Wednesday, September 20, 2006

Ekonomi Islam



Aku tak berapa mahir sangat dengan ekonomi Islam, tetapi menyakini bahawa ianya akan membawa sinar baru kepada umat Islam jika mereka kembali kepada sistem ekonomi Islam sebagaimana dijelaskan oleh para pembentang kertas kerja. Tapi malangnya PM kita awal-awal lagi tolak, macam kita kata makana tak sedap, walaupun belum rasa. Hairan kenapa PM cepat sangat menolak sebelum mengkaji apa yang dikatanya Dinar Emas. Aku harap Pak Lah akan jadi lebih rasional, jika mahu terus jadi PM, kalau tidak lebih baik bagi BA ambil alih, BN rehat la pulak sebab dah penat memerintah rasanya hilang ketajaman akal dan idea apatah lagi quran ditolak tepi semakin bertambah-tambah lemah.



Oleh Maslan Yusoh-harakahdaily.net

KOTA BHARU, 20 Sept (Hrkh) - Harta kekayaan umat Islam akan jatuh ke tangan orang bukan Islam memandangkan sistem kewangan fiat tidak dikuasai mereka, kata Prof Madya Dr Ahamed Kameel Mydin Meera.

Wang fiat dimaksudkan wang yang tiada nilai intrinsik tersendiri, sama seperti wang kertas dan wang elektronik yang digunakan sekarang.

"Dari perspektif ekonomi politik, berpindahnya kekayaan kepada institusi-institusi kewangan akan mengakibatkan berpindahnya juga kedaulatan serta kuasa politik kepada mereka.

"Mereka akhirnya akan menjadi pemerintah sebenar sesebuah negara," katanya ketika membentang kertas kerja pada Seminar Dinar Emas di sebuah hotel di sini, hari ini. Kertas kerjanya bertajuk 'Mengapa Dinar Emas Sejajar Dengan Maqasid al Syariah'.

Seminar itu diadakan sempena pelancaran Emas Dinar Kelantan yang pertama dilakukan dalam sejarah kewangan Islam di negara ini. Ia dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan Permodalan Kelantan Bhd.

Dr Ahamed Kameel dari Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, mereka yang mengeluarkan wang fiat akan menikmati kuasa begitu mutlak kerana mempunyai kuasa beli di seluruh dunia.

Menurutnya, kuasa beli itu telah dinikmati Amerika Syarikat sejak sekian lama dan sekarang dicabar pula oleh Euro.

Katanya, dengan kuasa beli antarabangsa ini mereka dapat melaksanakan agenda-agenda termasuk membiayai Israel dan menindas umat Islam di serata dunia.

"Dengan memberi hutang menggunakan wang fiat yang mereka ciptakan, banyak negara membangun telah pun terperangkap dalam satu perangkap hutang. Tidak dapat bayar walaupun bahagian faedahnya, apa lagi pokoknya.

"Akhirnya kuasa politik dan pengurusan negara jatuh ke tangan institusi-institusi kewangan antarabangsa. Oleh yang demikian beransur-ansur harta kekayaan umat Islam jatuh ke tangan orang bukan Islam," ujarnya.

Beliau juga memetik ahli ekonomi Islam masa kini, Umer Chapra yang menyebut sistem ekonomi Islam tidak wujud di mana-mana dunia Islam.

Negara-negara Islam menyelesaikan masalah ekonomi mereka melalui polisi-polisi yang dibentuk dalam perspektif sekular.

Menurutnya juga, terdapat tiga ciri sistem kewangan masa kini yang mempunyai sifat-sifat riba iaitu wang fiat, perbankan fractional rezab dan riba.

Sehubungan itu beliau mengajak umat Islam memperjuangkan penggunaan wang emas kerana ia mempunyai nilai intrinsik tersendiri, yang sudah terbukti dalam sejarah ketamadunan manusia.

Bekas Pengurus Kanan Pengurusan Projek Bank Pembangunan Malaysia (M) Bhd, Hajah Nik Mahani Mohamad mendedahkan perjanjian Bretton Woods pada 1944, di mana 44 negara bersetuju bersandarkan mata wang kertas negara masing-masing kepada Dollar Amerika.

"Mengapa dunia memberikan persetujuan menggantikan gold standard dengan American Dollar.. dan betapa deception mereka. Dan sejak 1971 Dollar Amerika tidak lagi disandarkan kepada emas.

"Tindakan unilateral Presiden Nixon menandakan berakhirnya sistem piawai emas. Sehingga hari ini dolar ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran pasaran pertukaran asing," katanya ketika membentang kertas kerja bertajuk 'Kembalinya Dinar, Sejarah dan Implikasinya'.

Bekas Pengarah Urusan Abrar Finance Bhd, Dr Rosli Yaakop pula berkata, wang kertas yang digunakan di Malaysia adalah dibuat daripada 'kain buruk' yang begitu murah nilainya.

Menurutnya juga, penggunaan dinar emas dan dirham bermula pada zaman Rasulullah s.a.w dan berakhir selepas Daulah Othamaniah tumbang pada 1924.

"Selepas dilupakan kira-kira tiga suku abab, kini sudah ada gerakan untuk menziarahi semula sistem ini dengan harapan ianya dapat dihidupkan kembali di negara-negara Islam," katanya.

Seminar itu mendapat sambutan menggalakkan termasuk dihadiri peserta dari luar Kelantan. Ia dirasmikan anggota Exco, Dato' Husam Musa. Manakala petang ini pelancaran Emas Dinar Kelantan dilakukan Menteri Besar.

No comments: