Tuesday, April 18, 2006

Politik Tak Bertamadun dan Akademil

Saya merasa perkara ini sejak terlibat dgn bidang akademik 3 thn lalu, dgn laporan ini mengesahkan apa yg saya rasakan dulu. Kalau keadaan ini berterusan nampaknya harapan nak melihat M'sia jadi negara maju tak akan kesampaian. Di negara maju perkara-perkara yg disebutkan oleh Prof Dato tidak berlaku sama sekali. Tak ada cara lain, melainkan rakyat mengubah pemerintah yg telah sekian lama diberi peluang tapi nampaknya parti memerintah tidak membuat sebarang perubahan. Marilah wahai rakyat M'sia lakukan perubahan, jika ingin melihat M'sia maju. Perasaan mengatakan UMNO /BN shj boleh tadbir negara tidak relevan sama sekali.

Apr 17, 06 | 04:43:13 PM

Oleh Nyza Ayob

Prof Emeritus Dato' Dr Khoo Kay Kim terkenal bukan saja kepakarannya dalam bidang sejarah, bahkan pandangannya mengenai dunia pendidikan. Wartawan Fikrah-Harakah, Nyza Ayob, menyelami pemikirannya tentang kualiti sistem pendidikan kini serta tahap intelek universiti


HARAKAH: Pandangan Prof tentang sistem pendidikan hari ini
KHOO KAY KIM: Sistem pendidikan hari ini membuat andaian yang salah. Kalau diperhatikan dasar pelajaran secara rasmi, yang disebut tidak sama dengan apa yang berlaku. Kita perlu beri perhatian pada apa yang berlaku bukan apa yang tertulis di kertas. Contohnya pada 1956 Kerajaan keluarkan Penyata Razak mengenai Dasar Pelajaran Kerajaan. Dasar tersebut mengatakan objektif utama sistem pelajaran kebangsaan ialah perpaduan negara. Sekarang tidak ada sekolah memberi keutamaan tersebut. Lama kelamaan kita dapati dasar utama setiap sekolah ialah murid mesti mendapat grad A seberapa banyak dalam peperiksaan. Akhbar juga memberi perhatian utama pada perkara ini.
Keputusan peperiksaan sebenarya tidak menjamin masa depan. Kita boleh mendapat 15A tahun ini tapi sepuluh tahun akan datang apa yang akan terjadi? Sebenarnya tidak ada jaminan, terutama jika mendapat A kerana cekap menghafal.

Berdasarkan pengalaman Prof di universiti, adakah situasi yang sama dihadapi di universiti?
Ya, mereka di universiti hari ini ramai yang lulus peperiksaan kerana menghafal. Mereka menggunakan perkataan atau istilah dengan tidak memahami istilah atau perkataan tersebut. Mereka hanya dikehendaki memberi jawapan untuk satu soalan. Walhal banyak soalan memerlukan lebih dari satu jawapan. Setiap orang itu mesti berfikir bukan permudah. Jadi, jika kita belajar sehingga universiti dan berpendapat untuk setiap soalan ada satu jawapan, itu bererti kita belum terdidik.

Di manakah kelemahan sistem pendidikan kita?
Kita perlu menyedarkan murid apabila mereka sekolah atau universiti, mereka akan menghadapi pelbagai masalah. Jika sepanjang masa mereka berada di sekolah dan universiti, mereka tidak tahu membuat pemilihan dan akan sesat jalan. Inilah kelemahan sistem pendidikan kita

Sistem itu boleh diperkemaskan kembali?
Kita seharusnya lebih jelas tentang apa ertinya pendidikan. Pendidikan bererti banyak aspek yang perlu diutamakan. Bukan hanya lulus peperiksaan. Seseorang itu mesti diberi latihan untuk mendidik murid. Ini bererti memberi perhatian pada setiap orang murid itu sebagai individu, watak seseorang itu, kelemahan kecenderungan, latar belakang. Dengan cara ini, seorang pendidik itu beransur-ansur mendidik murid. Jadi seharusnya banyak masa diberikan di sekolah untuk mendidik murid, bukan dengan memberi tusyen. Mereka perlu tahu alam sekitar di sekeliling mereka, dan di rantau ini. Sebab itu Sejarah dan Georafi penting. Tapi sekarang lebih mementingkan sains dan teknologi, yang tidak banyak memperkenalkan suka duka dalam kehidupan mereka.

Adakah sistem kedudukan dalam kelas hari ini praktikal?
Itu tidak mengapa, tapi jangan jadikan keutamaan dalam sistem pendidikan. Seperti saya sendiri. Saya pelajar aliran sains dan sewaktu tingkatan lima saya tidak ambil subjek sejarah. Tapi akhirnya saya menjadi Profesor Sejarah. Jadi SPM tidak menjamin masa depan kita. Kita jangan cuba 'membunuh diri' kerana keputusan SPM tidak baik.

Bagaimana kaedah memperkemaskan pendidikan di universiti?
Kaedahnya sama dengan pendidikan di sekolah. Di universiti penuntut mesti datang untuk menuntut ilmu dan untuk menjadi manusia sempurna. Jika mereka hendak mengejar kekayaan, ini bukan tempatnya. Sekarang ramai yang menganggur. Tapi ditambah lagi universiti. Jika ditambah lagi universiti, dalam tempoh 10 tahun akan datang, berapa ramai lagi yang akan menganggur. Tapi jika ditambah universiti kerana yang datang itu untuk menuntut ilmu, untuk menambah hingga 100 universiti tidak jadi masalah. Jika ditambah lagi universiti juga akan timbul lebih banyak krisis termasuk masalah sosial.

Budaya berfikir di universiti dikatakan telah hilang.
Ya. Mereka yang datang ke universiti mementingkan mendapatkan pekerjaan apabila mereka keluar nanti. Objektif utama pendidikan di universiti bukan semua siswazah mesti mendapat pekerjaan. Saya dapati sekarang sudah sampai satu peringkat pensyarah takut gagalkan penuntut. Pemikiran mereka ialah apabila mereka gagalkan seseorang penuntut, itu akan merosakkan periuk nasinya. Jika peperiksaan tidak dikaitkan dengan periuk nasi, barulah sesebuah universiti itu dapat memberi manfaat pada masyarakat. Mereka yang datang ke universiti untuk meluaskan pemikiran, bukan pasport untuk mendapatkan pekerjaan.

Dalam sistem pendidikan tinggi sekarang ini, di manakah letaknya intelektual universiti itu sendiri?
Sudah tidak ada. Jika ditanya kepada semua pelajar universiti, apakah tujuan masuk universiti, mereka tidak akan jawab "saya akan mempertingkat intektual". Budaya universiti juga tidak mengutamakan intelektual.

Pandangan pelajar terhadap pensyarah?
Penuntut diberi peluang untuk menilai pensyarah. Pensyarah yang menolong mereka, memberi gambaran soalan yang akan keluar dan memberi markah tinggi, dianggap pensyarah yang berprestasi baik. Pensyarah yang menjalankan tugas dengan tujuan mahu meluaskan pandangan dan pengetahuan penuntut, dianggap dan dinilai sebagai pensyarah yang tidak baik. Tidak ada faedah jika lulus peperiksaan hanya untuk bergelar graduan saja. Minda akan terkongkong, sepatutnya pensyarah cuba membebaskan minda penuntutnya, supaya jika kurang faham, dia berani menyoal dan ingin menambahkan pengetahuan. Semua ini penting.

Apakah minda pensyarah itu sendiri terkongkong?
Ya, betul. Generasi pensyarah sekarang sebegitu. Mereka sendiri salah faham peranan mereka.

Adakah campur tangan pihak atasan menyebabkan minda pensyarah terkongkong?
Banyak campur tangan politik. Ini melemahkan negara dan sangat merbahaya pada zaman globalisasi ini. Suka atau tidak kita terpaksa bersaing di peringkat global. Kalau kita lemah dan tidak boleh bersaing kita akan tenggelam.

Bagaimanakah ciri-ciri universiti yang ideal?
Ia adalah universiti yang berani meneroka idea baru, universiti yang tidak menerima jawapan biasa sebagai jawapan muktamad dan universiti di mana orang akan sentiasa mencipta idea. Bukan bagaimana kita seharusnya melakukan sesuatu. Ini pendekatan yang ada struktur yang tidak akan membawa pada kreativiti. Jika kita biasa buat apa yang orang buat, tidak ada daya cipta.

Tahap universiti di negara kita jika dibandingkan dengan universiti di dunia.
Satu campuran dua sistem lagi baik. Sistem Britain lebih konvensional berbanding sistem Amerika. Sistem Amerika dilihat terlampau liar dan tidak menguntungkan. Britain pula terlampau konservatif dan tidak berapa baik. Jika dapat 'kahwinkan' dua sistem ini, kita akan dapat sistem yang lebih ideal. Di universiti kita mesti eksperimen. Jika tidak dibuat eksperimen, itu bukan namanya universiti. Universiti yang dianggap unggul seperti Harvard, Yield, Oxford, Emperial College dan Bristol.

Apakah universiti kita belum sampai ke tahap itu?
Dalam disiplin tertentu kita boleh. Contohnya berkaitan dengan budaya. Di Universiti Malaya ini kita ada banyak keistimewaan untuk mengkaji kebudayaan. Tapi dalam sains dan teknologi kita tidak boleh bersaing kerana kos yang mahal. Tapi kita lebih memberi tumpuan pada sains dan teknologi. Jadi kita tidak akan menyaingi universiti di Barat.

Pada pandangan Prof, berlaku campur tangan politik dalam pentadbiran universiti?
Ya, ahli politik campur tangan. Pelantikan jawatan lebih tinggi, keputusan dibuat dari luar, oleh kementerian. Kurikulum universiti juga sedikit sebanyak ditentukan oleh kementerian.

Perlu kementerian tersendiri untuk urus universiti?
Ia perlu untuk kementerian sendiri dan tidak harus memberi kesan kepada universiti. Maksud saya, bagaimana kerajaan menguruskan bahagiannya sendiri. Tidak seharusnya mengganggu tugas kami sebagai ahli akademik. Tugas kami untuk menangani idea, bukan pengurusan. Pengurusan tidak seharusnya mengganggu kerja kami sebagai ahli akademik. Dahulu keputusan akademik tidak dibuat pemerintah. Sekarang mereka yang membuat keputusan. Profesor dikehendaki patuh pada pentadbir dan bukan hendak mempertingkat taraf intelek.

Seringkali apabila kemenangan dalam pilihan raya, dijanjikan penubuhan unversiti.
Ini yang amat dibimbangi. Terengganu apabila BN menang ditubuhkan universiti. Begitu juga di Kelantan yang dijanjikan universiti. Jika setiap negeri ditubuhkan untuk rakyat negeri tersebut, bagaimana kita hendak bersaing di peringkat dunia? Ia menjadi semakin sempit dalam dunia globalisasi ini.


Campurtangan NC dikatakan berlaku di UM. Sejauh mana dakwaan ini, Prof?
Itu susah untuk disahkan kerana kita dengar cerita orang. Saya sendiri tidak mempunyai pengetahuan secara langsung mengenai perkara itu. Yang penting bagi kita ialah pandangan orang luar tentang universiti. Tetapi secara keseluruhannya, saya rasa universiti perlu menyokong kerajaan. Sekurang-kurangnya tidak boleh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan dasar kerajaan. Kerajaan itu dianggap 'state holder' kerana ia bayar untuk kewujudan universiti itu. Seharusnya universiti diberi kebebasan untuk menjalankan eksperimen dari segi idea.

Prof jika dilantik sebagai NC, adakah akan menerima pelantikan itu?
Saya tidak akan terima kerana sudah tua. Lagipun banyak masalah. Tapi jika diminta memberi nasihat, saya akan bersedia. Saya mempunyai pengalaman 40 tahun lebih sebagai kakitangan akademik.


Sumber:http://www.harakahdaily.net/v06/index.php?option=com_content&task=view&id=1890&Itemid=60

No comments: