Friday, October 14, 2005

Tahniah kepada Pemuda Pas Selangor dan MACMA, saya berharap ini akan menjadi langkah awal ke arah melebar dakwah Islam kepada masyarakat Cina yang merupakan kaum kedua terbesar di Malaysia.

Macma yakin PAS berkebolehan tarik bukan Islam

Tuesday, October 11 @ 14:23:21 MYT


Oleh IBNU W.YAACOB
KUALA LUMPUR, 11 Sept (Hrkh) - Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) yakin dan percaya PAS sebagai sebuah parti politik berasaskan Islam mempunyai kelebihan untuk menarik masyarakat bukan Islam terutamanya kaum Cina untuk masuk Islam.

"Dengan syarat PAS kena mengetahui selok-belok atau minat masyarakat Cina ini," demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pendidikan Macma, Haji Shahrin Low Abdullah ketika dalam sesi ramah mesra Pemuda PAS Selangor dengan anggota Macma di sini sebentar tadi.

Macma diwakili Setiausaha Agungnya, Ann Wan Seng; Pengerusi Penerbitan Macma; Kamal Koh; AJK Macma, Irsyad Hassan dan Adam lee.

Sementara Pemuda PAS Selangor diwakili, Timbalan Ketua Pemudanya, Ustaz Kamal Shaari; Ketua Penerangannya, Khairudin Othman dan Setiausaha Lajnah Penerangan dan Dakwah, Ustaz Yohanis Abdullah.

Meneruskan perbincangan itu Shahrin berkata,PAS seharusnya bergerak mendekati minat kaum Cina sebagai elemen penting misi dakwah dan pemberi undi memenangkan parti Islam itu.

"Orang Cina biasanya minat berniaga,jadi PAS perlu tahu aspek itu dan Islam sendiri menggalakkan perniagaan.

"Cuma masalahnya persepsi orang Melayu terhadap orang Cina setiap kali nak berniaga mesti mereka kata orang Cina berniaga dengan menipu.Sebenarnya tak ramai yang macam tu.

"PAS lebih mudah mendekati Cina kerana imej ahlinya yang pakai kopiah putih.Orang Cina percaya dengan orang yang sebegini," katanya.

Menurut Shahrin, amat mudah untuk PAS sebenarnya mendekati kaum bukan Islam di kalangan masyarakat Cina dalam proses berdakwah.

"Cuma di setiap kali pilihan raya PAS akan tetap berhadapan dengan jentera akhbar kerajaan yang sering memburuk-burukkan PAS," katanya.

Apa yang beliau kesal ialah, Umno dan sekutunya menghentam Islam habis-habisan untuk menakutkan kaum bukan Islam agar tidak mengundi PAS.

Sementara itu, Macma juga dalam masa yang sama mengharapkan ramai lagi sukarelawan Islam yang akan menyertai pertubuhan itu untuk tujuan dakwah.

Ann Wang Seng dalam majlis tersebut menyatakan, Macma hari ini terbuka kepada masyarakat bukan Cina untuk menjadi ahlinya.

"Kami tak kira apa parti politik yang penting usaha dakwah dapat diteruskan.PAS dan Macma ada titik pertemuan iaitu objektif yang sama tetapi wadah yang berbeza," katanya. - mks.

Sumber:http://www.harakahdaily.net/article.php?sid=16354

No comments: