Thursday, August 10, 2006

Hanya Islam Pilihan Kita

Membaca artikel ini membuatkan aku melahirkan rasa amat syukur kpeada Illahi kerana dilahirkan Islam, tetapi aku berdoa kepada Allah agar menjadikan aku dan zuriat-zuriatku orang yang memegang Islam dengan sekuatnya dan mempraktikkan serta berusaha menyampaikan dakwah Islam. Dalam keadaan ramai umat Islam yang murtad ditanahairku, aku merasa amat bersyukur kerana Allah memelihara iman ku, Ya Allah ampunkan hambaMu ini dan kedua ibubapaku serta isteri dan anak-anakku. Jadikan kami orang hidup dan mati dalam Islam. Amin. Ya Allah berilah pertolongan kepada saudara-saudara kami di Labenon.

Semoga kisah Saudara SeIslam kita Untie Aminah mengukuhkan keimanan kita serta tekad utk sebarkan Islam.

Aminah Assilmi bangga hidup sebagai Islam


Sebagai pengarah International Union of Muslim Women, Aminah Assilmi mengetuai promosi setem sempena hari raya bagi umat Islam.

Susunan ZUNAIDAH ZAINON

TIADA siapa menyangka, wanita kelahiran Oklahoma, Amerika Syarikat yang dahulunya adalah Saouthern Baptist dan penyokong radikal gerakan kewanitaan serta wartawan penyiaran akhirnya memilih Islam sebagai pengabdian hidup.

Kini, Aminah Assilmi adalah sarjana wanita yang banyak memperjuangkan isu-isu berkaitan agama Islam.

Pengarah International Union of Muslim Women itu menjelajah hampir seluruh pelosok dunia demi meningkatkan tahap kesedaran dan pemahaman terhadap agama suci Allah itu. Lebih manis, beliau berhijab, lengkap dengan tudung kepala yang menutupi rambut dan lehernya serta pakaian yang sopan serta menutup aurat.

Aminah Assilmi menemui kemanisan pertama sebagai Muslim semasa mengikuti kelas teater lebih 30 tahun lalu. Rentetan daripada kesilapan komputer mencetak kelas yang perlu diikuti sepanjang semester pengajian, akhirnya telah merobah kehidupan Assilmi buat selama-lamanya.

Ketika itu, beliau hampir-hampir menggugurkan keputusan mengikuti kelas teater apabila mendapati sebilangan besar pelajar adalah berbangsa Arab yang memakai hijab. Dalam buku Choosing Islam, Assilmi menulis, “Tidak ada cara lain sekiranya saya duduk di dalam kelas itu dengan cara yang tidak beradab...saya menutup pintu dan terus pulang ke rumah.”

Selepas suaminya memberi kata-kata perangsang supaya beliau mengikuti kelas tersebut, Assilmi merasakan tugasnya sekarang ialah menarik seberapa ramai pelajar di kelasnya bertukar kepada Kristian bagi mengelakkan mereka masuk neraka.

“Saya katakan kepada mereka, sesiapa yang tidak masuk Kristian akan dibakar dalam api neraka. Malah Jesus amat menyayangi pengikutnya dan akan menyelamatkan mereka daripada segala dosa. Rakan-rakan sekelas saya amat baik tetapi sayangnya mereka bukan Kristian dan akan menjadi penghuni neraka. Jadi, saya bercadang mengkaji al-Quran demi membuktikan bahawa Islam adalah agama yang salah dan Nabi Muhammad juga tidak benar,” cerita Assilmi.

Seorang rakan telah bermurah hati menghadiahkannya senaskah al-Quran. Bagi memastikan misinya berjaya, Assilmi turut mendalami 15 buku untuk mengkaji hadis Muslim dan bahan bacaan berkaitan dengan agama Islam. Ketika itu, beliau amat yakin rakan-rakan sekelasnya akan meninggalkan agama Islam dan memilih Kristian!

Atas kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t., semakin banyak Assilmi membaca al-Quran, hati kecilnya semakin tertarik kepada keindahan agama Islam terutama kedudukan lelaki dan wanita di sisi Allah s.w.t. Selama ini, beliau mempunyai tanggapan bahawa wanita Islam sentiasa dipukul oleh suami mereka dan tidak boleh dibantah.

Melalui kajian dan hasil pembacaannya, beliau mendapati bahawa wanita Islam memiliki martabat yang sama dengan lelaki dan mereka yang bekerja akan dibayar gaji tanpa mengira jantina. Malah lelaki dan wanita mendapat hak yang seimbang dalam mendapatkan pendidikan. Lebih istimewa, wanita Islam yang berkahwin tidak perlu menukar nama akhir kepada nama suami sebaliknya mengekalkan nama ayah untuk selama-lamanya.

“Selama dua tahun saya belajar demi untuk menarik perhatian pelajar Islam agar bertukar ke agama Kristian,” katanya.

Tetapi pada masa tersebut, rumah tangganya menunjukkan bibit-bibit keretakan. Kebiasaannya, mereka gemar berparti dan mengunjungi bar setiap malam Jumaat dan Sabtu. Bagaimanapun, Assilmi semakin tidak selesa dengan cara hidup demikian dan mula menolak untuk ke disko dan sebagainya. Sebaliknya, perubahan Assilmi dikatakan berpunca dengan kehadiran orang ketiga. Akhirnya, mereka berpisah.

Assilmi berpindah keluar daripada rumah tersebut bersama-sama dengan tiga orang anaknya ke sebuah apartmen. Walaupun telah berpisah, beliau masih meneruskan usahanya untuk menarik mereka kepada Kristian.

Suatu hari, pintu rumahnya diketuk. Apabila membukanya, beliau amat terkejut apabila mendapati seorang lelaki berpakaian putih dan menutupi kepalanya dengan kain berkotak putih merah ditemani tiga lelaki yang memakai pijama.

“Ketika itu, saya mula terfikir apakah pandangan orang sekeliling apabila seorang wanita didatangi lelaki ke rumahnya pada waktu malam. Lebih mengejutkan apabila lelaki tersebut menyatakan bahawa dia tahu yang saya berminat dengan Islam. Saya tegaskan bahawa saya tidak berminat tetapi mempunyai beberapa soalan,” cerita Assilmi lagi.

Kemusykilan

Kemudian, lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Aziz Al-Shiek dan bersedia untuk menjawab segala kemusykilan tentang Islam. Beliau ditanya sama ada mempercayai Allah dan Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah. Assilmi mengakuinya.

“Dengan menjawab ‘Ya’ kepada soalan tentang Allah dan Nabi Muhammad, saya diberitahu telah pun memeluk Islam. Tetapi saya membantah dan bertegas masih Kristian.

“Saya hanya cuba untuk memahami Islam dan tidak akan memeluk agama Islam. Saya katakan kepadanya yang saya adalah orang Amerika dan berkulit putih!” tambah beliau menceritakan saat-saat pertemuan dengan lelaki tersebut.

Assilmi menyifatkan Abdul Aziz Al-Shiek amat penyabar. Beliau menyatakan bahawa dalam pencarian ilmu dan mengamalkannya umpama mendaki anak tangga. Sekiranya, terlepas salah satu anak tangga, ia akan menyebabkan seseorang terjatuh. Mengucap dua kalimah syahadah adalah anak tangga pertama untuk mendaki tangga seterusnya.

Bagi Assilmi yang mengucap dua kalimah syahadah pada 21 Mei 1977, langkah awal adalah memahami Islam dengan lebih mendalam. Bagaimanapun, masih wujud beberapa keraguan dalam dirinya terutama membabitkan hijab.

“Tetapi Abdul Aziz masih sabar menjawab semua soalan saya dan menjelaskan bahawa Allah menggalakkan umatnya mencari ilmu pengetahuan. Acap kali dia sabar menerangkan kepada saya satu-persatu, saya melihat seolah-olah sekuntum bunga ros sedang berkembang mekar hingga ia menampakkan keindahannya,” ujar Assilmi.

Namanya bermaksud kebenaran yang membawa keamanan yang diambil sempena krisis tawanan Iran pada 1980. Ketika memeluk Islam pada 1977, beliau berumur dalam lingkungan 30 tahun.

Apabila ilmu agamanya semakin meningkat selepas mempelajarinya daripada beberapa guru agama, Assilmi mula menampakkan perubahan. Amat membanggakan, beliau memakai hijab tanpa dipaksa.

“Sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran, seorang Muslim harus menutup aurat. Ya, saya adalah Islam dan saya tahu hukum yang ditetapkan oleh Allah. Bagi saya, hijab bukan suatu keperluan tetapi ia adalah hak dan keistimewaan. Hingga mati, saya akan pastikan yang saya akan memakainya,” katanya.

Sebelum memeluk Islam, Assilmi menerima ijazah dalam bidang penyiaran, pendidikan dan komunikasi. Beliau merupakan pemenang anugerah penyiaran Emmy dan bekerja di belakang tabir yang menyediakan pelbagai program menarik untuk siaran televisyen.

Assilmi juga berpendapat, wanita Islam tidak mempunyai had tertentu untuk melibatkan diri dalam bidang profesional. Tetapi, profesion yang paling tinggi martabatnya ialah menjadi ibu kerana peranannya dalam membentuk generasi masa depan. Katanya, wanita Islam selalu didiskriminasikan kerana mereka memakai hijab.

Apabila memilih Islam, ada harga yang perlu dibayar. Assilmi tidak terlepas daripada menerima pelbagai dugaan termasuklah kehilangan hak penjagaan ke atas anak-anaknya. Mahkamah memutuskan bahawa individu yang menganuti ‘agama ortodoks’ akan menjejaskan masa depan anak-anak. Berhadapan dengan masalah rumah tangga dan kehilangan anak-anak menyebabkan beliau hilang semangat untuk meneruskan kehidupan. Pada masa yang sama, keluarga juga seolah-olah memulaunya.

Assilmi juga kehilangan pekerjaan sebagai wartawan penyiaran pada saat beliau mengambil keputusan tampil sebagai wanita Muslim.

“Cuma yang paling menggembirakan apabila nenek saya mengucapkan dua kalimah syahadah. Beliau bukan sahaja bersetuju dengan keputusan saya memeluk Islam tetapi turut tertarik dengan agama suci Allah s.w.t. Nenek meninggal dunia tidak lama selepas bergelar Muslim. Bersyukur kepada Allah s.w.t. Alhamdulillah!” katanya penuh syukur.

Kekuatan

Setelah hampir kehilangan rakan-rakan dan saudara mara, akhirnya Assilmi memperoleh kekuatan. Pengislamannya turut menarik ahli keluarganya memeluk agama Islam. Sahabat baiknya, Qaiser Imam turut memberitahu bahawa bekas suaminya juga memeluk Islam setelah 16 tahun memerhati dan mengkaji cara hidup Assilmi.

“Dia mahu anak kami hidup dan membesar sebagai Islam. Dia juga meminta maaf kepada saya di atas segala perbuatannya. Sedangkan hakikatnya, saya telah lama memaafkannya,” ujar Assilmi yang amat gembira dengan berita pengislaman bekas suaminya. Anak lelakinya, Whittney juga dalam proses mendalami Islam.

Benar, Allah sentiasa menguji setiap hamba-Nya. Beberapa tahun lalu, Assilmi disahkan menghidap kanser tulang di peringkat kritikal. Kemungkinan besar beliau mempunyai setahun untuk hidup. Bagaimanapun, beliau sentiasa percaya kepada kebesaran dan keEsaan Allah s.w.t.

Kini, selepas puas menjelajah hampir sebahagian negara di dunia dan berusaha melawan kanser tulang yang dialaminya, Assilmi telah menunaikan dua kali ibadat haji. Penyakit kansernya memaksa beliau berkerusi roda untuk bergerak.

“Tuhan telah menyatakan, bahawa saya perlu meneruskan kehidupan. Dan saya tidak takut untuk menghadapinya. Sesungguhnya, saya ingin menyatakan kepada Allah bahawa saya gembira berkongsi hidup sebagai Islam,” katanya yang menghasilkan beberapa buku antaranya Scattering Illusions dan Love and Romance in Islam.

Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm



No comments: