Monday, July 04, 2005

Minda Tuan Guru MB Kelate

Komen bersahaja Tuan Guru sungguh tajam, harap2 pemimpin UMNO berfikir dgn sikap terbuka sesuai dgn zaman langit terbuka.


Sempitnya pemikiran pemimpin Umno
Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat

Monday, July 04 @ 16:39:57 MYT
Smber: http://www.harakahdaily.net/article.php?sid=14495


ANTARA beberapa banyak episod perbahasan yang berjalan sepanjang dua hari persidangan DUN Kelantan pada 27 dan 28 Jun 2005 lalu, paling tidak dapat saya lupakan ialah sikap wakil-wakil pembangkang yang marah sangat apabila kerajaan membandingkan kelemahan dengan negeri-negeri yang diperintah mereka.

Misalnya, apabila terlalu berlebihan mereka menyalahkan kerajaan negeri kerana kononnya tidak merancang dengan baik untuk mengelak kedatangan banjir yang besar pada tahun 2004, mereka sangat melenting apabila Adun PAS membandingkan fenomena banjir kilat di serata bandar raya besar atau lain-lain banjir besar yang melanda Kedah, Johor dan Pahang.

Mereka selalu meminta semua orang jangan keluar dari sempadan negeri Kelantan Darulnaim. Demikianlah sempitnya ruang lingkup minda pemimpin Umno. Lingkaran minda mereka seluas tempurung yang terlingkup.

PAS mengambil sikap membanding kerana adat berbahas di mana-mana pun amat melibatkan proses tersebut. Ini perkara lazim. Ia amalan universal.

Jika diambil kisah-kisah di dalam Al-Quran sebagai panduan, kitab suci yang diwahyukan kepada Junjungan kita Muhammad S.A.W. sekali pun turut menjadikan kisah-kisah kaum Aad dan kaum Thamud, Firaun dan Namrud. Jika diikutkan logik Umno, maka apa perlunya Al-Quran membuat perbandingan-perbandingan tersebut?

Demikian juga dengan wabak selesema burung misalnya. Apa perlunya dunia heboh dengan fenomena yang melanda Hong Kong, Thailand dan Jepun? Kenapa Kementerian Kesihatan kita perlu gawat apabila ayam dari sempadan mulai diserang virus avian.

Sepatutnya, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan kini menjadi Naib Presiden Umno yang digantung enam tahun kerana kesalahan rasuah pada waktu cemas menangani isu JE yang melanda ternakan babi di Bukit Pelanduk satu ketika dahulu, tidak payahlah buat-buat sibuk dengan virus tersebut yang dihubungkan dengan Hong Kong atau Taiwan.

Cukuplah dengan menyelidik dan membelek kutu-kutu khinzir di celah-celah daun nipah. Kenapa pula tidak demikian.

Saya tidak sangka yang pemimpin-pemimpin Umno di Kelantan boleh menjadi secetek itu. Kelantan ini berada di dalam peta Semenanjung dan ia adalah sebahagian dari Malaysia. Dari segi geografi pula, Malaysia bersambung dengan negara-negara Thailand dan Kampuchea, Brunei, Indonesia dan Singapura dalam satu kejiranan yang disebut Asia Tenggara.

Ia diikat pula dengan kerangka kerjasama sosio-ekonomi berasaskan kepentingan bersama bernama ASEAN dalam rangka keselamatan serantau yang strategik. Inilah yang disebut ilmu geografi.

Kenapa pula semua rangkaian televisyen sedunia membandingkan keadaan cuaca di antara negeri-negeri dalam negara atau antara negara-negara jika tidak untuk tujuan perbandingan?

Saya sungguh tidak faham bagaimana sempitnya Umno apabila menyarankan perbahasan persidangan Dewan hanya tertumpu dalam 10 jajahan di Kelantan semata-mata. Globallah sikit.

Tak malukah dengan slogan Perdana Menteri yang sangat suka bercakap soal “world class.” Lagi pun mengikut setengah riwayat, Islam Hadhari Malaysia ini sudah mahu dijadikan model oleh beberapa negara OIC. Ini, sampai nak langkah parit Bukit Yong untuk menjengok apa yang ada di Besut atau Sungai Lembing pun sudah dikira bersalah.

Inilah bahaya sempitnya kerangka fikiran apabila terlalu berfahaman kebangsaan. Cuba-cubalah berfikir secara internasional. Islam ini agama antarabangsa. Ia diturunkan untuk merahmati seluruh makhluk dan penduduk alam. Islam ini satu dan membawa satu sahaja kebahagiaan bagi seluruh umat dan makhluk.

Ia daripada Allah yang Maha Esa dan diturunkan dalam bentuk satu untuk membahagiakan seluruh umat. Seluruh umat itu pun dilihat dalam bentuk “singular.” Walaupun bangsa manusia diciptakan majmuk tetapi sifat pluralnya tidak pernah halal untuk dipecah-pecah oleh sesiapa dalam rangka semangat bangsa.

Semua ini dilahirkan oleh penjajah melalui amalan “divide and rule.” Penjajah, baik Inggeris, Peranchis, Jerman, Jepun dan Amerika memang berniat serong dari awal menakluk anak jajahan.

Kalaupun kemerdekaan diberi di hujung proses pemerasan melalui penjajahan, ia diisytihar dalam bentuk entiti negara yang didasarkan kepada bangsa dan negara bangsa. Umno mengambil alih pemerintahan dari tangan Inggeris pada 31 Ogos 1957 adalah parti kebangsaan yang menghirup racun sekular bercorak nasionalis.

Telah bergenerasi, Umno melahirkan klon kepimpinan yang membawa pemikiran jumud. Sebahagian daripada mereka inilah yang sedang membuat bising dalam Sidang DUN Kelantan pada 27 dan 28 Jun yang lalu.

Minda mereka sebenarnya telah terperangkap dalam pemikiran sekular yang berpetak-petak. Mereka lalu dikelirukan dengan definisi agama seperti yang disogok oleh bekas-bekas tuan mereka melalui Perlembagaan Negara dan acuan pendidikan keduniaan yang serba materialistik.

Mereka menggubal dasar yang keliru. Lahirlah faham-faham yang keliru yang kemudian mengelirukan mereka dan mengelirukan orang lain. Dilahir dan dibesarkan dalam kerangka itulah, pemimpin Umno yang ‘totok’ dan enggan membuat perbandingan amat dilihat terlalu jumud.

Sudahlah mereka jumud, mereka marah-marah pula kepada Adun PAS yang gemar membuat perbandingan. Mereka mahu kita ikut jumud seperti mereka.

Pendek kata, mudahnya, jika tidaklah kerana rahmat amalan membandingkan kerja lima hari seminggu yang telah dipelopori oleh Kerajaan PAS di Kelantan 10 tahun yang lalu, mungkin kerajaan-kerajaan Umno di negeri-negeri lain masih terus selesa ‘mendera’ puluhan ribuan penjawat awam dalam satu amalan yang masih berselut.

Mujur ada PAS di Kelantan, dan mujurlah Umno melakukan perbandingan. Pemimpin Umno Kelantan perlu waras. Bersifat terbukalah sedikit.

Walaupun tidak salah mengkaji fenomena banjir di Kelantan tetapi jengok-jengoklah banjir kilat di Kuala Lumpur dan gegaran tsunami di Kedah, Perak, Perlis atau Acheh. Kita bukan lagi hidup dalam sempit terang pelita dan kecil api mancis!
- /mj

No comments: