Wednesday, March 22, 2006

Pakar Harvard bantu tingkat kecekapan perkhidmatan awam kita?

Selepas membaca berita ini saya terfikir, tidak adakah pakar pengurusan drpd Universiti tempatan yang boleh diberi tanggungjawap untuk mengkaji tahap kecekapan perkhidmatan awam tempatan, sampai terpaksa lantik pakar drpd Harvard. Saya yain kita mempunyai pakar tempatan yang mampu tetapi sikap kerajaan memandang rendah kepada kemampuan rakyat sendiri agaknya mendorong kepada melantik pakar luar. Berapalah agaknya dibayar kepada pakar-pakar tu yer? Kita berharap MP BA atau MP BN yang bertanggungjwp menyoalkan hal ini di Parlimen. Sebenarnya timbul masalah kepada perkhidmatan awam ini adalah kerana terlalu banyak campur tangan orang politik dlm perkhidmatan kerajaan. Sepatutnya, mereka buat dasar, berikan kepercayaan kepada pegawai kerajaan jalankan tugas mereka. Saya yakin mutu perkhidmatan awam akan meningkat, cthnya masa Pas perintah Terengganu, mutu perkhidmatan Pej Tanah berjaya ditingkatkan sehinggakan negeri-negeri lain datang belajar. Rasanya Pas tak panggil pakar drpd Harvard pun. Selain drpd itu para ahli politik dan pemimpin kerajaan yang korup mendorong pegawai kerajaan mengikut contoh. Kalau pemimpin bersih, maka pegawai kerajaan pun akan bertanggungjawap. Buktinya di Kelantan, sepanjang pemerintahan Pas, belum ada pemimpin kerajaan negeri ditangkap kerana rasuah. Di US sediri pun bukannya hebatnya sangat, lihatkan penyelewengan wang pembinaan semula Iraq yg diselewengkan. Organisasi tersebut dikawalselia oleh orang US. Pokoknya berbalik kepada pegangan agama pemimpin, kalau Islam pd nama shj, maka tak hairan rasuah sana sini. Pak Lah tahu apa yg berlaku, kabinet dia pun ramai terlibat dengan penyelewengan, tapi hairan masih juga kekalkan menteri yg korup. Keimpulannya Pak Lah tidak serius nak tangani rasuah, kalau nak hapus rasuah bukan dlm perkhidmatan awam shj, rasuah dikalangan pemimpin perlu hapuskan dulu. Dakwa pemimpin rasuah, jangan selindungi mereka atau dakwaan terpilih. Kalau nak tulis banyak lagi, tapi cukuplah dulu setakat ni.





Pakar Harvard bantu tingkat kecekapan perkhidmatan awam kita

KUALA LUMPUR 21 Mac - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan telah melantik sekumpulan pakar dari Universiti Harvard dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam sehingga ke tahap yang paling membanggakan.

Perdana Menteri berkata, pengalaman pasukan pakar itu akan digunakan untuk mengkaji, menggubal strategi dan menyediakan kursus-kursus berkaitan yang boleh meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kerenah birokrasi dalam agensi-agensi awam.

``Tindakan yang kita lakukan ini untuk memperkukuh dan meningkatkan keupayaan para pegawai dalam perkhidmatan awam,'' kata beliau ketika menjawab soalan tambahan Hashim Jahaya (BN-Kuala Kedah) pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Perdana Menteri juga berkata, selain pakar itu, kerajaan turut menubuhkan flying squad untuk memeriksa agensi-agensi kerajaan supaya meningkatkan keberkesanan apabila berurusan dengan orang ramai.

``Ini juga akan dapat mengurangkan kerja tertunggak yang selama ini berlaku terutamanya dalam beberapa agensi seperti pejabat tanah daerah,'' kata beliau.

Sehubungan itu, beliau berharap flying squad dapat diperluaskan lagi sehingga ke peringkat akar umbi supaya rakyat memandang positif pada kakitangan awam.

Abdullah berkata, dalam meningkatkan kecekapan pegawai kerajaan dan usaha mengurangkan kerenah birokrasi, segala usaha yang dilakukan tidak akan dilengah-lengahkan.

``Dengan masalah yang dilihat pada hari ini, misalnya hal berkaitan birokrasi yang mengambil masa untuk diperbaiki.

``Tetapi kerajaan akan terus membaiki masalah itu tanpa mengambil sikap berlengah-lengah atau menganggap perkara ini tidak penting,'' katanya.

Kerajaan, katanya, mahukan pegawainya menjadi seperti fasilitator daripada regulator terhadap pembangunan negara.

Pada soalan tambahan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Pas-Pengkalan Chepa), Abdullah berkata, apa yang kerajaan lakukan kini adalah untuk memberi khidmat kepada rakyat.

``Kita juga mahu memastikan pihak yang terlibat dalam usaha memberi perkhidmatan itu perlu dibaiki, perlu ditingkatkan kemampuan dan kebolehan dari segi ilmu pengetahuan,'' katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan bukan sahaja mahukan pegawainya yang pandai dan mahir, tetapi mesti berbudi bahasa dan berwibawa yang tidak mudah terdorong menerima rasuah atau menyalahgunakan kuasa.

Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm

No comments: