Wednesday, April 26, 2006

Saranan Baik, Tapi Tindakan???????????

Tahniah kepada PM atas saranan supaya IPT hebatkan R&D. Tetapi saya mengharapkan PM membaca tulisan Prof Datuk Khoo Kay Kim, yang mahukan kerajaan tidak menganggu ahli akademik menjalankan tugas mereka. Sekiranya pemimpin politik terutamnya UMNO tidak mengubah sikap mereka yg suka menganggu kerja para pegawai kerajaan serta sentiasa menceroboh sempadan kerja pihak lain yang mengakibatkan gangguan berlaku. Malaysia mampu maju tetapi jika suasana yang berlaku sekarang tidak berubah, jangan diharap nak jadi negara maju. Sudah lama M'sia merdeka tetapi minda dan pemikiran rakyat dikongkong supaya kerajaan yang ada boleh terus memerintah. Jika kerajaan yang ada ini memerintah dengan adil, saya rasa rakyat tidak kisah, tetapi kerajaan yang ditunjangi UMNO ini busk dengan pelbagai penyelewengan, skandal dan rasuah serta banyak lagi.



PM mahu IPT perhebat R&D

Oleh ROZAMAN ISMAIL dan HELMI MOHD FOAD

PUTRAJAYA 25 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu institusi pengajian tinggi (IPT) memperhebatkan usaha pembangunan dan penyelidikan (R&D) dengan mengenal pasti bidang berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai persediaan menjadi negara maju.

Perdana Menteri berkata, perkara tersebut amat penting kerana sebagai negara maju, Malaysia perlu mempunyai kebolehan menghasilkan rekaan sendiri dan tidak boleh lagi bergantung kepada penggunaan teknologi negara lain.

``Universiti perlu memainkan peranan dalam perkara ini kerana setiap pusat pengajian tinggi mempunyai R&D, maka ia perlu diperhebat.

``Kita tidak mahu jadi bangsa yang dikatakan maju tetapi terus mengharap kepada teknologi negara lain. Kalau kita maju, kita sepatutnya mampu mencipta teknologi terkini yang boleh digunakan oleh negara lain,'' katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan dengan pensyarah IPT awam dan swasta di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamad dan beberapa menteri Kabinet.

Majlis itu dihadiri lebih 2,000 pensyarah universiti dari seluruh negara diketuai oleh Naib Canselor masing-masing.

Perdana Menteri berkata, bagi membolehkan usaha R&D asas terus dibangunkan, kerajaan menetapkan dasar membenarkan para pensyarah dalam bidang tersebut terus berkhidmat selepas bersara.

Ini kata beliau, bagi memastikan penyelidikan dan kajian yang dilakukan sebelum ini dapat diteruskan sehingga memperoleh hasil.

``Bagi penyelidikan gunaan pula, tindakan untuk meneruskan program pengkomersialan mesti diambil kira dan diberikan perhatian,'' katanya.

Selain itu Perdana Menteri berkata, setiap universiti juga perlu menyediakan tenaga pengajar yang cukup dan baik.

Beliau menjelaskan, bagi menjadikan universiti di negara ini sebagai pusat pengajian tinggi yang bermutu, kerjasama dan jaringan antara universiti perlu diwujudkan dengan lebih erat.

Perdana Menteri berkata, universiti juga perlu mengadakan kerjasama dengan syarikat swasta bagi mendapatkan bantuan kewangan untuk menjalankan R&D dalam bidang yang berkaitan.

``Ini kerana pihak swasta ada program program penyelidikan yang besar, dan universiti perlu berusaha mendapatkan geran daripada swasta untuk melaksanakan R&D.

``Biasanya kalau bidang automotif, syarikat automotif yang mahu memberikan bantuan kewangan bagi menjayakan kajian mengenai hal keselamatan kereta dan bahan yang digunakan.

``Mungkin juga yang ada hubung kait dengan penggunaan bahan bakar alternatif, maka ini bidang yang saya percaya syarikat dan industri mahu memberikan bantuan bagi tujuan penyelidikan,'' kata beliau.


Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm


No comments: