Oleh Ahmad Lutfi Othman dan Mohd Rashidi Hassan
alaupun berdepan wakil Harakah, Dato' Dr Hassan Ahmad, tidak teragak-agak untuk menegaskan kepimpinan Melayu gagal melaksanakan dasar-dasar memperjuangkan kepentingan bangsa. Namun beliau tidak mahu dilihat anti-Umno ketika melontarkan kritikan keras kepada parti itu, khususnya bekas presiden, Dr Mahathir Mohamad.
Keresahannya terhadap nasib bangsa jelas apabila sesekali beliau nampak sukar mencari ungkapan terbaik untuk merumuskan kemelut Melayu. "Malang sekali jika bangsa kita, termasuk pemimpinnya, mudah dibeli," katanya. Ikuti luahan rasa bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka ini kepada Ahmad Lutfi Othman dan Mohd Rashidi Hassan di Yayasan Karyawan, Pusat Bandar Damansara, 12 April lalu.
HARAKAH: Apa sebenarnya dilema atau kemelut yang melanda orang Melayu waktu ini?
DR HASSAN: Antara faktornya ialah kelemahan pemimpin Melayu. Tidak tegas melaksanakan dasar-dasar berkaitan kepentingan bangsa. Bangsa maksud saya bukan rasis, sebab dasar yang dikata untuk menolong orang Melayu sebenarnya baik untuk negara.
Kalau orang melihatnya dari segi perkauman, dia tidak nampak bahawa dasar untuk menolong orang Melayu, dalam bidang ekonomi khususnya, baik untuk semua. Kalau tidak, kalau orang Melayu semakin terpinggir, jika kaum lain membolot kekayaan negara, ia akan menimbulkan kemarahan dan mungkin berlaku rusuhan kaum lagi. Saya kira kaum Cina yang sedar pun bersetuju dengan pandangan ini.
Malangnya, pemimpin Melayu melihat ini dari segi kepentingan peribadi, bukan untuk orang Melayu seluruhnya. Pemimpin hanya mementingkan kuasa, nak menang, nak pastikan dalam pilihan parti dia tidak akan tergugat, segala projek yang sepatutnya diagihkan kepada rakyat disalurkan orang-orang tertentu sahaja. Orang politik banyak menyelewengkan projek yang sepatutnya untuk kepentingan rakyat dan negara. Setelah memerhatikan hal ini, saya tidak anti-Umno. Saya berpendapat, jarang-jarang ada orang politik Umno yang memikirkan kepentingan Melayu-Islam secara serius. Dia hanya memikirkan projek yang menguntungkan peribadi.
Ringkasnya, kepimpinan Melayu hari ini tidak lagi melihat kepentingan Melayu seluruhnya. Sepatut tidak memisahkan Melayu dari segi sokongan mereka kepada orang tertentu, atau kepada parti lain, sama ada pro-Umno atau tidak, dia menyokong PAS atau tidak, dia menyokong pemimpin tertentu dalam Umno atau tidak.
RMK9 pun akan mengulangi cerita lama?
Saya tidak pasti statistiknya. Ada yang mengatakan RMK9, 80 peratus dah dibolot. Saya tak tahu betul atau tidak, tapi mungkin betul. Orang bukan Melayu pun sedar sebahagian besar dari kuih (pembahagian ekonomi) Malaysia, dalam apa pun rancangan 5 tahun, ia tidak sampai kepada rakyat. Dia tak sampai ke bawah.
Oleh itu, pemimpin kita jangan bersifat terlalu politikal, terlalu peribadi, mereka perlu bersifat demokrat, pertengahan, "ummatun wasatan".
Mungkin ada punca lain?
Satu lagi kelemahan pemimpin ialah dia melantik orang yang hanya boleh menyokong dia, tidak akan membantah dasar atau arahan mereka. Sebab itu kita lihat, banyak institusi Melayu diketuai oleh mereka yang diragui kelayakannya. Maksud saya ia bukan dilihat dari segi kelayakan fizikal dan ilmu sahaja, tetapi juga meritokrasi dari segi moral dan budayanya. Pemimpin harus bijaksana, apakah dia sentiasa memikirkan kepentingan rakyat atau bangsanya.
Misalnya MAS, yang penuh dengan kerugian dan skandal, apa tindakan segera kita untuk mengatasinya? Begitu juga ada pegawai kerajaan yang saya dengar, ada buku (skandal) tentang dia, tetapi pegawai itu ada juga di situ.
Saya ada menulis dalam Dewan Masyarakat tentang pandangan rasmi dengan pandangan awam, selalunya kita menolak pandangan awam dengan mengatakan ianya tidak betul, tidak bertanggungjawab, seolah-olah pandangan rasmi itu betul dan tidak boleh ditegur.
Contohnya, buku mengenai seseorang, yang dianggap skandal, lalu diharamkan buku itu. Orang tidak akan menulis tentang sesuatu yang tidak pasti, kerana orang takut juga didakwa di mahkamah. Tentu ada fakta yang betul. Takkan orang nak menulis cerita bohong.
Kita di Malaysia ini, saya tak fikir orang berani sangat mencipta sesuatu yang tidak betul mengenai orang tertentu, yang biasanya dianggap sesuatu yang salah.
Masalahnya, kita tidak terbuka. Jika orang yang sama (didakwa bermasalah), dia masih duduk dalam sistem, bagaimana kita hendak mengharap sistem menjadi cekap. Kita sukar mendapat bukti untuk dakwa di mahkamah. Katalah seseorang yang diketahui rasuah. Tetapi kita tidak boleh membawa di ke mahkamah kerana tiada bukti. Apa susahnya? Kalau seseorang itu gajinya RM10 ribu sebulan, tetapi dia mempunyai rumah yang berharga RM20 juta, itu bukan bukti?
Dari mana dia dapat duit sebanyak itu? Dari loteri, atau duit dadah, atau Amerika yang bagi? Apakah ini bukan bukti?
Sekurang-kurangnya para pemimpin atau penguasa negara bawa dia ke mahkamah dan tanya di mana kamu dapat wang sebanyak ini. Ini tidak, kita berpegang sangat bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan di mahkamah. Jadi dengan cara ini banyaklah orang lepas.
Bukti yang nyata bukan hanya dalam mahkamah. Bukti yang nyata ialah pada pandangan masyarakat. Dengan itu, kalau kita kata kita akan membasmi, memerangi dan membanteras rasuah, orang akan ketawa!
Sekali lagi, bagaimana fenomena ini boleh berlaku dan nampaknya seperti diterima? Ini kerana budaya kepimpinan yang tidak menuju ke arah kepentingan masyarakat. Saya tidak menuduh selama ini pemimpin tidak membuat sesuatu untuk kepentingan rakyat. Memang semua dasar dan pembangunan dibuat untuk kepentingan negara dan rakyat.
Tetapi perlaksanaannya? Dasarnya bagus, teorinya bagus, tetapi praktiknya mungkin tidak betul kerana yang melaksanakannya adalah orang-orang yang selama ini menimbulkan masalah.
Bayangkan, kalau misalnya kita melantik perasuah menjaga pintu Malaysia, orang dari negara asing seperti China dan India sebagai illegal immigrant mudah bolos, kerana dia tidak ada semangat kebangsaan dan tidak takut kepada Tuhan.
Kesannya, kita tidak tahu sudah berapa ramai orang asing sudah masuk ke dalam negara kita?
Dalam bidang lain, pencapaian Melayu bagaimana?
Begitu juga dalam bidang pendidikan, tentang bahasa Melayu. Mengapa ada orang menganggap bahasa Melayu tidak boleh mengangkat kemajuan bangsa? Ini tidak, ada yang beri alasan, jika kita hendak menjadi bangsa yang maju, mesti menguasai bahasa Inggeris. Ini pandangan pemimpin Melayu sendiri. Ini bukan pandangan yang betul, tidak berdasarkan ilmu.
Maka, sekarang ini kacaulah sistem pendidikan negara. Bayangkan kanak-kanak yang tidak tahu bahasa Inggeris, hari pertama dia masuk sekolah (7 tahun), dia kena belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Dalam bahasa yang dia tidak tahu!
Mana ada negara dalam dunia ini yang memaksa rakyatnya belajar dalam bahasa yang mereka tidak menguasainya di peringkat itu? Belajar ilmu dalam bahasa yang dia tidak tahu. Tak ada lah, ini karut!
Rakyat terpaksa menerima, seolah-olah tidak boleh membantah.
Masalahnya di negeri kita, akhbarnya tidak bebas, kalau kita hendak memberi pandangan membantah (dasar ini), tidak keluar. Suara kita tidak sampai, jadi seluruh rakyat yang kadang-kadang yang kurang berfikir, dia menganggap keputusan itu (mengajar Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris) betul.
Lalu ada orang berkata kepada saya, Jepun dan China pun sudah banyak yang belajar bahasa Inggeris. Saya kata, betul. Tetapi mereka tidak menggantikan bahasa pengantarnya ke bahasa Inggeris.
Memang mereka hendak menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, bukan bahasa pertama. Mereka berbuat begitu kerana ada tujuan tertentu. Kita tidak, kita hendak menjadi maju dengan menolak bahasa kita sendiri. Majulah kita!
Kita ini orang Islam, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa Islam sudah lebih 700 tahun, konsep Islam, syariat Islam, ilmu Islam, budaya Islam dan sebagainya kita fahami melalui bahasa kita.
Contohnya, perkataan ijab qabul tak ada dalam bahasa Inggeris, nikah pun tak ada. Engaged makna bertunang itu betul. Perkataan kenyang pun tak ada dalam bahasa Inggeris. Paling habis pun mereka kata "I'm full". Full pada kita maknanya penuh.
Ini saya bagi contoh sahaja. Sebenarnya beratus perkataan kita yang tidak ada dalam bahasa Inggeris. Ini kerana 60 atau 70 peratus bahasa Inggeris adalah pinjaman. Tetapi orang tidak tahu.
Alasan pemimpin kita kalau hendak menjadi bangsa yang maju, kita mesti menguasai bahasa Inggeris.
Mana ada! Yang paling senang, kalau kita hendak faham, ilmu yang bersifat sains atau matematik, yang sudah diterjemahkan ke bahasa Melayu. Katalah 'two plus two equal four', apa payahnya nak terjemah kepada bahasa Melayu?
Tetapi kalau kita hendak terjemahkan budaya, agama atau ilmu yang bukan saintifik, ini payah. Kalaulah suatu hari nanti, kanak-kanak Melayu diajar sastera Melayu dalam bahasa Inggeris, ini karut. Dan ia sudahpun diajar di universiti kita.
Persepsi kita makin lama semakin dipengaruhi oleh persepsi Barat. Kalau kita kata mereka (pemimpin) masih dijajah mindanya, mereka akan marah. Pemimpin akan kata, "bagaimana kamu menuduh minda saya dijajah sedangkan saya sering mengkritik Barat?'.
Pada saya ini tidak bererti kita tidak dijajah nilai-nilai Barat. Pemimpin boleh mengkritik Bush (Presiden AS) kerana mengebom Iraq, tetapi belum tentu pemimpin berkenaan berfikiran berdasarkan budaya Melayu.
Tidak semestinya begitu. Mungkin dia (pemimpin) banyak mengkritik Bush, tetapi mungkin dalam fikirannya bahawa bahasa Inggeris lebih baik dari bahasa Melayu.
Sebab itu ada pemimpin yang berkata, kalau hendak menjadi bangsa yang maju mesti ikut model Barat. Kita ambil teknologi mereka, belajar sains mereka. Sebenarnya sains ini universal, bukan hak bahasa Inggeris sahaja. Sains boleh disampaikan dalam apa bahasa pun. Hanya bangsa yang tidak maju sahaja terpaksa menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar sains dan matematik.
Tetapi hal-hal ini tidak dibahaskan. Tidak terbuka. Tiada ada pandangan alternatif. Saya menganggap kita semakin mengalami penjajahan idea.
Soalnya, orang Melayu nampak seakan boleh menerima, berbanding orang bukan Melayu yang lebih ketara menentang dasar itu walaupun kesan buruknya lebih kepada orang Melayu.
Itu yang saya katakan tadi, bukan bererti orang Melayu menerima ini semua. Padahal ia tidak betul. Tetapi pandangan alternatif tidak sampai ke pelosok masyarakat. Orang Melayu mesti terbuka, jika diberi kebebasan berhujah dan berbahas, saya percaya orang Melayu seluruhnya akan menolak keputusan itu.
Malangnya masyarakat kita tidak mendapat peluang untuk mendengar perbezaan antara keburukan atau kebaikan setiap dasar yang dilaksanakan itu.
Dasar ini (pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris), guru-guru marah, banyak orang marah. Yang tak marah Umno, fasal mereka menganggap, keputusan itu merupakan keputusan ketua Umno. Sudah menjadi tradisi Umno, tidak boleh melanggar keputusan atau kehendak ketua. Inilah Melayu. Bagi saya ini bukan Islamik.
Masalah tadi dilonggokkan oleh bekas PM terdahulu, jadi apa halangannya Perdana Menteri sekarang untuk membuat perubahan?
Itu yang saya tak tahu. Itulah yang saya kata kelemahan kepimpinan. Saya buat hipotesis, selalu saya beritahu dalam kongres atau sebagainya, kalau saya jadi Perdana Menteri saya akan hapuskan (pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris). Sebab keputusan ini salah!
Berpuluh tahun bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Bagi saya kaum-kaum lain di negara ini sudah menganggap dasar ini sudah baik dan berjaya. Berpuluh ribu orang yang dididik dalam bahasa Melayu sudah berjaya dan menjadi pakar dalam pelbagai bidang.
Apabila mereka yang berjaya mengambil PhD di luar negara sebagai orang yang cemerlang, asas pendidikan mereka adalah bahasa Melayu. 10 atau 20 tahun dulu Dr Mahathir mengaku, tahun 1978, dia memuji UKM kerana telah berjaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Melayu dan pelajar UKM cemerlang.
Ada orang ingat universiti di luar negeri semuanya bagus-bagus. Pada saya tidak! Payah nak gagal kalau belajar di luar negeri. Melainkan kalau kita malas nak baca buku, malas belajar.
Mungkin rakyat tidak nampak kesan buruk dasar ini?
Benda ini (pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris) boleh menjadi mudarat atau barah. Saya diberitahu oleh beberapa orang menteri, mereka ingatkan hanya dua subjek sahaja diajar dalam bahasa Inggeris. Ia menunjukkan mereka ini tidak pandai berfikir. Fikiran mereka cetek dan tidak mendalam.
Apabila diberitahu sains sahaja ada 89 cabang, seperti botani, geologi, zoologi dan banyak lagi, sama seperti matematik pun banyak cabang, baru mereka sedar bukan dua subjek sahaja!
Ada seorang pensyarah universiti tempatan membuat kajian dalam hal ini, dalam tahun 2008, 80 peratus ilmu sains dan matematik akan diajar dalam bahasa Inggeris.
Pada hal sudah lebih 30 tahun, 80 peratus bidang ini diajar dalam bahasa Melayu sampai ke peringkat universiti. Kita sudah ada berapa banyak profesor matematik mengajar dalam bahasa Melayu. Ini tidak jadi masalah.
Jepun pun ajar dalam bahasa dia. China pun ajar dalam bahasa dia. Di Indonesia mereka mengajar nuklear fizik dalam bahasa dia. Kalau zaman BJ Habibie dulu mereka boleh buat bom dan peluru berpandu. Berapa banyak mereka ada pakar nuklear fizik yang mengajar dalam bahasa Melayu Indonesia. Jadi, kita sudah melakukan suatu kesilapan besar!
Mungkin juga bahasa Melayu dilihat tidak mampu mencakupi semua bidang ilmu seperti istilah sains dan sebagainya?
Siapa kata? Yang sudah dapat PhD punya banyak. Walaupun dia mendapat PhD di Amerika, tetapi apabila dia balik ke Malaysia, dia tetap akan mengajar dalam bahasa Melayu. Sebab sistem di negara kita, sekolah rendah, menengah dan universiti mengajar dalam bahasa Melayu, dia ambil sarjana dalam bahasa Melayu, cuma dia habiskan peringkat PhD dalam bahasa Inggeris sahaja.
Kalau masalah istilah, kita sudah cukup istilah dalam bahasa Melayu. Semasa saya di Dewan Bahasa, saya terlibat dalam penggubalan pelbagai istilah. Maksud sahaja bukan soal bahasa Inggeris. Yang maju adalah bangsa Inggeris itu sendiri. Kerana dia berfikir dalam bahasa dia.
Kesan tidak baik kepada dasar ini sudah dirasai, tetapi mengapa hanya untuk menjaga air muka bekas PM misalnya, orang Umno menerima begitu sahaja dasar ini?
Bukan orang Umno sahaja. Orang dalam parti lain, PAS misalnya pun, tidak mengeluarkan suatu pandangan yang kuat untuk menolak. Pendek kata orang Melayu seluruhnya, orang Umno atau orang PAS tidak mampu mengeluarkan hujah untuk menolak hujah ini, sekurang-kurangnya dari segi konsepnya.
Kuasa untuk mengubahnya ada pada kerajaan sekarang. PM atau pun Menteri Pelajaran sendiri. Sekarang ini sudah susah untuk mengubahnya. Orang Cina dalam parti Gerakan misalnya mengatakan, bahasa ibunda dia merupakan alat yang paling sesuai untuk kanak-kanak menguasai dan memahami ilmu. Ini memang benar. Kanak-kanak Melayu lebih mudah menguasai konsep membilang dan mendalami ilmu dalam bahasa Melayu.
Pada saya ini keputusan yang boleh memudaratkan kepentingan orang Melayu dalam bidang apa pun. Masalahnya ada kalangan anggota parti atau cawangan yang menyokong keputusan ini. Ada juga yang diupah menyokong dasar kerajaan. Sebab orang Melayu sekarang ini, tidak semuanya yang kuat agamanya. Tidak kuat Islamnya dan tidak kuat budaya Melayunya.
Orang dalam, macam taukeh-taukeh di bahagian, macam-macam caralah, dia hendak duit cara senang, dia sokong sahaja. Apabila orang Melayu di kawasan dia marah, dia akan kata, "Alah, kita ni hendak cari makan." Mungkin orang seperti ini sudah dapat upah.
Kita tidak perlu dijatuhkan oleh kuasa luar seperti Amerika dan sebagainya. Jika mereka melihat kita secara dekat, selepas seminggu mereka akan balik dan mengatakan "tak payahlah kita jatuhkan mereka, sebab mereka sendiri sedang menjahanamkan diri mereka sendiri".
Kalau kerajaan tidak mengubah dasar ini, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, saya fikir masa depan orang Melayu akan malap. Mereka tidak lagi dapat berfikir sebagai orang Melayu. Malah Islam sendiri dikembangkan dalam bahasa Melayu. Beratus tahun dulu, ulama Arab yang datang ke Tanah Melayu pun dia kena tahu bahasa Melayu.
Sejarah tamadun Melayu membuktikan bahawa bahasa ini dengan Islam sudah sebati beratus-ratus tahun, di samping bahasa Arab. Kerajaan di seluruh rantau ini, termasuk di Pulau Jawa ketika itu menggunakan bahasa Melayu. Undang-undang digubal dalam bahasa Melayu. Kalau ini hilang, saya ingat dalam 50 tahun lagi Melayu akan hilang identiti. Hilang sebagai suatu tamadun dan budaya, walaupun tidak hilang sebagai suatu etnik. Macam Red Indian di Amerika Syarikat.
Jangan ingat bahasa itu hanya ejaan, istilah, nahu dan pertuturan sahaja. Bahasa adalah budaya. Misalnya, kita tidak boleh pisahkan bangsa Cina dengan bahasanya.
Bagaimana peranan pejuang bahasa untuk membantu menyedarkan rakyat?
Pernah dalam satu mesyuarat, seorang menteri hairan mengapa tidak ada wakil institusi Melayu yang bersuara tentang bahasa, mereka diam sahaja. Saya kata kepada menteri itu, NGO Melayu takut, cakap banyak digertak. Mereka sudah jadi pondan. Mereka dianggap sebagai musuh kerajaan. Malangnya bangsa kita, lain seperti MCA, mereka tidak pernah menganggap NGO Cina sebagai musuh. Mereka anggap NGO sebagai rakan. Begitu juga Gerakan. Walaupun NGO itu mengkritik depan publik, tetapi mereka tidak dianggap sebagai seteru.
Apakah NGO Melayu sudah tidak berfungsi sebagai pembela bangsa?
Ada orang memberitahu saya bahawa Dr Mahathirlah yang membunuh NGO Melayu. Zaman dialah NGO Melayu habis. Ada NGO hendak bersuara mengenai bahasa Melayu, dia tuduh pengkhianat. Jadi orang takut.
Macam mana kita dituduh sebagai pengkhianat bangsa sedangkan kita lahir sebagai Melayu, kita bukan orang luar, kita bukan pendatang. Sebab dia (Mahathir) kata, orang Melayu yang tidak mahu bahasa Inggeris, ini bererti dia tidak mahu orang Melayu maju. Hujah itulah sepatutnya ditentang habis-habisan sebab tidak betul.
Umno bukan orang cerdik semua. Dia percaya benda yang tidak betul. Sebab tidak ada orang yang menentangnya (dalam Umno). Saya pernah diminta pandangan oleh wartawan akhbar harian Melayu. Saya sanggah pandangan Dr Mahathir dengan keras, tetapi tidak diterbitkan. Saya pernah cabar dia (Mahathir) untuk membuat debat terbuka tetapi tidak disiarkan.
Malah pihak yang menyokong hujah dia, disiarkan penuh. Wartawan itu telefon saya, saya jawab: "Ini bahaya, satu pandangan yang boleh menjajah orang Melayu, dimonopoli pandangan, idea ini tidak betul, sekarang saya hendak sanggah dia. Saya cabar Tun berdebat." Tapi satu perkataan pun tidak masuk (ketawa).
Orang Melayu menguasai politik, pentadbiran awam, keselamatan, tapi malngnya kedudukan kita masih di takuk lama.
Saya rasa sebabnya, bangsa Melayu selepas merdeka berada dalam satu environment baru iaitu kapitalisme kuasa pasaran yang boleh digunakan untuk membeli kuasa Melayu.
Diupah orang Melayu, maka berlakulah rasuah dalam sektor awam. Orang Melayu diupah untuk mendapatkan tender dan projek, apabila dapat, dia menjualnya kepada orang Cina. Ini puncanya.
Dalam hal ekonomi misalnya, pihak yang melaksanakannya, hampir semuanya terbabit dalam rasuah. Orang Melayu ada juga beli orang Melayu, tetapi tidak banyak. Malah ada ahli peniaga Cina yang boleh masuk hingga ke dapur pemimpin politik Melayu (untuk mendapatkan projek).
Pergilah mana-mana pun, dalam laporan disebut bahawa Malaysia di tangga ke 50 corrupted. Apabila orang tanya saya, saya tak percaya kita nombor 50, sebab apabila kita pergi di mana-mana pejabat, saya lihat mereka corrupted 90 percent!
Saya bercakap dengan seorang bekas Ketua Pengarah BPR, dia kata, "Dato' Hassan kata 90 peratus, saya kata 100 peratus" (ketawa). Beliau berkata kepada saya, bagaimana hendak hapuskan rasuah, kerana bila saya hendak mengambil tindakan, saya distop!
Ini bahayanya pasaran terbuka. Sebab itu banyak negara semakin miskin sebab mengikut acuan kapitalisme.
Apakah kita tidak boleh lagi harapkan pemimpin sekarang?
Bagaimana kita hendak harapkan orang ini hendak melaksanakan dasar untuk manfaat rakyat. Dalam Rancangan Malaysia sebelum ini pun ada banyak perancangan. Yang hendak melaksanakannya pun orang itu juga. Si penyangak, si perasuah di situ juga kerana sistem sudah begitu.
Seolah-olahnya sudah tidak boleh diubah lagi. Saya bimbang juga ada kuasa lain yang cuba menguasai kita. Di Nusantara ini, hanya dua kuasa orang Melayu-Islam yang tinggal. Hanya Malaysia dan Indonesia sahaja.
Saya punya pandangan kalau pemimpin kita darahnya bukan Melayu tulen susah kita. Saya tak payah bagi contohlah (ketawa).
Masih ada harapan Dato' kepada pemimpin yang ada?
Harapan saya ialah kita hendaklah kembali kepada semangat asal. Semangat yang betul, dasar yang betul. Nilai-nilai Islam harus diterapkan dalam sistem pentadbiran negara.
Mungkin kita tidak perlu menyebutnya sebagai nilai-nilai Islam secara bertulis. Kita boleh laksanakan sebab ia adil kepada semua orang. Dalam sistem sekarang, ada yang terlalu kaya, banyak yang miskin, dalam Islam ini suatu kesalahan. Kembalilah kepada Islam.
Dari segi Melayu pula, mereka mesti kembali kepada budaya Melayu. Pegawai-pegawai kerajaan mesti diwajibkan membaca buku karya agung mengenai budaya Melayu. Misalnya, lihatlah bagaimana hebatnya pantun Melayu. Jika hendak naik pangkat kita wajibkan mengetahui semua ini. Kerajaan hendaklah menyusun semula sistem pendidikan kita mulai dari sekolah untuk memperkukuhkan asas pendidikan Melayu. Kembali kepada nilai Islam dan Melayu tulen untuk memartabatkan bangsa dan negara kita.
Sumber:http://www.harakahdaily.net/v06/index.php?option=com_content&task=view&id=2037&Itemid=60
No comments:
Post a Comment