyat takut pemimpin(ini tak betul. pemimpin jahat pulak tu). Sekian dulu. Prof A Bakar Hamid: Melayu tidak berfikiran strategik |
Oleh Harakahdaily Kritikannya terhadap kongkongan di universiti, sehingga menyifatkan peranan naib-naib canselor tidak jauh bezanya dengan pengarah cawangan khas (SB) polis, agak mengejutkannya. Namun, mendekati Profesor Datuk Abu Bakar Hamid, tokoh berpengalaman luas selama lebih 32 tahun sebagai ahli akademik dan pentadbir di Universiti Malaya, ternyata cakupan bicaranya cukup meluas. Bekas Timbalan Naib Canselor UM ini juga pernah menjadi Pengerusi Bernama dan Profesor Ternama, Kerusi Tun Razak, Universiti Ohio, selain dianugerahkan Doktor Kehormat Persuratan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Ikuti sedutan wawancara AHMAD LUTFI OTHMAN dan NYZA AYOB bersamanya baru-baru ini.
HARAKAH: Bagaimana Prof melihat sistem pendidikan tinggi hari ini? Apa isu-isu yang seharusnya diselesaikan dahulu?
ABU BAKAR: Banyak masalah pendidikan tinggi hari ini. Kita perlukan pelan menyeluruh jangka panjang. Sekarang ramai bercakap masalah siswazah menganggur. Ini masalah besar yang merisaukan. Tapi, lagi banyak siswazah menganggur, lagi banyak universiti ditubuhkan. Kita tidak tahu apakah ada pelan jangka panjang yang menyeluruh atau tidak.
Keadaan ini kelihatan seperti permainan bola sepak politik. Contohnya, nak menang Terengganu atau Kelantan, universiti pun jadi umpan. Jadi, kita mesti fikirkan peranan asas sebuah universiti, apakah untuk melatih pelajar demi keperluan tertentu?
Apabila 40,000 atau 60,000 pelajar menganggur, mereka disalahkan. Pelajar juga ada dikatakan terlalu memilih kerja. Soalnya, apakah kita mahu lulusan universiti ini bekerja sebagai buruh? Jika perlukan mereka kerja seperti itu, perlukah mereka dilatih di universiti? Tidakkah ini membazir?
Pelajar juga tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk bekerja. Kita seharusnya memberitahu kepada universiti kemahiran yang diperlukan pelajar. Contohnya kemahiran komunikasi. Kenapa tidak diberitahu kepada universiti bahawa setiap jabatan atau fakulti mesti melahirkan pelajar yang boleh berkomunikasi dengan baik.
Dalam pada itu, jika 50,000 atau 60,000 pelajar sudah mempunyai kemahiran komunikasi ini, apakah mereka akan mendapat pekerjaan? Kita juga sering menuding jari dan mengharapkan siswazah mesti mencipta kerja. Bagaimana hendak mencipta kerja sedangkan mereka sukar mendapat pinjaman bank.
Saya pernah jadi pengarah bank, jadi saya tahu. Bank hanya bagi pinjam pada orang kaya sahaja. Bank tidak akan bagi pinjaman pada orang miskin melainkan ada skim.
Kita saling salah menyalahi walhal kita tidak cuba memahami masalah
pelajar. Apakah sebenarnya kita perlukan universiti atau sekolah tinggi
vokasional? Jika kita mahukan pelajar disediakan pekerjaan, maka tidak perlu kita tubuhkan banyak universiti. Sebaliknya kita tubuhkan sekolah tinggi vokasional ini. Semua ini boleh diubah tetapi saya tidak tahu kenapa ia tidak diubah.
Dalam dunia pendidikan hari ini, dua perkara utama harus dititik berat
iaitu menjadikan pelajar seorang terpelajar serta memberi mereka nanti pekerjaan untuk menyara hidup.
Jadi, Prof berpendapat kita perlu mewujudkan lebih banyak sekolah tinggi vokasional berbanding universiti?
Kita mesti kaji jenis pendidikan yang kita perlukan. Jika banyak pekerjaan memerlukan pendidikan vokasional, maka kita perbanyakkannya. Kita perlukan perancangan jangka panjang yang menyeluruh. Dulu kita mempunyai Universiti Pertanian tapi kemudiannya dihapuskan. Saya merupakan salah seorang yang menentang Universiti Pertanian dihapuskan. Sekarang baru kita sedar kepentingan Universiti Pertanian.
Kita terlalu terpengaruh dengan teknologi maklumat sehingga Universiti Pertanian ditutup. Sepatutnya kita gunakan teknologi maklumat ini untuk mengembangkan pertanian. Bagaimana seorang petani yang mempunyai seekar tanah misalnya boleh hidup menyara keluarga dengan tanah seekar itu, menggunakan teknologi moden. Perkara ini yang perlu kita fikirkan.
Daripada apa yang Prof sebut, nampak begitu mudah sesebuah universiti itu hendak dibina ataupun ditukar nama. Apakah ia tidak memerlukan proses tertentu, yang membabitkan lebih ramai pakar, terutama di peringkat perancangan pendidikan tinggi? (bold)
Saya tidak tahu sebab saya tidak lagi diajak berunding. Sepatutnya mesti ada satu pelan induk dalam pendidikan tinggi, misalnya berapa universiti yang kita perlukan hingga tahun 2020, dalam bidang apa dan di mana hendak ditubuhkan? Perkara ini perlu perancangan yang teliti supaya penubuhan universiti baru ini bersesuaian dengan keperluan negara.
Selain itu supaya penubuhan universiti baru tidak mengganggu universiti sedia ada. Dulu sewaktu saya menjadi Timbalan Naib Canselor, pada waktu itu UKM hendak menubuhkan dua fakulti baru, undang-undang dan pergigian. Ketika itu kedua-dua fakulti ini hanya terdapat di Universiti Malaya.
Kita bukan tidak mahu bekerjasama tetapi hendaklah diberi tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun supaya UM dalam bidang ini boleh ambil 30 peratus tenaga pengajar lebih daripada yang diperlukan. Kita bukan tidak mahu mereka pergi. Kita tahu ini untuk keperluan negara. Tetapi berilah tempoh supaya mereka dibekalkan pengalaman mencukupi untuk menerajui fakulti baru.
Universiti yang baru ini kita tidak mahu dimulakan dengan kursus baru oleh pensyarah yang tidak berpengalaman. Sekurang-kurang dekan berpengalaman sepuluh tahun dan sudah jadi profesor madya, dan sebaik-baiknya profesor penuh. Ia juga tidak menjejaskan fakulti sedia ada.
AKUJANJI HINA PENSYARAH
Universiti juga dibebani pelbagai sekatan dan halangan, antaranya yang popular ialah Akta Universiti dan Kolej Universiti, Auku, dan sekarang masalah akujanji kakitangan akademik.
Ya, universiti patut bebas dari kongkongan birokrasi. contohnya akujanji,ia cukup menghna pensyarah universiti. Ramai yang tidak bersetuju apabila saya mengatakan dengan adanya akujanji ini menjadikan pensyarah lebih rendah tarafnya daripada petani dan polis.
Apabila menjadi pensyarah universiti kita boleh diambil tindakan tatatertib hanya berdasatkan syak wasangka. Kalau pimpinan universiti baru mensyaki kita tidak menjalankan kerja atau melakukan sesuatu yang bercanggah kepentingan universiti, kita boleh diambil tindakan. Ini bertentangan dengan hak asasi manusia. Ia mesti dihapuskan.
Kongkongan birokrasi kerajaan kepada universiti juga satu hal. Saya pernah menyebut bahawa lembaga universiti (LPU) yang ada ini tidak berfungsi. Semua peraturan dikeluarkan oleh JPA dan badan-badan kerajaan, dan ia mesti diikuti universiti. Universiti tidak boleh mengatakan tidak. LPU mesti menerimanya. Jadi, apa perlunya LPU? Dari dulu sampai sekarang LPU akan menerima pakai segala peraturan kerajaan
termasuk gaji.
Saya yang manduduki jawatankuasa ini pernah meminta supaya diadakan komisioner universiti sendiri yang tidak terikat dengan JPA. Kita
diminta bertanding dengan universiti-universiti ternama dunia. Mereka memakai pakaian sukan berlari tetapi kita dengan memakai tali leher dan berkot turut berlari untuk berlawan. Kita memang tidak boleh lawan. Dari awal lagi kita akan kalah.
Selain itu bagaimana kita hendak bersaing dengan universiti lain? Pensyarah kita umur 56 sudah pencen. Umur bersara universiti di Malaysia paling rendah di dunia. Di negara lain, umur sebegini baru mendapat profesor dan tidak ada umur bersara bagi mereka. Bagaimanapun mereka akan bersara kerana kemudahan bersara itu adalah lebih baik.
Sewaktu jadi TNC dahulu, saya pernah suarakan pada Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir supaya tempoh perkhidmatan pensyarah dilanjutkan, kerana ramai pesyarah bidang profesional sebelum umur 50 tahun sudah berhenti. Beliau bersetuju supaya tempoh perkhidmatan dilanjutkan sebagaimana hakim sehingga 65 tahun. Akhirnya tak jadi juga. Tenaga berpengalaman puluhan tahun selalunya bersara begitu saja, tidak dapat dimanfaatkan oleh universiti.
Kita sentuh sikit isu politik Melayu. Selalunya orang Melayu terlalu bersikap partisan, sukar berkompromi hanya kerana duduk dalam parti politik berbeda. Ini berlainan dengan orang Cina yang lebih mudah bertolak ansur dalam isu-isu yang disepakati bersama.
Orang Cina, saya kira, berfikir secara strategik. Saya pernah bertanya Dr Mahathir, dengan memberi contoh di Pulau Pinang, mengapa ketika Adun Umno majoriti, ketua nenterinya tetap Cina. Kata Dr Mahathir, jika dilantik ketua menteri di Pulau Pinang di kalangan Melayu, pada pilihan raya berikutnya, orang Cina tidak lagi memberi undi kepada BN dan akan beralih kepada parti lawan.
Selain itu orang Cina mempunyai matlamat politik yang jelas. Lihat saja 1999, jika orang Cina sokong pembangkang, BN akan kalah. Tapi orang Cina kuat menyokong BN kerana mereka mahu kerajaan yang ada kekal. Tapi jika mereka tahu orang Melayu kuat menyokong BN, mereka akan menyokong pembangkang supaya suara pembangkang diterima di Parlimen. Mereka boleh aturkan.
Contohnya, mereka boleh mengundi BN di peringkat negeri tapi mengundi pembangkang di Parlimen. Keputusan pilihan raya Sarawak baru-baru ini, yang menyaksikan kawasan Cina dimenangi DAP juga menunjukkan hal sama.
Selain itu, institusi dalam masyarakat Cina seperti Suqiu, didengar pendapat mereka oleh semua parti Cina. Bagaimanapun, kita orang Melayu tidak berfikir secara starategi tetapi emosional.
Dalam pada itu suara-suara ketiga dalam masyarakat Melayu, terdiri daripada NGO, di zaman Dr Mahathir, suara mereka dihancurkan. Walhal jika tiada NGO Melayu, tidak akan ada UKM dan tidak akan ada Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Sayang sekali suara NGO Melayu ini dikembirikan. Ini menyebabkan Melayu seperti tidak boleh berfikir. Baru-baru ini muncul Kongres Kepentingan Bangsa, yang saya kira dapat memperkasakan semula NGO Melayu ini. Kita terpaksa memperkasa NGO Melayu supaya mereka bebas bersuara. Kepentingan politik orang Melayu terlalu kuat. Justeru, orang tengah atau suara ketiga ini diperlukan. Selagi NGO Melayu tidak mendapat tempat dalam masyarakat, saya rasakan orang Melayu akan rugi.
Baru-baru ini Dr Mahathir mengatakan bahawa sokongan yang diterimanya daripada menteri-menterinya dahulu adalah tidak berkualiti. Mereka mengatakan mengangguk dan menyokong apa saja yang dikatakan Perdana Menteri. Sebab itu tidak berkualiti. Mereka tidak bebas memberi pandangan sendiri.
Justeru, pendapat NGO Melayu ini harus didengar kerana mereka tidak mempunyai kepentingan politik peribadi. Jika kita mahu orang Melayu berjalan di rel yang betul, kita mesti ramaikan golongan yang dapat berfikir berdasarkan prinsip dan kepentingan dalam jangka masa panjang.
Ada kalanya Prof, dalam masyarakat Melayu terdapat ramai golongan opurtunis, yang memikirkan keuntungan diri saja, dan sanggup melihat bangsa kecundang.
Golongan ini memang ada. Tapi mereka biasanya tidak akan aktif. Sewaktu UKM hendak ditubuhkan dahulu, Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran semdiri menentang. Begitu juga Naib Canselor UM pada waktu itu juga menentang. Tapi yang memperjuangkan penubuhannya ramai di kalangan pensyarah UM.
Kita pergi berkempen untuk memberi penerangan hampir setiap minggu di seluruh negeri dengan kerjasama badan-badan seperti persatuan penulis, persatuan belia dan persatuan pelajar. Tindakan ini membuka minda rakyat. Apabila sokongan tidak dapat lagi dibendung, maka kerajaan terpaksa menerimanya.
Sekarang, badan-badan belia misalnya bergantung pada kerajaan. Pada waktu dulu bukan tidak ada sekatan. Contohnya, program yang saya hadiri, dianjurkan badan belia di Kedah. Ia menggunakan balai raya dan tempahan dibuat tiga bulan sebelum program. Bagaimanapun pada hari program, kunci balai raya hilang. Jadi kita tidak dapat gunakan tempat tersebut dan sebagai ganti kita guna sebuah rumah. Sewaktu memberi penerangan, kita diarah berhenti. Katanya, arahan Cawangan Khas (SB). Jadi pada waktu itu ada juga tekanan. Namun umumnya NGO dahulu lebih bebas dan berani.
Patut disokong usaha menggerak dan memperkasakan NGO Melayu seperti yang dianjurkan Tengku Razaleigh Hamzah itu. Sebenarnya kerajaan rugi kerana mengongkong NGO berkenaan.
MAHATHIR MAHU PEMBANGKANG KUAT
Prof sebut orang Cina berfikiran strategik, bijak memilih kerajaan dan menentukan pembangkang. Tapi, Dr Mahathir hanya mengiktiraf peranan pembangkang selepas tidak berkuasa lagi.
Sewaktu Dr Mahathir masih berkuasa, saya dan beberapa rakan pernah berjumpanya menyatakan supaya memberi tempat kepada pembangkang dan jangan terlalu mengongkong. Beliau berkata, beliau tidak mahu pembangkang mati. Beliau mahu PAS lantang bersuara. Katanya, lihat di cawangan-cawangan Umno, jika tidak ada pembangkang, pemimpin Umno akan menjadi raja.
Mahathir memberi contoh, jika diperuntukkan basikal untuk diberi kepada rakyat miskin, Umno akan bagi pada kroninya. Kami nyatakan kepada Mahathir, mengapa kenyataannya dalam akhbar seolah-olah hendak membunuh semua parti pembangkang. Beliau membalas balik, sebagai ahli Umno beliau mesti mempertahankan Umno dan mahukan Umno menang 100 peratus!
Bagaimana dengan peranan NGO Melayu? (bold)
NGO Melayu tidak lagi aktif bergerak, kecuali segelintir kecil, misalnya ABIM. Persatuan lain mungkin tidak lagi berani menjemput golongan yang dianggap berfikiran bebas. Ini mungkin kerana mereka terlalu dikuasai kerajaan.
Saya percaya kalau kita ingin bebas dari rasuah, kita mesti ada sistem dua parti, supaya rakyat boleh pilih. Saya juga mengharapkan parti-parti pembangkang lebih kuat, bukan kerana saya menyokong pembangkang tapi untuk kebaikan semua pihak.
Bagaimana Prof melihat suasana baru di bawah Abdullah Badawi?
Saya kurang arif kerana selepas pencen ini saya jarang menghadiri mesyuarat-mesyuarat. Saya hanya mengikuti melalui media. Sehingga hari ini saya melihat belum terdapat apa-apa perubahan, terutama dalam konteks memberi kontrak secara telus.
Kita lihat ia masih tertutup dan tidak diketahui siapa yang dapat. Proses pemilihan tidak terbuka. Tradisi lama masih diteruskan. Kongkongan terhadap media juga dapat dilihat. Kalau dulu A Kadir Jasin kawal NST, sekarang orang lain pula. Majalah lain ada menemuramah saya tapi NST tidak pula. Media masih kuat dikongkong.
Kerajaan selalu menolak tuntutan untuk membebaskan media dengan mendakwa di mana-mana pun tidak pernah wujud kebebasan mutlak, walhal kita sendiri tidak pernah menuntut kebebasan tanpa batas. (bold)
Dr Mahathir amat pandai berhujah. Saya mengajar retorik, dalam ilmu retorik, dinyatakan bahawa apa-apa pun pendapat, jika kita tarik pada kedua-dua hujungnya, akhirnya ia akan jadi tidak masuk akal. Begitu juga dengan cara Dr Mahathir berhujah mengenai sesuatu topik. Beliau akan mengatakan tidak akan ada kebebasan mutlak, sedangkan orang pun tidak memintanya.
Memang di Amerika pun tidak ada kebebasan mutlak. Tetapi terdapat kebebasan di Amerika yang membolehkan seseorang itu menyatakan pandangannya. Kita boleh mengetahui pandangan mereka. Di Malaysia, lebih banyak diceritakan tentang gossip untuk menjual surat khabar daripada isu-isu yang patut diketahui pembaca.
Hari ini kita dapat lihat, orang yang amat benci dengan Malaysiakini telah melakukan temuramah dengan akhbar talian ini dan dia pula mendakwa tidak diberi tempat dalam akhbar-akhbar utama. Mungkin ini ada pengajarannya tapi hanya selepas tidak berkuasa. Dalam internet dinyatakan pada zaman Abdullah ini 'spinning' yang dibuat media lebih hebat daripada zaman Mahathir.
Perlukah kerajaan menguasai media?
Saya berpendapat kerajaan perlukan media tertentu untuk menyampaikan maklumat dan hasrat mereka. Cuma jangan dikongkong media-media yang lain. Contohnya, Harakah yang dahulunya terbit seminggu dua kali kini dihadkan dua kali sebulan. Jika alasan yang diberikan untuk menyelaraskan supaya sama dengan akhbar penerbitan Umno, adakah alasan ini munasabah?
Umno pun tidak lagi terbitkan akhbarnya, Prof!
Ya, hanya dalam internet (ketawa). Jika ini dilihat sebagai permainan bola sepak, pengadil adalah di sebelah sana. Dia yang tentukan segalanya, walaupun dia juga seorang pemain.
Saya melihat perkara ini tidak betul. Dia tidak memberi izin pihak lain menerbitkan akhbar. Ini saya lihat merugikan. Tetapi dengan adanya akhbar talian internet, kerajaan tidak dapat mengongkong lagi.
Berdasarkan pengalaman kami, tekanan terhadap media lebih ketat dan teruk di bawah Abdullah. Mungkin tiada lagi akhbar atau majalah diharamkan seperti dulu, tapi ini bukan kerana sikap terbuka Abdullah. Bagaimana nak haramkan media kalau permit penerbitan terlalu sukar diberikan. Mohon enam tujuh tahun tapi tak ada sebarang berita!
Itu yang saya tegaskan, pemain di pihak sana juga menjadi pengadil. Mereka tidak berfikir dari segi keadilan. Akhbar Cina lebih berani dari akhbar Melayu. Fikiran orang Melayu dikongkong. Oleh sebab itu orang bukan Melayu boleh berfikir dengan bebas tetapi tidak buat orang Melayu.
Apa impian Prof terhadap kehidupan rakyat di negara ini?
Rakyat biasa wajar diberi ruang untuk memberi input kepada pembangunan negara. Seharusnya tidak ada lagi kemiskinan tegar. Kita mahu negara ini maju dan tidak ada lagi golongan miskin. Kita mesti bebas dari
rasuah dan dadah. Seseorang yang ingin memegang jawatan awam hendaklah berani mengisytiharkan hartanya kepada publik.
Jika tidak mahu membuat pengisytiharan, seseorang itu tidak boleh menjadi pemimpin rakyat. Pendidikan juga harus diberi secara percuma. Kesihatan juga tidak boleh diswastakan. Jika semua ini ada di negara kita, bolehlah kita katakan negara ini negara maju.
Jika hanya dikira melalui pendapatan perkapita belum lagi dapat dikatakan negara kita negara maju. Ini kerana jurang terlalu luas. Rasuah juga harus dihapuskan. Saya antara yang terawal menulis tentang rasuah dalam Umno. Saya dipanggil seorang menteri. Beliau menyatakan apabila anggota kabinet membaca tulisan saya, mereka mengatakan ia terlalu 'strong'. Dalam tulisan itu saya nyatakan bibit-bibit rasuah dalam Umno amat merbahaya.
PUKULAN MAUT BAHASA MELAYU
Perdana Menteri dilihat berani menyanggah beberapa keputusan penting Mahathir, tetapi ia lebih banyak menjurus soal projek besar, misalnya jambatan bengkok. Mengapa Abdullah tidak merombak saja dasar yang merugikan anak-anak Melayu, seperti pengajaran sains, matematik dalam bahasa Inggeris?
Saya melihat Dr Mahathir telah membuat perkitaran yang lengkap. Beliau mulai naik dengan mengkritik secara terbuka Perdana Menteri pertama. Dan apabila turun beliau mengkritik Perdana Menteri sekarang. Kita tahu beliau tidak akan berhenti bercakap. Apa yang dia fikir, suara hatinya akan dinyatakan.
Secara peribadi saya menyukainya, sewaktu dia menjadi rakyat biasa pada tahun 1969/70 dulu, kami berkawan baik. Sekarang apabila beliau lantang bersuara, kita juga boleh tumpang bersuara secara terbuka. Kita harap media lebih terbuka khususnya kepada NGO. Jika tahun 1969 beliau menyerang, beliau tidak mempunyai gol untuk dijaga. Pada hari ini golnya lebih besar.
Banyak yang telah dilakukannya dulu yang tidak dipersetujui ramai. Beliau sendiri akui anggukan menteri pun palsu. Kita lihat suasana hari ini merupakan fasa baru dalam politik Malaysia. Ia bergantung kebijaksanaan Abdullah menyelesaikannya.
Dr Mahathir yang saya kenal bukanlah seorang yang suka berkompromi. Dan tidak ada orang tengah kepadanya. Baik Mahatir atau Abdullah, masing-masing mempunyai target. Mahathir selagi tidak mencapai targetnya dia tidak akan berhenti.
Dalam isu bahasa, saya harap Abdullah lebih berani. Isu bahasa Inggeris ini tidak akan selesai selagi isu bahasa Melayu tidak diselesaikan dulu. Selagi orang Melayu tidak percaya kerajaan mahu mendaulatkan bahasa Melayu, isu bahasa Inggeris ini akan menjadi masalah.
Saya juga mahu isu bahasa Melayu terus hidup. Bagi saya, kita perlu menguasai lebih daripada dua bahasa. Orang Melayu mesti tahu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Terbaru, cadangan jawatankuasa laporan Wan Zahid mengatakan bahasa pengantar di universiti adalah bahasa Inggeris. Pada saya jika kerajaan terima cadangan ini, ia satu malapetaka besar.
Saya percaya 50 peratus pensyarah di universiti tidak boleh mengajar dalam bahasa Inggeris. Lebih buruk lagi, cadangan ini merupakan pukulan maut kepada bahasa Melayu. Jika bahasa Melayu tidak menjadi bahasa ilmu, ia akan mati. Tiada istilah baru dicipta. Jika perkara ini dilaksanakan, betullah telahan kita semua.
Hujah yang diberikan dulu, apabila mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris, ialah ia hanya babitkan dua mata pelajaran. Tapi kita sudah membuat kajian dua pelajaran ini jika dipraktikkan hingga tingkatan empat di sekolah sains, ia sudah merangkumi 80 peratus.
Genap 17 tahun, bahasa Melayu akan menjadi bahasa pasar, malah lebih teruk lagi. Kawan saya beritahu, bila dia pergi ke pasar malam, orang sudah bercakap bahasa Inggeris (ketawa). Kita bimbang kedudukan bahasa Melayu menjadi lebih teruk daripada bahasa Jawa. Jika pergi pasar malam di Yogjakarta, bahasa Jawa digunakan dan kita mungkin dapat beli dengan lebih murah jika tahu bahasa Jawa!
Media perlu bangkitkan isu ini supaya PM sedar ia akan menjadi satu beban yang besar apabila mempertahankan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Pelaksanaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah sebenarnya bertentangan akta. Akta mengatakan bahasa utama adalah bahasa Melayu. Perkara ini dilaksanakan tanpa pindaan akta.
Dalam politik Melayu, kerap kali isu perpaduan dan juga perpecahan selalu menjadi momokan, seolah-olah jika ada perbedaan pandangan dan aliran yang memisahkan dua kelompok besar Melayu maka dianggap bangsa sudah berpecah. Sedangkan dalam demokrasi, ia fenomena biasa yang tidak perlu dibimbangkan.
Ini kerana Umno terlalu biasa dengan suasana menguasai politik Melayu. Sedangkan dalam konteks hari ini, kita harus fikir bahawa orang Melayu memerlukan dua parti politik yang kuat. Ia sebagai alternatif kepada Umno. Saya fikir Umno kini sudah dimakan anai-anai dari dalam. Selagi Umno tidak berani memanggil BPR untuk menyelesaikan rasuah politiknya, ia akan hancur dari dalam. Kita lihat tiada tindakan walaupun jaminan di bawah pemerintahan Abdullah isu rasuah ini akan ditangani secara berkesan. Tidak ada.
Jika dilihat pada 1999, PAS dengan keADILan mendapat sokongan hampir 70 peratus orang Melayu, maknanya secara psikologi pernah menjadi menjadi parti Melayu terbesar. Malangnya PAS, tidak sepertimana Umno, berjaya membentuk gabungan parti-parti semantap BN. (bold)
Umno terus berkuasa bukan kerana kekuatannya tetapi kerana tidak mempunyai saingan. Saya harap PAS mesti berfikir ke arah itu. Untuk mengajak orang bukan Islam menjadi ahli PAS, itu terlalu jauh dan angan-angan yang terlalu besar. PAS harus mengukuhkan di kalangan orang Islam sebagai alternatif kepada Umno dan menunjukkan PAS itu bersih dan tidak terkongkong dengan isu-isu kecil dan sempit.
PAS LEBIH BANYAK MENUNGGU?
Atau mungkin PAS dilihat tidak membawa isu-isu Melayu secara berkesan?
Ia bukan hanya isu Melayu tetapi isu yang universal yang menguntungkan orang Melayu. PAS mesti rapat dengan NGO Melayu dan memenangi hati Melayu. Contohnya, sewaktu PAS menguasai Terengganu, saya difahamkan tidak banyak perbezaan antara pemerintahan PAS dengan Umno. Perkara ini perlu difikirkan.
PAS masih jauh dalam memenangi hati orang Melayu. PAS harus menjadi jaguh dalam isu-isu Melayu, di samping menguasai isu-isu negara yang lebih kompleks. Tapi, saya melihat PAS lebih banyak menunggu daripada merintis jalan. Menunggu untuk diberikan idea. Sepatutnya PAS mencari dan mendekati kelompok atau individu yang mempunyai idea. Saya yakin ramai yang bersedia menyumbang.
Kita tidak mendengar kerajaan PAS Kelantan korupsi. Dan ini merupakan modal yang penting. Begitu juga dengan pelancongan. Kelantan mempunyai potensi yang banyak. Malah pelancongan dari segi agama juga dapat dimajukan di Kelantan, banyak warisan ulama silam ada di sana.
Sumber:http://www.harakahdaily.net/v06/index.php?option=com_content&task=view&id=3638&Itemid=60
No comments:
Post a Comment