Liputan TM Net hotspot semakin meluas
ISTILAH hotspot merupakan satu istilah yang bukan asing bagi penduduk Malaysia. Golongan yang paling terdedah dengan kecanggihan ini terdiri dari golongan professional, mahasiswa, karyawan mahupun sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan informasi teknologi (IT) masa kini.
Hotspot secara amnya adalah suatu kawasan yang mana Internet dengan kelajuan tinggi tanpa menggunakan sambungan wayar yang menggunakan standard teknologi WiFi (Wireless Fidelity).
Kini, TM Net menawarkan kemudahan tersebut yang membolehkan anda mengalami sendiri kebebasan akses Internet tanpa wayar dengan rangkaian TM Net hotspot.
Akses jalur lebar alternatif ini membolehkan anda mengakses Internet jalur lebar di mana-mana lokasi hotspot menerusi komputer buku atau alat pembantu digital peribadi (PDA) pada bila-bila masa.
TM Net hotspot menawarkan akses Internet Broadband tanpa wayar pada kelajuan sehingga 384 Kibobit sesaat (kelajuan berdasarkan kepada capaian terbaik ) di tempat-tempat awam terpilih seperti kompleks-kompleks membeli-belah, restoran, pusat konvensyen, hotel dan lain-lain.
Apa yang perlu dibuat hanya perhatikan logo `TM Net hotspot' dan anda cuma perlu menyemak peralatan anda untuk memastikan ia menyokong teknologi WiFi.
Peralatan WiFi ini didatangkan secara pasang siap kepada kebanyakkan komputer buku terbaru atau bagi komputer lama, anda perlu mendapatkan kad wayarles LAN (WLAN).
Biasanya kad adaptor WLAN ini digunakan bersesuaian dengan standard wayarles 802.11b atau 802.11g.
Selain dari itu, pengguna juga perlu mendapatkan kata laluan dengan cara membeli kad TM Net prepaid.
Kad yang dijual pada harga RM19 ini boleh didapati di cawangan TM Net clickers, cawangan Tm Net clickers Authorised Service Outlet (CASO), cawangan TMpoint (dahulu dikenali sebagai Kedai Telekom), wakil penjual sah terpilih dan lokasi hotspot terpilih.
Selain dari membeli kad prabayar, pengguna juga boleh melanggan akaun hotspot dengan bayaran hanya RM10 sebulan, sementara pelanggan TM Net 1515 boleh melanggan dengan hanya RM15 sebulan.
Bagi pelanggan Celcom, pengguna hanya perlu menaip `wifi' dan hantar kepada 21515 untuk mendapatkan log-in ID TM Net hotspot.
Apabila anda berada di TM Net hotspot, rangkaian Wi-Fi boleh terus dipasang dan jika anda tidak mendapat paparan TM Net hotspot secara automatik, anda perlulah memasang kad WLAN kepada komputer (yang tiada sokongan WiFi) dan set SSID kepada TM Net secara manual, buka perisian pelayar (browser) dan terus ke laman web kegemaran anda.
Sebelum itu anda akan melihat `login page' TM Net hotspot terlebih dahulu dan inilah masanya untuk anda memasukkan kata pengguna dan kata laluan anda.
Sebagai pengguna baru, anda boleh mendapatkan senarai penuh lokasi tmnet hotspot dengan melayari laman web www.tm.net.my.
Buat masa ini, perkhidmatan TM Net streamyx boleh didapati di Kampung Baru Puchong, Kampung Bersatu, Kampung Bunga Melor, Kampung Kenangan, Kampung Pasir Baru, Kampung Sri Andalas, Taman Desa Millenia, Taman Industri Puchong, Taman Perindustrian Puchong, Taman Puchong Indah, Taman Puchong Intan, Taman Puchong Perdana, Taman Puchong Utama dan Taman Sri Puchong.
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian Pusat Interaksi Pelanggan TM Net di talian 1-300-88-1500 ( 8am-12am, Isnin hingga Ahad ) atau emel kepada: custcare@tm.net.my.
Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2005&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_03.htm
No comments:
Post a Comment