Friday, June 24, 2005

Apa salahnya ambil teladan dari pilihanraya UK

Aku bukannya pandai sangat menulis tetapi kadang-kadang rasa terpanggil untuk sama-sama berkongsi dan menyampai rasa yang terbuku dihati sebagai rakyat Malaysia untuk melihat tanahair tercinta menjadi sebuah negara yang Islam menjadi dasarnya. Artikel ini telah keluat dalam harakahdaily(telah diedit oleh editor) bahagian Opinion dan juga bahagian artikel tranungkite. Semoga apa yang ditulis ada manfaatya untuk pencinta Keadilan.



Apa salahnya ambil teladan dari pilihanraya UK

Tuesday, May 17 @ 23:14:24 MYT


Oleh DEMOKERUSI

Tulisan ini berdasarkan pemerhatian saya terhadap pilihanraya umum di United Kingdom (UK2005) baru-baru ini. Apa yang menarik ialah pengendalian pilihanraya di negara yang pernah menjajah Malaysia ini sangat bebas sekali.

Teringat saya keadaan yang berlaku semasa pilihanraya umum negara kita, terutama pada Mac 2004 yang sangat berbeza, terutama dilihat dari segi pengendalian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sangat tidak bebas.

Rasanya tidak perlu bagi saya untuk menjelaskan dengan lebh lanjut tentang perkara ini kerana semua yang mengikuti perkembangan politik Malaysia dan waras fikirannya dapat melihat kecacatan SPR dalam menjalankan tugasnya.

Mungkin SPR tidak dapat disalahkan 100 peratus dalam hal ini; mereka nampaknya ditekan oleh kerajaan yang memerintah. Tidak wajar BN yang mendakwa mereka sebuah kerajaan yang kuat menodai SPR bagi menjamin kemenangan dalam pilihanraya.

Apabila kaki dan tangan parti-parti pembangkang diikat dan mulut ditutup, lalu BN mengajak bertanding pilihanraya; apakah ini demokrasi namanya?

Saya ingin membahagikan penulisan saya berhubung pilihanraya umum UK2005 ini kepada beberapa peringkat, iaitu:

1. Pembubaran Parlimen. Sama seperti di Malaysia, Perdana Menteri Britain berjumpa Queen minta perkenan untuk membubarkan parlimen. Cuma tarikh pilihanraya tidak menjadi rahsia pemerintah.

Maka parlimen dibubarkan pada 5 April 2005, dan tarikh pilihanraya pula ditetapkan pada 5 Mei 2005. Di sini jelas tempoh berkempen ialah selama sebulan, berbeza betul dengan Malaysia di mana pembangkang langsung tidak mendapat peluang yang sama untuk menggunakan media seperti akhbar, TV dan radio, manakala tempoh berkempen lebih kurang seminggu sahaja.

Setiap kali berlaku pilihanraya di Malaysia, tempoh tersebut dipendekkan dan pelbagai peraturan baru dperkenalkan dan kadangkala peraturan tersebut tidak masuk akal.

Sedangkan di negara maju seperti Britain, pembangkang diberikan hak yang sama untuk menggunaan akhbar, radio dan TV. Dan diberikan tempoh berkempen selama sebulan, yang dianggap munasabah.

Di Malaysia, perjalanan pilihanraya penuh dengan sekatan dan penyalahgunaan kuasa oleh parti pemerintah termasuk menodai SPR, dan tempoh berkempen yang terlalu pendek.

Tidak hairan jika banyak pihak syak seolah-olah ada komplot antara SPR dengan BN-Umno untuk menundukkan pembangkang secara mudah.Harap-harap tempoh kempen yang pendek ini akan diperpanjangkan dalam pilihanraya aklan datang.

2. Perjalanan Kempen. Sepanjang tempoh berkempen saya melihat semua parti politik yang bertanding diberikan hak untuk muncul di radio dan TV serta akhbar bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai menifesto dan apa yang ditawarkan oleh mereka kepada rakyat.

Poster-poster tidak banyak kelihatan sebagaimana di Malaysia atau dengan kata lain tidak berlaku perang poster yang kadang-kadang sampai menganggu pengguna jalanraya.

Poster yang ada pun hanya ’plastic board’ yang dipasang kemas pada tiang elektrik dan telefon, contohnya ”VOTE LABOUR” atau nama calon.

Saya merasakan ini disebabkan semua parti yang bertanding mendapat hak yang sama untuk menggunakan media bagi menyampaikan maklumat.

Parti-parti juga boleh membuat bahan siaran parti masing-masing atau dinamakan ”Party Broadcasting” melalui syarikat-syarikat penyiaran seperti BBC, ITV, Channel 4 dan Five TV.

TV juga mengadakan pelbagai program yang membolehkan pemimpin parti-parti politik yang bertanding bersemuka dengan para pengundi dan menjelaskan matlamat perjuangan parti masing-masing. Mereka juga dapat menerangkan tentang manifesto masing-masing jika diberi peluang memerintah UK.

Layanan yang diperolehi oleh parti-parti politik pembangkang yang bertanding dalam pilihanraya di Malaysia jelas berbeza dengan apa yang diperolehi parti-parti pembangkang yang bertanding dalam pilihanraya UK.

Di Malaysia, jika dapat masuk TV pun suara dibisukan atau ada perkara-perkara yang diputarbelitkan sebagaimana yang berlaku setiap kali menjelang pilihanraya melalui TV3 atau RTM.

3. Hari Mengundi. Saya perhatikan ebuah sekolah rendah telah dijadikan sebagai pusat mengundi dan dibuka pada jam 7 pagi sehingga 10 malam.

Keadaan di luar pusat mengundi sangat tenang, tiada pasukan keselamatan yang berkawal, tiada petugas parti yang ramai sebagaimana di Malaysia. Jika ada pun, hanya seorang dua yang memberikan pamplet tentang calon masing-masing.

Di dalam pusat mengundi hanya pegawai-pegawai SPR sahaja yang ada, tiada agen calon parti-parti yang bertanding. Pengundi UK boleh memilih samada hendak mengundi secara pos atau mengundi di pusat mengundi.

4. Keputusan Pilihanraya. BBC, syarikat penyiaran utama UK telah menyiarkan secara langsung pengiraan undi daripada seluruh UK berpusat di studio utama mereka di London.

Mereka juga menjemput pemimpin atau calon daripada parti-parti yang bertanding serta penganalisis politik dan ahli akademik bagi memberikan pandangan masing-masing tentang pilihanraya dan keputusan yang bakal diumumkan.

Keadaan ini sangat berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia pada malam pengisytiharan keputusan pilihanraya.

Peratusan keluar mengundi juga tidak sampai 98%(!), hanya sekitar 54%. Nampaknya hebat Malaysia daripada UK dalam menggalakkan para pengundi untuk keluar mengundi, sampai yang dalam kubur pun keluar mengundi!

Keputusan pilihanraya umum UK telah diketahui dunia. Kerajaan Labour pimpinan Tony Blair terus memerintah UK tetapi majoriti mereka turun dengan drastik sekali.

Tony Blair sendiri mengalami penurunan majoriti yang ketara, tetapi majoriti undi yang diperolehi pemimpin parti pembangkang meningkat dengan begitu besar.

Bagi saya, apa pun keputusan pilihanraya umum UK, rakyat atau pengundi merasa senang hati kerana semua parti telah diberikan ruang yang seluas-luasnya untuk menyampai maklumat kepada rakyat, bagi membolehkan mereka memutuskan parti mana yang akan menerajui Britain.

Malangnya Malaysia yang mengambil model demokrasi daripada British sejak merdeka pada tahun 1957 telah mundur ke belakang dalam perlaksanaan demokrasi.

Pada hemat saya, demokrasi yang diamalkan di Malaysia ini telah diselewengkan atau demokrasi yang sesat. Parti yang memerintah Malaysia sejak merdeka nampaknya berpuas hati dengan kualiti demokrasi yang ada ini kerana membolehkan mereka terus berkuasa.

SPR yang dikritik keras juga tidak menampakkan mereka akan berubah untuk memantapkan perjalanan pilihanraya supaya kelihatan adil dan saksama kepada semua parti.

Oleh itu saya mengharapkan agar parti-parti politik dalam Barisan Alternatif supaya menggerakkan satu usaha bagi mengembalikan demokrasi sebenar di Malaysia sebagaimana usaha membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia adalah sangat penting bagi memastikan pada pilihanraya umum akan datang tidak berlaku penipuan sebagaimana pilihanraya umum 2004.

Kepada para pemimpin BN: "Jangan takut, laksanakan demokrasi sebenar, jangan ganggu SPR, ikut seperti Blair. Bertanding secara anak jantan. Biar rakyat menilai sebebasnya."

Jika setelah diberi kebebasan yang sebenar dan rakyat memilih BN, maka saya yakin tidak ada parti yang terkilan, kerana rakyat telah membuat pilihan berdasarkan kemahuan mereka sendiri. - um

No comments: