Friday, October 14, 2005

Perisian penapis laman lucah percuma

Naomi Perisian penapis laman lucah percuma

Oleh: HAIRULNIZAM MAHDIN (hairuln@kuittho.edu.my)

BEBERAPA bulan lalu, isu laman web lucah menggemparkan negara apabila satu kajian menunjukkan bahawa sembilan daripada 10 kanak-kanak dan remaja berusia antara lapan dan 16 tahun melayari laman web tersebut dan kebanyakannya secara tidak sengaja semasa mencari maklumat berkaitan kerja sekolah.

Laporan pada tahun 2000 itu menunjukkan bahawa kebanyakan laman web terbabit berselindung di sebalik penggunaan nama yang `bersih' daripada unsur kelucahan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis ketika mendedahkan perkara itu berkata, berdasarkan laporan Barisan Bertindak Pencegahan Penderaan Seks Kanak-Kanak (MCPCSA), terdapat kira-kira 1.5 juta laman web lucah dan 74 peratus daripadanya adalah berselindung di sebalik nama `bersih' daripada unsur kelucahan.

Melihat kepada statistik itu, pastinya ibu bapa, guru-guru atau sesiapa sahaja yang mempunyai akses secara terus kepada Internet berasa bimbang kerana laman web lucah tersebut begitu mudah didapati dan mudah juga untuk dilayari.

Namun, dengan kelebihan Internet juga, laman web lucah boleh disekat daripada dilayari walaupun tanpa pengawasan individu tertentu dan lebih penting, perisian tersebut disediakan secara percuma atau juga dikenali sebagai freeware.

Kini, terdapat banyak freeware tersebut di Internet dan salah satunya dikenali sebagai Naomi yang boleh digunakan untuk menyekat laman web lucah daripada terpampang di dalam pelayar Internet.

Naomi terkini ialah dalam versi 2.7 dan boleh dimuat turun dari laman web http://www.radiance.m6.net dan proses pemasangannya adalah amat mudah dan prestasinya boleh diharapkan untuk menapis dan menghalang laman web lucah daripada memasuki komputer anda.

Bagaimanapun, untuk menggunakan perisian tersebut, pengguna terlebih dahulu perlu memuat turun fail Naomi dan anda akan mendapat sebuah fail bernama Setup-en.

Langkah-langkah seterusnya adalah seperti berikut :

* Klik fail Setup-en.

* Antaramuka pertama dipaparkan. Klik butang Next.

* Antaramuka kedua dipaparkan. Klik butang Install.

* Manual Naomi dipaparkan. Jika anda minimakan paparan manual ini, sebuah kotak mesej bertajuk Information meminta anda memasukkan password untuk tujuan kawalan. Klik butang OK.

lSebuah kotak mesej bertajuk Password dipaparkan. Masukkan kata laluan dan tekan butang OK.

lKotak mesej Information dipaparkan sekali lagi. Ia memaparkan kata laluan yang telah anda masukkan dan meminta supaya anda mengingatinya untuk tujuan pengurusan. Sekiranya hendak menukar kata laluan, klik butang Cancel. Jika tidak, klik butang OK.

lNaomi telah berjaya dipasang pada komputer anda. Dwiklik logo Naomi yang terletak pada Taskbar (sebelah kanan bawah skrin komputer).

lKotak mesej dipaparkan meminta anda memasukkan kata laluan. Masukkan kata laluan dan klik butang OK.

lAntaramuka Naomi dipaparkan. Terdapat tiga butang utama iaitu butang Hide, Stop dan Uninstall.

Fungsi butang-butang tersebut adalah seperti berikut :

* Butang Hide - menyembunyikan paparan antaramuka Naomi yang sedang dibuka

* Butang Start/Stop - mengaktifkan/ menghentikan kawalan tapisan Naomi

* Butang Uninstall - membuang perisian Naomi daripada komputer anda

Untuk memulakan perisian ini, status perisian Naomi perlu dipastikan adalah Active dan ia boleh dirujuk pada bahagian sebelah bawah antaramuka Naomi.

Walaupun Naomi tidak seratus-peratus dapat menapis laman web lucah yang bermaharajalela di Internet, tetapi berdasarkan pengujian yang telah dilakukan, ia terbukti boleh diharapkan untuk melaksanakan tugas tersebut.

Perlu ditekankan, melayari laman web lucah akan melahirkan individu yang tidak seimbang dan rendah moralnya dan ia adalah punca kepada penyakit sosial yang semakin membimbangkan dalam masyarakat kita.

Dengan adanya perisian penapis seperti Naomi diharapkan dapat mengurangkan minat mereka yang ketagihan laman web lucah kerana laman tersebut akan dihalang oleh perisian Naomi apabila hendak dipaparkan.

Sekolah-sekolah, pusat pengajian tinggi dan pejabat-pejabat juga digalakkan untuk menggunakan perisian Naomi memandangkan ia adalah percuma dan hanya memerlukan sedikit kos masa dan tenaga untuk memasangnya.

*Penulis ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Perisian, Fakulti Teknologi Maklumat & Multimedia, Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn.

sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2005&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_06.htm

No comments: