Sunday, November 06, 2005

Peristiwa Ahzab

Saya tertarik dengan khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Presiden Pas, mudah-mudahan kita dapat mengambil ikhtibar serta mengukuhkan keimanan kita pada zamandimana Islam bukan hanya ditentang oleh golongan musyrik tetapi golongan yang mengaku Islam.

Tidak ada tuhan selain Allah

Dia membenarkan janj-Nya

Dia menolong hamba-Nya

Dia menguatkan tentara-Nya

Dia menghancurkan partai-partai (kelompok) anti Islam sendirian

Tidak ada tuhan selain Allah

Allah Maha Besar

Segala puji bagi Allah


Sambut raya tapi jangan lupa
peristiwa Ahzab

Saturday, November 05 @ 08:15:59 MYT


MARANG, 5 Nov (Hrkh) – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengajak umat Islam yang berada dalam suasana bergembira menyambut hari raya supaya tidak lupa kepada peristiwa Ahzab yang berlaku di zaman Rasulullah.

Katanya, peristiwa Ahzab yang menguji umat Islam di zaman Rasulullah s.a.w. juga akan menguji umat Islam sehingga akhir zaman.

“Peristiwa Ahzab yang kita ulangi dengan menyebut wahazamal ahzabawahdah, dan Allah telah membinasakan bala tentera Ahzab dalam keadaan keesaan-Nya,” ujarnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Rusila, semalam.

Beliau berkata, dalam peristiwa itu umat Islam di zaman Rasulullah dikepung oleh dua golongan yang sangat merbahaya iaitu al-maghdhubi ‘alaihim dan ad-dholin.

Jelasnya, golongan al-maghdhubi ‘alaihim ialah mereka yang dimurkai oleh Allah yang terdiri daripada ahli kitab, yang tahu berkenaan dengan kitab, Islam dan Nabi Muhammad s.a.w.

Katanya, pemimpin-pemimpin mereka pergi ke Mekah bertemu dengan pemimpin-pemimpin ad-dholin iaitu golongan sesat di kalangan musyrikin di Mekah.

Tambahnya, mereka memberi semangat kepada pemimpin-pemimpin musyrikin ad-dholin supaya menubuhkan bala tentera Ahzab dan mengajak kabilah-kabilah musyrikin yang dibantu oleh golongan ahli kitab.

Katanya lagi, mereka menggabungkan bala tentera yang dinamakan Ahzab iaitu barisan kumpulan-kumpulan yang menganut berbagai-bagai ajaran dan fahaman.

Tambahnya, mereka mengumpulkan bala tentera yang besar dengan kelengkapan senjata yang secukupnya datang untuk menyerang Madinah bagi menghapuskan Islam, Rasulullah s.a.w. dan penganut agama Islam.

“Apabila kumpulan Ahzab itu mengandungi jumlah yang sangat besar, lebih besar daripada jumlah umat Islam di zaman itu, Allah menurunkan ayat-ayat di dalam surah yang dinamakan al-Ahzab, mengambil sempena peristiwa itu untuk mengajar umat Islam di akhir zaman betapa ujian yang dialami oleh umat Islam di masa itu,” jelasnya.

Katanya lagi, peristiwa Ahzab itu menggoncang iman yang ada di dalam hati umat Islam dengan ujian yang hebat.

Bagaimanapun, tambahnya orang-orang yang beriman berdiri tegak dengan teguh dan kuat yang tidak berganjak walau sedikitpun.

Menurutnya, mereka menentang bala tentera Ahzab walaupun dengan jumlah yang sedikit tetapi dengan iman yang sangat kuat.

Beliau menambah, mereka yang seperti itu dan golongan yang bersedia untuk mati bagi mempertahankan Islam adalah golongan Islam yang sebenarnya yang telah menghasilkan pertolongan Allah yang diulangi oleh umat Islam pada tiap-tiap Syawal dan Zulhijjah.

“Fahamlah perlunya kita mengulangi Ahzab. Perkataan Ahzab yang dihancurkan mengingatkan kita umat Islam bahawa cabaran Ahzab ini akan berpanjangan hingga hari kiamat,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, gabungan antara golongan al-maghdhubi ‘alaihim dan ad-dholin akan berlaku dengan cara yang lebih besar dan lebih luas, bukan sahaja di kalangan ulama ahli kitab dan orang-orang musyrikin.

Katanya, gabungan itu dibesarkan lagi di antara ulama-ulama jahat yang menjual agama dengan harta benda dan pangkat, dengan golongan sekular untuk mengepung Islam di akhir zaman ini.

Bagaimanapun, ujarnya pada hari ini kefahaman orang-orang Islam yang mengetahui sudah ada yang luntur dan merasa kecil dan kerdil di hadapan kuasa besar dunia walaupun melaungkan Allahu akbar, Allah Yang Maha Besar.

“Di mana ucapan Allah Yang Maha Besar sedangkan kita merasa kecil di hadapan musuh-musuh Allah?” tanya beliau.

Sehubungan itu, beliau mengajak umat Islam supaya meneguhkan iman bersama dengan kebesaran Allah Taala.

“Sesungguhnya kemuliaan kita di dunia dan akhirat adalah bersama dengan Islam. Kalau tidak bersama dengan Islam, maka kehinaan akan menimpa kita bersama golongan al-maghdhubi ‘alaihim dan ad-dholin yang mendapat kehinaan di dunia dan kehinaan di akhirat,” katanya lagi. – ayu

Sumber:http://www.harakahdaily.net/article.php?sid=16680

No comments: