Sunday, September 11, 2005

Ooh I See or OIC?

OIC: Kita pertama jadi maju -- Berdasarkan pencapaian tinggi dalam bidang sains dan teknologi - PM

Oleh: NOR AZIAH JAAFAR-UM 7 Syaaban 1426/11 September 2005


ABDULLAH Ahmad Badawi menurunkan tandatangan pada plak sempena perasmian Masjid At-Taqwa Mak Mandin, Butterworth dan pelancaran Terjemahan al-Quran serta al-Quran Multimedia di Pulau Pinang, semalam. - Gambar SHAMSUDDIN SALLEH.
11 September 2005
7 Syaaban 1426
11 September 2005
7 Syaaban 1426

BUTTERWORTH 10 Sept. - Malaysia akan menjadi negara Islam pertama dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mencapai status negara maju berdasarkan pencapaian yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, menurut maklumat yang diterima dari OIC, Malaysia bakal mencatat sejarah itu apabila matlamat Wawasan 2020 dicapai.

Katanya, dengan lonjakan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dinikmati oleh negara sekarang, tidak mustahil Malaysia akan muncul sebagai negara Islam moden abad ke-21.

``Jika Malaysia bersungguh-sungguh untuk memajukan negara dan bangsa dan jika Wawasan 2020 dicapai, maka masa itu negara kita akan menjadi negara Islam OIC yang pertama menjadi negara maju,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Masjid At-Taqwa di Mak Mandin hari ini.

Pada majlis itu beliau turut melancarkan al-Quran terjemahan dan al-Quran multimedia yang diusahakan oleh Yayasan Restu Malaysia.

Dalam usaha menuju ke arah negara maju, Perdana Menteri mengajak umat Islam supaya kembali menghayati al-Quran kerana di dalamnya terkandung semua cabang ilmu pengetahuan termasuk sains dan teknologi, algebra, ilmu falak, perubatan dan tumbuh-tumbuhan.

Katanya, dengan menjadikan al-Quran sebagai inspirasi di samping kekuatan mental, tidak mustahil umat Islam di negara ini akan menjadi pereka teknologi moden sebaris dengan negara maju yang semuanya terdiri dari kalangan negara bukan Islam.

Abdullah menarik perhatian bahawa kesemua tamadun dunia seperti Eropah diasaskan daripada tamadun Islam yang terkenal dengan pakar dalam bidang matematik, perubatan dan ilmu falak yang menggunakan al-Quran sebagai rujukan.

Beliau memberi contoh buku-buku tulisan Ibnu Sina dan al-Khawarizmi menjadi rujukan pelajar-pelajar di Eropah dan negara Barat bagi mendalami bidang matematik dan perubatan pada zaman itu.

``Umat Islam pada zaman itu merupakan kuasa besar dalam pelbagai aspek termasuk pemerintahan, ilmu dan penciptaan sains dan teknologi dan menjadi umat paling moden pada zaman itu kerana mereka mendalami dan menghayati al-Quran,'' ujarnya.

Katanya, sesiapa yang menganggap mustahil untuk umat Islam menjadi pereka kepada teknologi moden, ertinya mereka telah mengaku kalah dan tidak percaya dengan al-Quran.

Mengenai usaha Yayasan Restu menghasilkan al-Quran multimedia, katanya, langkah itu akan memudahkan golongan muda menghayati al-Quran seterusnya menjadikan kitab suci itu sebagai panduan ke arah membangunkan negara Islam moden pada abad 21.

Menurutnya, penghasilan al-Quran multimedia merupakan contoh penggunaan ICT dan kemajuan sedemikian dikehendaki oleh agama Islam.

Beliau turut memuji usaha yayasan tersebut menghasilkan terjemahan al-Quran mushaf Malaysia kerana rakyat dapat memahami kandungan kitab suci itu dan memudahkan mereka untuk mengkajinya.

Dalam pada itu, Abdullah mengingatkan umat Islam supaya tidak menjadikan institusi masjid sebagai tempat menyemai bibit perpecahan di kalangan mereka terutama dari segi politik.

``Jangan sesekali menjadikan masjid untuk menimbulkan perbalahan terutama politik. Jangan benarkan perkara ini berlaku, bersama-samalah kita mengukuhkan perpaduan dan hidup dalam rukun dan damai,'' ujarnya.

=====================================================================
Saya merasa terpanggil untuk memberi komen berdasarkan petikan ucapan ini" Katanya, dengan lonjakan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dinikmati oleh negara sekarang, tidak mustahil Malaysia akan muncul sebagai negara Islam moden abad ke-21."

Projek MSC telah dimulakan sejak 1996-kini, hampir 10 tahun, tetapi kemajuan sebenar projek tersebut jarang didengar oleh rakyat, hanya laporan yang baik sahaja dikeluarkan padahal banyak perkara lain disorok daripada pengetahuan rakyat, apatah lagi dalam keadaan tak ramai MP samada daripada kerajaan atau pembangkang yang menyoalkan tentang projek mega tersebut. Banyak perkara yang menjadi tanda tanya mengenai projek tersebut yang melibatkan 7 flagships . ICT dalam pendidikan pun perlaksanaannya banyak melibatkan penyelewengan antaranya projek Makmal komputer dan penyediaan psara ICT(laptop, LCD dlln ) kepada sekolah-sekolah diseluruh negara. Saya mendapat maklumat mengatakan bahawa peruntukan yang dikeluarkan adalah unutk meyediakan laptop yang baru tetapi ada sekolah yang dibekalkan dengan komputer riba terpakai. Jadi selagi penyelewengan dan rasuah begitu berleluasa, usaha bercakap tentang mencapai negara maju. PM yang pada awal mengambil alih jawatan daripada PM yang berkuasa selama 22 tahun berjanji unutk membenteras rasuah, akhirnya kaki rasuha pun diambil untuk menganggotai kabinetnya, sebagai rakyat Malaysia saya hilang kepercayaan kepada beliau. Jika ingin menjadi negara Umat Islam contoh, pastikan rasuah duhapuskan dan kembalikan demokrasi sebenar. Dengan berpegang teguh dengan ajarana Islam, umat Islam akan mencapai kemajuan dunia dan akhirat, tetapi kerajaan yang ada sekarang mereka tidak meletakkan quran sebagai panduan tertinggi, dengan Thailand punkita sudah tertinggal jauh,pemimpin Malaysia banyak bercakap daripada melakukan kerja, kalau buat kerja pun banyak sangat penyelewengan. Malu kita dengan negara kafir tetapi pemerintahan dan pentadbiran mereka bersih dan tidak menzalimi rakyat.

No comments: