Tuesday, May 02, 2006

Minda kelas pertama -- Saranan PM

Membaca berita ini saya terus terpanggil untuk memberikan respons, "Minda Kelas Pertama" besarerti perkataan ini. Senang disebut tapi merealisasikannya blm tentu senang tambahan lagi kalau pekerja/rakyat sahaja disaran supaya berminda kelas pertama. Bagaimana dengan pemimpin, menteri2 kabinet, nampaknya seluruh anggota kabinet M'sia yg ada sekarang tak nampak yang mereka ini berminda kelas pertama, minda tak berkelas mungkin. Saya saran kepada PM betulkan dulu pemikiran diri sendiri dan barisan kabinet beliau sebelum nak menyaran pekerja supaya berminda kelas pertama. Kalau rakyat nak bertemu pun susah, pandangan rakyat tidak dihiraukan, menteri bersikap sambil lewa dalam menjalankan tanggungjwp mereka, menjawap soalan di Parlimen sekadar melepas batuk ditangga, usah bermimpi nak lahirkan rakyat berminda kelas pertama. Sistem Pnedidikan merupakan teras kearah melahirkan rakyat yg bertaraf minda kelas pertama, kalau sistem pendidikan pun haru biru akibat sikap bodoh sombong menteri yang kononnya mereka tahu semua. Hak-hak rakyat dinafikan , sampai nak berhimpun menyatakan pendapat pun disimbah air, kadang2 nasib tak baik dapat air kimia lagi, belantan pun silap2 dapat juga. Budak belasan tahun pun ditahan. Kerajaan begini nak lahirkan rakyat berminda kleas pertama? pigi raah. Banyak lagi kalau nak tulis tentang sikap kerajaan M'sia yg berada bwh Mahathir ataupun Pak Lah, tak ada beza. Mereka telah menyekat segalanya supaya rakyat hanya mendapat maklumat drpd sebelah pihak sahaja, jadi senanglah mereka mencucuk hidung rakyat, kalau nak rakyat berminda kelas pertama, bukalah demokrasi sepenuhnya, jangan ganggu media massa dan elektronik supaya merek adapat bagi liputan sama rata anta kerajaan pembangkang, ini sampai MB kerajaan yg dipilih rakyat pun tak blh nak guna RTM utk ucapkan selamat Hari raya, susahlah pemimpin berfikiran sempit mcm ni. Nak siarkan Sidang Parlimen secara langsung pun tak mahu, mcm mana rakyat nak mendapat maklumat seimbang dan membuat pertimbangan wajar tentang prestasi MP mereka dan kerajaan yg memerintah. Beri rakyat maklumat dan biarkan mereka buat penilaian, baru rakyat berminda kelas pertama, kalau tidak rakyat jadi rakyat tak berfikiran, hidup tanpa soal. Daripada tindakan kerajaan M'sia yg dipimin oleh UMNO dan kuncu-kuncunya, agaknya itulah yg mereka mahu. Sekian dahulu, Geram betul dengan sikap pemimpin Melayu UMNO ni. Cerdik tak tumpang, bodoh tak blh diajar.


Minda kelas pertama -- Saranan PM dalam bangunkan modal insan sempena Hari Pekerja


Sebahagian daripada ribuan anggota gabungan MTUC yang berhimpun menyambut Hari Pekerja 2006 di Dataran Merdeka, malam tadi.

KUALA LUMPUR 30 April - Pembangunan modal insan bermindakan kelas pertama perlu diberi keutamaan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju beridentiti sendiri, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam perutusannya sempena Hari Pekerja 2006 yang disambut esok, Perdana Menteri berkata, dalam konteks dunia global hari ini, modal insan yang benar-benar berkualiti adalah satu kemestian, bukan lagi satu kemewahan.

``Sekiranya kita ingin melangkah ke era ekonomi berpaksikan pengetahuan serta ingin menjadi bukan sahaja sekadar mana-mana negara maju tetapi negara maju yang mempunyai identitinya sendiri serta mampu terus kekal pada tahap itu, pembangunan modal insan berminda kelas pertama harus diutamakan,'' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Berikutan itu, beliau berkata, tema Hari Pekerja `Pekerja Cemerlang Negara Terbilang' sekali lagi dipilih tahun ini bagi menggambarkan hasrat kerajaan itu.

``Bertepatan dengan tema ini, sememangnya modal insan negara perlu terus digilap kerana ia merupakan elemen terpenting dalam memastikan negara terus berdaya saing dan berdaya tahan, lebih-lebih lagi dalam zaman ekonomi sejagat yang amat mencabar; ekonomi yang berlandaskan pengetahuan serta bertunjangkan sains dan teknologi,'' kata Perdana Menteri.

Abdullah juga berkata, kerajaan menyedari `golongan pekerja adalah aset terpenting sesebuah negara hingga mampu menentukan turun naik dan jatuh bangunnya sesebuah negara'.

``Atas hakikat itulah, dalam kita mengejar pembangunan dan kemajuan demi mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, kerajaan memberikan penekanan yang amat besar kepada usaha membina serta memanfaatkan sepenuhnya potensi modal insan negara,'' katanya.

Beliau berkata, sebagai modal insan negara hari ini, kerajaan dan rakyat sama-sama mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sepenuh komitmen.

Kerajaan memerlukan sokongan dan kerjasama daripada rakyat untuk merebut peluang dan memainkan peranan dalam menjayakan pelbagai strategi dan perancangan yang dilakukan untuk membangunkan modal insan negara, katanya.

Abdullah juga berkata, rakyat sebagai modal insan pula perlu terus memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membudayakan semangat pendidikan sepanjang hayat.

``Ini penting agar modal insan negara sentiasa menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran terkini dan ditunjang pula dengan nilai-nilai murni agar menjadi tenaga kerja yang dinamik dan menghayati budaya kerja berprestasi tinggi.

``Pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti yang berterusan juga akan memastikan modal insan negara kekal relevan dengan kehendak industri dan pasaran semasa serta mampu berdepan dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang kian meningkat,'' kata Perdana Menteri.

Abdullah juga berkata, kerajaan menyanjung tinggi hasil sokongan dan kerjasama padu yang diberikan oleh majikan dan pekerja sambil berharap ia terus terjalin bagi mengekalkan perhubungan yang harmoni itu.

``Perkara yang paling penting dalam menentukan kejayaan dalam mencapai apa yang kita hasratkan adalah persefahaman yang diterjemahkan kepada kerjasama dan usaha gigih antara kita bersama.

``Marilah kita bersama-sama melakukannya demi kecintaan kita kepada negara,'' kata Perdana Menteri sambil mengakhiri perutusan itu dengan ucapan `Selamat Menyambut Hari Pekerja'.

- Bernama



Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0501&pub=utusan_malaysia&sec=muka%5Fhadapan&pg=mh_01.htm&arc=hive

No comments: