Wednesday, December 20, 2006

Peguam Syarie Menulis: Cara baik selesai status agama

Melalui artikel ini saya dapat memahami dengan lebih baik persoalan yang berlaku, tetapi saya amat kesal dengan sikpa kerajaan yang seolah-olah sambil lewa sahaja dalam menangani hal-hal seperti ini dan dalam kes Rayappan seolah-olah ada tekanan politik sehingga keadaan menjadi serabut. PM sendiri seolah-olah tidak faham undang2 dengan meminta peguam negara campur tangan dalam urusan menentukan status Islam atau tidak seseorang sedangkan ia adalah bidang kuasa mahkamag syariah. Malang sungguh M'sia mempunyai pemimpin seperti ini. Cakap berbelit-belit dan berbunga0bunga tapi isi tarak.


Kes Nyonya Tahir contoh penentuan dilaksana tanpa ketegangan

ANTARA kes M Moorthy, Nyonya Tahir dan A Rayappan, ada persamaan dan perbezaannya. Persamaannya ialah dalam ketiga-tiga kes di atas keluarga si mati menuntut mayat si mati untuk dikebumikan mengikut upacara agama selain Islam. Namun ada banyak perbezaan antara ketiga-tiga kes di atas

Dalam kes M Moorthy, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mendapat perintah di mahkamah syariah yang memutuskan Moorthy Islam pada saat kematiannya. Malangnya ketika mahkamah syariah memutuskan penghakiman itu, keluarga si mati yang bukan Islam tidak dipanggil memberi keterangan.

Mahkamah sivil pula menolak permohonan keluarga si mati kerana tidak mempunyai bidang kuasa mencampuri urusan mahkamah syariah. Akibat keputusan ini, keluarga si mati mengatakan keadilan dinafikan kepada mereka kerana mereka tidak boleh pergi ke mahkamah syariah dan juga ke mahkamah sivil.

Alhamdulillah Moorthy atau nama Islamnya Muhammad Abdullah selamat dikebumikan mengikut cara Islam kerana mahkamah sivil tidak boleh campur tangan ataupun tidak menghiraukan perintah mahkamah syariah. Namun kes ini masih lagi dirayu di Mahkamah Rayuan Sivil.

Bagi kes Nyonya pula, perjalanan kes ini agak teratur dan tidaklah menimbulkan sebarang ketegangan. Ini adalah kerana keluarga Nyonya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mahkamah syariah dalam mencari keadilan. Keluarga si mati hadir ke mahkamah memberi keterangan dan bukti yang menunjukkan Nyonya tidak mengamalkan Islam.

Walaupun seorang perempuan yang dilahirkan dalam keturunan Melayu, Nyonya diisytiharkan bukan Islam pada saat kematiannya oleh Mahkamah Syariah Negeri Sembilan. Keluarga Nyonya tidak memfailkan sebarang tuntutan di mahkamah sivil. Kes ini menunjukkan keadilan mahkamah syariah dan mahkamah syariah bukan hanya membuat keputusan berpihak kepada orang Islam saja.

Apa yang penting di mahkamah syariah ialah bukti yang dibawa di hadapannya. Penyelesaian kes Nyonya adalah contoh bagaimana sesuatu pertikaian itu dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Nyonya disemadikan mengikut agama Buddha.

Amat berbeza pula apa yang berlaku di Selangor dalam kes Rayappan. Dalam kes ini Majlis Agama Islam Selangor memfailkan permohonan yang antara lain memohon pengisytiharan Rayappan adalah seorang Islam pada saat kematiannya.

Pada 1 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memutuskan antara lain bahawa Allahyarham Rayappan Islam pada masa kematiannya. Namun ketika keputusan itu dibuat keluarga si mati yang bukan Islam juga tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

Semakan dibuat oleh Mahkamah Rayuan Syariah Selangor dan memutuskan waris si mati perlu dipanggil untuk memberi keterangan di samping mengekalkan perintah bahawa si mati Islam pada waktu kematiannya. Waris si mati yang bukan Islam telah dijemput hadir ke mahkamah tinggi syariah untuk membantu mahkamah membuat keputusan melalui sapina, tetapi mereka enggan hadir atau memberi kerjasama kerana berpandangan mereka tidak terikat dengan mahkamah syariah disebabkan mereka bukan Islam. Sikap tidak menghormati mahkamah syariah ini sebenarnya tidak dapat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi dengan cara baik.

Namun tidak sampai beberapa jam selepas itu Mais membuat pengumuman bahawa mereka menarik balik permohonan di mahkamah syariah kerana kekurangan bukti. Apa yang menariknya ialah pada pagi 8 Disember mahkamah menolak notis penarikan balik Mais.

Pada ketika ini lebih dari 11 orang peguam syarie yang bertindak sebagai peguam pemerhati yang membantah penarikan balik itu. Peguam berkenaan mewakili badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Peguam Pembela Islam (PPI), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan peguam Muslim Malaysia (PPMM). Yang Arif Hakim Abu Zaky Muhammad memutuskan menolak notis penarikan balik itu dengan alasan bahawa suatu penghakiman sudah diberikan oleh mahkamah dan Mahkamah Rayuan Syariah sewaktu semakan mengarahkannya menjalankan perbicaraan. Alasan ini amat mudah difahami berdasarkan seksyen 95(1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang berbunyi:

”Plaintif boleh, dengan kebenaran Mahkamah, pada bila-bila masa sebelum penghakiman, menarik balik mana-mana prosiding keseluruhannya atau sebahagiannya dengan memberi notis dalam Borang MS 19 kepada mahkamah dan menyampaikan satu salinan notis itu kepada defendan.”

Oleh itu, notis penarikan balik yang difailkan oleh Mais ditolak oleh mahkamah pada sebelah pagi. Apa yang sangat mengejutkan ialah apabila disiarkan melalui akhbar dan televisyen, Mais mengumumkan mereka mendapat kebenaran menarik balik itu pada jam 3 petang sedangkan di sebelah paginya mereka gagal berbuat demikian.

Yang lebih mengejutkan kebenaran itu diberikan oleh hakim sama yang menolak permohonan pada sebelah pagi. Mahkamah syariah mempunyai kaedah dan tatacaranya sendiri yang diikuti secara jelas. Kaedah dan tatacara ini pula digarap oleh pakar perundangan syariah berdasarkan hukum syarak dan pandangan para alim ulama' termasuklah seksyen 95 yang dinyatakan di atas.

Maka timbullah pelbagai persoalan di sini adakah perubahan keputusan secara mendadak ini akibat faktor luaran, tekanan ataupun bagaimana? Kenapa pula mahkamah syariah yang sama boleh menukar penghakiman dalam tempoh beberapa jam saja sedangkan ada Arahan Amalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakim Syariah Malaysia yang menegah seorang hakim mengubah perintahnya sendiri? Tidakkah mahkamah syariah bebas dari campur tangan orang luar?

Persoalan ini timbul kerana mahkamah syariah memilih untuk tidak mengikuti tatacara yang diterima pakai. Amatlah malang bagi sebuah mahkamah yang berlandaskan agama ini terpaksa tunduk kepada tekanan.

Dalam kekecohan di mahkamah syariah ini pula, keluarga si mati berjaya membawa mayat Rayappan dan dibakar pada 8 Disember. Saman Pemula yang difailkan di mahkamah sivil oleh keluarga bukan Islam si mati pula tidak menamakan Mais sebagai salah satu pihak. Motif ini perlu dipersoalkan. Mungkinkah ada agenda tertentu yang hendak dilakukan?

Mais seharusnya bersikap lebih proaktif dan profesional berlandaskan undang-undang dan hukum syarak. Bukanlah tugas Mais menentukan seorang itu Islam ataupun sebaliknya. Adalah jelas ia di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Apa yang patut dilakukan oleh MAIS ialah mendedahkan kehidupan Islam Rayappan ketika hayatnya. Dikatakan ada saksi yang boleh memberi keterangan itu tetapi takut untuk menonjolkan diri. Mais perlu memujuk mereka untuk tampil menegakkan keadilan. Begitu juga 'deed poll' yang dikatakan ditandatangani oleh Rayappan itu perlu disahkan kebenarannya dengan memanggil saksi atau dilakukan ujian mengenai kesahan tanda tangan di dalam ‘deed poll’ itu bagi memastikan ia benar-benar tandatangan Rayappan. Selepas perkara ini dikemukakan maka terpulanglah kepada mahkamah bagi menentukan status Islam Rayappan.

INTI PATI
Kes tuntutan mayat


  • Kes M Moorthy, Nyonya Tahir dan A Rayappan, ada persamaan dan perbezaannya. Persamaannya ialah dalam ketiga-tiga kes keluarga si mati menuntut mayat si mati untuk dikebumikan mengikut upacara agama selain Islam.

  • Keluarga Nyonya Tahir hadir ke mahkamah memberi keterangan dan bukti yang menunjukkan Nyonya tidak mengamalkan Islam.

  • Pada 1 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam memutuskan antara lain bahawa Allahyarham Rayappan Islam pada masa kematiannya. Namun ketika keputusan itu dibuat keluarga si mati yang bukan Islam juga tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

    Penulis Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia
  • No comments: