Thursday, December 01, 2005

Mambo - Perisian pengurusan laman web percuma

Mambo - Perisian pengurusan laman web percuma

Oleh HAIRULNIZAM MAHDIN (hairuln@kuittho.edu.my)

PERNAHKAH anda mendengar tentang Mambo atau Sistem Pengurusan Kandungan (CMS)? Sekiranya anda berminat untuk membina sebuah laman web yang dinamik tetapi tidak mempunyai masa untuk mempelajari pengaturcaraan, Mambo mampu membantu anda dengan cara yang mudah dan cepat.

Mambo ialah sebuah perisian sumber terbuka berasaskan CMS yang boleh didapati secara percuma daripada Internet dan ia membolehkan kita membina sebuah portal atau laman web dengan pelbagai tujuan.

CMS ialah satu terma yang merujuk kepada sebuah sistem yang membolehkan kita mengemaskini kandungan sesuatu perkara dengan mudah seperti fail dan sebagainya dan ia kini lebih sinonim kepada pengurusan kandungan laman web.

Laman web yang mempunyai sistem ini dianggap sebagai dinamik dan Mambo merupakan salah satu perisian CMS selain daripada E107, Zope, Moodle dan beberapa perisian lain yang telah digunakan secara berkesan dan meluas.

Untuk mempelajari Mambo, pengguna boleh melakukannya menggunakan komputer peribadi di rumah tetapi melalui beberapa prasyarat dan kaedah yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.

Antara prasyaratnya ialah pengguna perlu meng`simulasi'kan komputer masing-masing supaya berfungsi sebagai sebuah komputer pelayan web yang dilengkapi dengan pangkalan data.

Pengguna boleh memenuhi prasyarat itu dengan memasang perisian Easy PHP atau Xamp ke dalam komputer masing-masing dan ia juga didatangkan sekali dengan perisian pangkalan data MySQL dan pelayan web Apache.

Easy PHP dan Xamp itu juga merupakan perisian sumber terbuka yang boleh didapati secara percuma daripada Internet.

Sebaik Easy PHP beroperasi dengan lancar pada komputer, perisian Mambo boleh digunakan dan pemasangannya boleh dilakukan dalam lima langkah utama dan memerlukan sedikit pengetahuan teknikal yang boleh didapati melalui pembacaan dan perbincangan di forum-forum Internet berkaitan.

Setelah Mambo siap dipasang, ia dibahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian pentadbir web dan bahagian pandangan pengguna.

Untuk memudahkan penggunaan Mambo, pengguna perlu memahami konsep asasnya yang membezakan pandangan pentadbir (pengguna) dan pengguna lain iaitu pelayar laman web.

Sebagai pentadbir, pengguna dapat melihat kandungan laman web disusun dalam hieraki Content, Category dan Item yang mana satu Content boleh mengandungi banyak Category dan satu Category boleh mengandungi banyak Item.

Menu laman web boleh dihubungkan kepada mana-mana Content, Category atau Item dan sekiranya menu dihubungkan kepada Content, maka pengguna lain boleh melihat apakah Category yang terkandung dalam Content tersebut.

Sekiranya menu dihubungkan kepada Item, pengguna lain juga akan terus melihat Item tersebut tanpa mengetahui ia terletak pada mana-mana bahagian Content dan Category.

Setelah memahami penggunaan Mambo dan mempunyai sedikit asas teknikal di dalam pembangunan dan penerbitan laman web, pengguna boleh mengorak langkah seterusnya dengan menerbitkan laman web sendiri di Internet dan perlu memahami terma-terma seperti web hosting dan domain name.

Perkhidmatan web hosting atau perumah web misalnya digunakan supaya laman web dapat dilayari oleh pengguna Internet lain di seluruh dunia dan perkhidmatan ini disediakan secara percuma dan ada yang berbayar.

Pengguna juga boleh cuba 'menumpang' di komputer pelayan web organisasi dengan meminta kebenaran daripada pengurus IT terlebih dahulu dan kebiasaannya kebenaran akan diberikan sekiranya web yang dibina tidak menyalahi objektif organisasi atau melanggar perundangan.

Bagi mereka yang berminat dengan pembangunan laman web, Mambo adalah antara langkah permulaan yang baik dan ia boleh dijadikan satu aktiviti masa lapang yang bermanfaat kerana boleh digunakan untuk pelbagai tujuan.

Malah, sekiranya pengguna telah berjaya mengusai kemahirannya, Mambo juga boleh digunakan untuk membangunkan laman web bagi tujuan seperti perniagaan dan pemasaran dalam talian yang dapat membantu kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Versi Mambo terkini ialah 4.5.2 dan boleh didapati di laman web http://www.mamboserver.com

* Penulis ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Perisian, Fakulti Teknologi Maklumat dan Multimedia, Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn.


Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2005&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_06.htm

1 comment:

jazrul said...

bagaimana mebuat website dengan percuma
Malaysia Web Design