Thursday, September 15, 2005

WiMax-Teknologi Wayarles

WiMax - Teknologi wayarles di Kepala Batas

Oleh MOHD. RIDZWAN MD. IMAN/UM Megabait 15.9.05


TAN Tze Loong menunjukkan bagaimana aplikasi persidangan video boleh dilakukan dengan mudah menggunakan rangkaian WiMax yang dipamerkan pada persidangan ICT -MSC di Dewan Milineum, Kepala Batas, baru-baru ini.


JIKA membicarakan mengenai teknologi tanpa wayar, mungkin ramai daripada kita yang mengetahui mengenai hotspot atau teknologi WiFi yang begitu popular digunakan di bandar-bandar besar kerana pengguna tidak lagi perlu menggunakan kabel untuk mengakses Internet.

Teknologi menggunakan standard IEEE 802.11 tersebut semakin hari semakin popular tetapi masih mempunyai halangan untuk diperkenalkan di kawasan pedalaman kerana teknologinya hanya mampu menjangkau liputan kira-kira 100 meter dan kelajuan kira-kira 11 Megabit sesaat sahaja (Mbps).

Kekangan ini yang menjadi penyebab mengapa syarikat-syarikat teknologi terkenal di seluruh dunia sentiasa mencari jalan untuk memperkenalkan teknologi terbaru untuk membolehkan lebih ramai pengguna dapat mengakses Internet walaupun mereka berada jauh di pedalaman.

Maka teknologi rangkaian wayarles terkini WiMax mula mendapat perhatian dan syarikat-syarikat teknologi terkenal bergabung di bawah satu forum yang dikenali sebagai Forum WiMax untuk mempercepatkan pembangunan teknologi tersebut.

Ini kerana secara dasarnya teknologi WiMax akan membolehkan pengguna dihubungi tanpa wayar dalam liputan sehingga 40 kilometer untuk perhubungan dari satu tempat ke satu tempat, suatu aplikasi yang sangat sesuai untuk digunakan di pedalaman dan juga bandar.

Intel Malaysia, Alcatel Network Systems (Malaysia) Sdn. Bhd.dan TM Net Sdn. Bhd. baru-baru ini telah menunjukkan bagaimana teknologi tersebut boleh dimanfaatkan di negara ini melalui penyertaan mereka di pameran ICT-MSC di Dewan Milineum, Kepala Batas minggu lepas.

Pameran ICT-MSC tersebut diadakan sempena Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) MSC kesembilan yang diadakan di Pulau Pinang.

Teknologi yang menggunakan standard 802.16 tersebut telah ditunjukkan kepada orang ramai yang mengunjungi pameran selama empat hari sempena Bulan ICT Malaysia yang telah dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Rabu lepas.

``Pendekatan Alcatel dalam mempamerkan rumusan WiMax sepenuhnya adalah berasaskan kepada ujian yang telah dilaksanakan seperti yang dipamerkan di sini,'' kata Pengarah Urusan Alcatel Malaysia, Datuk Yusof Ampuan Kechil.

Pengarah Intel Asia Tenggara, Peter Choong berkata, pelaksanaan rangkaian jalur lebar tanpa wayar akan membantu Malaysia untuk mewujudkan bandar-bandar digital dengan lebih pantas.

``Ia bukan sahaja akan memberi faedah kepada ahli perniagaan dan kerajaan, tetapi juga masyarakat dan sekolah,'' katanya.

Pengurus Pembangunan Perniagaan, Intel Malaysia, Tan Tze Loong berkata, teknologi WiMax masih belum diperkenalkan secara komersial di negara ini kerana masih menjalani tempoh ujian dan dalam proses mendapatkan kelulusan dalam penggunaan standard wayarlesnya.

``Bagaimanapun, ujian yang kami tunjukkan membuktikan yang WiMax telah boleh dilaksanakan di negara ini dengan kombinasi teknologi WiFi dan rangkaian jalur lebar biasa,'' katanya ketika ditemui pada pameran tersebut.

Sesi pameran teknologi WiMax yang diadakan oleh ketiga-tiga syarikat itu merupakan yang pertama dipamerkan kepada orang ramai memandangkan pengkomersialan teknologi WiMax sendiri masih di peringkat awal di seluruh dunia.

Tze Loong berkata, dalam sesi ujian dan pameran tersebut, rangkaian WiMax tersebut telah dihubungkan kepada tiga kawasan di Kepala Batas iaitu Pusat Milenium, Hospital Kepala Batas dan Sekolah Menengah Kebangsaan Hj Ahmad Badawi.

``Kami berjaya membuat liputan sehingga tiga kilometer di kawasan ini untuk membolehkan aplikasi persidangan video dilakukan secara wayarles,'' katanya sambil menambah aplikasi ini turut diuji dengan mengakses Internet dan pusat data.

Teknologi WiMax dijangka akan menjadi teknologi killer untuk komunikasi di masa depan dengan kemampuan menampung transmisi kelajuan data antara 15 hingga 75 Mbps dan liputan berkilometer.

Menuut Tze Loong, penggunaan teknologi WiMax juga sangat mudah kerana dalam ujian yang dijalankan di Kepala Batas itu, mereka hanya memerlukan masa antara lima hingga 10 minit sahaja untuk membuat akses melalui antena Omni WiMax.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2005&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_01.htm

No comments: