Thursday, September 15, 2005

Telecommunting

Telecommuting' semakin diyakini di Malaysia

HASIL satu kajian yang dilaksanakan oleh Avaya Inc. menunjukkan bahawa sejumlah besar daripada pemimpin-pemimpin kanan syarikat di Malaysia mempunyai keyakinan kepada kakitangan mereka untuk bekerja di suatu tempat yang berasingan serta percaya bahawa telecommuting dapat meningkatkan produktiviti.

Menurut Kajian Mobiliti Perniagaan Asia Pasifik IDC yang dipertanggungjawabkan oleh Avaya itu, sejumlah 70 peratus daripada pengurus-pengurus di Malaysia yang disoal selidik memberi kepercayaan kepada kakitangan mereka untuk mengamalkan telecommute.

Telecommuting merupakan kaedah yang mana pekerja dibenarkan untuk melaksanakan kerja-kerja mereka tanpa perlu berada di pejabat tetapi sentiasa dihubungi melalui sistem rangkaian.

``Mereka berpendapat bahawa kemampuan untuk bekerja di dalam pelbagai jenis persekitaran boleh menggalakkan kreativiti dan seterusnya meningkatkan produktiviti kakitangan,`' kata kajian itu.

Kajian itu mendapati lebih daripada 50 peratus majikan percaya bahawa dengan membenarkan kakitangan untuk telecommute, tahap produktiviti mereka dapat ditingkatkan.

Kebaikan lain yang diperolehi daripada telecommuting yang dinyatakan termasuklah meningkatkan perkhidmatan pelanggan dan merebut peluang-peluang perniagaan baru.

Kemajuan teknologi bagi peralatan yang dipegang memainkan peranan besar kepada perubahan persepsi di kalangan pengurus-pengurus kanan terhadap telecommuting, apabila sejumlah 58 peratus daripada golongan pemimpin-pemimpin perniagaan Malaysia ini kebanyakkan membawa dua ataupun lebih peralatan digital yang dipegang bagi tujuan komunikasi berkaitan dengan perniagaan.

Sebanyak 62 peratus daripada golongan eksekutif kanan di Malaysia yang tidak lagi terikat di meja pejabat selama berjam-jam, kini bersetuju bahawa kakitangan yang mengamalkan telecommuting akan dapat menikmati gaya hidup profesional dan peribadi yang lebih seimbang.

Kaji selidik berdasarkan telefon itu yang objektif utamanya adalah untuk memahami kesan teknologi mudah-alih terhadap amalan-amalan pekerjaan di rantau ini, melibatkan kira-kira 2,000 pembuat keputusan perniagaan dan teknologi di 11 negara Asia Pasifik.

``Hasil kajian mengesahkan strategi Avaya dalam membangunkan perkhidmatan penggabungan mudah-alih tetap untuk syarikat-syarikat yang akan memperluaskan komunikasi pintar ke mana sahaja - dan akan membawa komunikasi perniagaan ke tahap yang seterusnya,'' kata David Toh, Pengarah Negara bagi Avaya Malaysia.

Katanya, misalnya keupayaan untuk dihubungi melalui hanya satu nombor adalah penting dalam persekitaran kerja yang amat kompetitif dan tidak menentu tempatnya pada masa ini.

Melalui perkhidmatan telefoni perniagaan yang sesuai, pekerja bergerak ini dapat menikmati ciri-ciri komunikasi yang sama, telus mengenai lokasi, mempunyai akses kepada teknologi dan peralatan komunikasi ketika berhubung dengan pelanggan dalam persekitaran yang standard.

Komunikasi dan aplikasi telefoni IP yang disatukan membolehkan kakitangan mendapat akses antarabangsa kepada panggilan suara, e-mel dan mesej faks melalui hanya satu nombor.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di www.avaya.com/mobility.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2005&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_05.htm

No comments: