Sekadar untuk menambahkan pengetahuan dan berkongsi maklumat dgn orang lain saya memasukkan artikel ini dalam blog saya. Semoga kita ada sedikit maklumat mengenai perkara tersebut.
Malaysia sedia untuk pengkomputeran grid
PENINGKATAN penggunaan pengkomputeran grid di kalangan sektor utama di negara ini membolehkan Malaysia muncul sebagai antara negara utama di dunia dan Asia Tenggara yang memanfaatkan prasarana teknologi dinamik pengkomputeran grid.
Pengkomputeran grid adalah kaedah menyelaraskan penggunaan banyak sistem pelayan dan storan yang digabungkan menjadi satu sistem pengkomputeran yang besar untuk menghasilkan ciri seperti perkhidmatan berkualiti tinggi selain menjimatkan kos.
Pengarah Urusan Oracle Corp (Oracle) Malaysia, VR Srivatsan berkata, Malaysia kini tersenarai dalam peta hala tuju pengkomputeran grid di kalangan negara Asia Pasifik yang menyaksikan beberapa sektor penting di negara ini terbabit dalam teknologi itu.
Katanya, daripada hasil kajian Oracle terhadap teknologi ini, indeks keseluruhan (global) menunjukkan Asia Tenggara termasuk Malaysia mencatat peningkatan, iaitu 5.9 peratus, mengatasi rantau Asia lain antaranya seperti Jepun, Korea Selatan dan China.
“Sektor yang sentiasa berhadapan dengan tugasan pengkomputeran berat seperti komunikasi dan perbankan memerlukan kepada teknologi pengkomputeran grid untuk menghasilkan kualiti perkhidmatan tinggi selain menjimatkan kos.
“Di negara ini, pemain utama dalam sektor komunikasi dan perbankan sudah menunjukkan minat untuk memanfaatkan teknologi ini yang membuktikan ia senario positif ke arah perkembangan pengkomputeran grid,” katanya kepada media mengumumkan hasil kajian Oracle dalam pengkomputeran grid di Sepang, baru-baru.
Kajian indeks grid Oracle itu membabitkan 1,466 responden yang mempunyai kuasa dalam pengurusan teknologi maklumat (IT) dalam organisasi mereka. Responden berkenaan termasuk Amerika Utara (308 orang), Asia Pasifik termasuk Malaysia (557 orang) dan Eropah (601 orang).
Matlamat kajian adalah untuk mengenal pasti minat dan kegiatan yang mampu membawa kepada penggunaan prasarana teknologi dinamik, fleksibel serta moden seperti virsualisasi sistem pelayan, storan dan pengkomputeran grid.
Srivatsan berkata, Asia Pasifik yang turut membabitkan penyertaan Malaysia juga menunjukkan keupayaan tinggi dalam pengkomputeran grid dengan 7.1 peratus sudah bersedia dengan asasnya berbanding Amerika Utara (7.0 peratus) dan Eropah (6.2 peratus).
“Berdasarkan kepada pengetahuan dan pemahaman profesional IT mengenai manfaatkan serta potensi teknologi ini, Oracle yakin Malaysia akan berkembang bersama negara maju lain dalam merealisasikan penggunaan pengkomputeran grid ini,” katanya.
FAKTA: Pengkomputeran grid.
Indeks global Asia Pasifik - 5.9 peratus.
Sedia dengan asas Asia Pasifik - 7.1 peratus.
No comments:
Post a Comment