Menjalankan dakwah bukan hanya tanggungjwp setiap individu Islam tetapi sebagai pemerintah, sewajarnya usaha ini dilakukan dengan secara tersusun selaras dengan keupayaan yang ada pada kerajaan tersebut. Malang sekali nampaknya di Malaysia usaha ini tidak dilakukan secara serius. Sebaliknya ada yang mempertikaikan Islam sebagai The Way Of Life. Hukum Allah dipolitikkan, ceramah agama juga dipolitikkan hingga menyebabkan usaha dakwah terbantut akibat sekatan yang tidak berasas. Semoga keadaan ini akan berubah. Fikirkanlah wahai saudara-saudaraku apa yang telah kita lakukan untuk agama Allah ini, sebelum maut menjemput kita.
Dakwah ke jalan Allah
Kalamullah
DAN hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali Imran: 104)
Huraian
Sesungguhnya Allah s.w.t. mengingatkan bahawa perlu ada di kalangan orang-orang Islam suatu puak (golongan) yang menyeru kepada melakukan kebaikan, menyuruh berbuat makruf dan melarang melakukan kemungkaran. Di sini terdapat dua perkataan yang penting iaitu menyeru atau menyuruh berbuat makruf dan mencegah atau melarang melakukan perbuatan mungkar yang dibenci Allah s.w.t..
Perbuatan menyuruh melakukan yang makruf dan menjauhi yang mungkar dinamakan sebagai dakwah. Dengan adanya golongan (umat) yang berdakwah, ia akan menjadikan agama itu sentiasa hidup dan berkembang dari satu generasi ke generasi yang lain. Syiar Islam akan berkembang.
Berdakwah difahami sebagai mengajak melakukan kebaikan al-khair. Al-khair menurut tafsir al-Jalalail dalam ayat tersebut bermaksud Islam. Berdakwah sebenarnya boleh dilakukan oleh semua orang sama ada bagi orang yang mempunyai kuasa (pemerintah) mahupun orang-orang yang tidak mempunyai kuasa (orang awam).
Mereka ini yang apabila melaksanakan tanggungjawab menyampaikan dakwah dengan baik disifatkan oleh Allah s.w.t. sebagai orang yang berjaya mengembangkan agama Allah dan akan mendapat tempat yang mulia di sisi Allah s.w.t..
Sementara golongan yang mencegah atau melarang melakukan perbuatan mungkar tidak terbatas kepada orang yang mempunyai kuasa (pemerintah, penguasa) mahupun orang yang tidak mempunyai kuasa (orang awam).
Mereka hendaklah bukan sahaja mengajak kepada kebaikan tetapi juga berani mencegah segala kemungkaran dan maksiat.
Kesimpulan
Dalam Islam, berdakwah adalah perkara yang penting. Allah s.w.t. sendiri menyeru agar ada golongan yang memainkan peranan untuk mengajak melakukan kebaikan.
Ini dengan sendirinya akan melahirkan umat yang dapat menghayati ajaran Islam yang sebenar iaitu bertaqwa kepada Allah s.w.t. dengan taqwa yang sebenar-benarnya dalam mengembangkan syiar Islam.
- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
No comments:
Post a Comment