Thursday, March 02, 2006

Sedapnya Bapa Menteri Cakap

Bila minyak naik, Bapak TPM kata rakyat, kena ubah gaya hidup, sebenar Rakyat kena bagi tau kepada TPM, kami nak tukar kerajaan kerana 50 thn memerintah nampak kerajaan ini boros, keuntungan Petronas dibolot utk kepentingan menteri sahaja.

Ubah gaya hidup -- TPM saran rakyat belanja berhemah, tidak membazir

KUALA LUMPUR 1 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, rakyat perlu membuat perubahan kepada gaya hidup berikutan kenaikan harga runcit minyak sebanyak 30 sen seliter bermula semalam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat perlu berbelanja secara berhemah, berjimat cermat, tidak membazir serta mengutamakan perbelanjaan penting.

``Mengurangkan pembaziran juga selaras dengan tuntutan Islam dan rakyat juga perlu memikirkan alternatif seperti menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara Isu Semasa Khas Bersama YAB di Angkasapuri, di sini malam ini.

Program terbitan RTM itu turut disiarkan secara langsung oleh semua stesen televisyen tempatan dan rangkaian radio termasuk stesen berbayar Astro.

Dalam program selama 40 minit itu, Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Isu Harga dan Bekalan Diesel, ditemu bual oleh Ketua Pengarang Bernama, Datuk Azman Ujang dan pengantara, Imran Imtiaz Yaacob.

Harga runcit baru petrol premium RON97 di Semenanjung Malaysia naik kepada RM1.92 seliter, petrol RON92 RM1.88 seliter, diesel RM1.581 seliter dan LPG RM1.75 sekilogram.

Kenaikan itu bagi menangani kesan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia selain membendung peningkatan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan.

Najib memberitahu, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga minyak kerana harga minyak mentah di pasaran dunia melambung tinggi sejak tahun lepas dan sekarang berada pada paras AS$61 hingga AS$62 setong.

Katanya, langkah menaikkan harga minyak, walaupun tidak disenangi rakyat, adaah keputusan yang perlu dibuat untuk menstabilkan sistem pengurusan kewangan negara.

Tambah beliau, kerajaan sedar langkah itu menjadikannya tidak popular tetapi ia memilih untuk menjadi kerajaan yang bertanggungjawab.

``Walaupun kita perlu dipilih oleh rakyat, tetapi kita perlu menjadi kerajaan yang bertanggungjawab, yang membuat keputusan untuk rakyat dan negara dan generasi akan datang. Bukan berdasarkan kepentingan politik sahaja,'' katanya.

Beliau menegaskan, kenaikan harga minyak ini bagi memastikan kerajaan tidak dituduh melaksanakan dasar makro kewangan yang tidak berhemah dan tidak berjimat cermat.

Jelasnya, ini tidak sesuai dengan prinsip kerajaan yang menjalankan pentadbiran yang baik, berhemah, berpandangan jauh serta menjurus kepada sistem kewangan yang stabil.

``Pada 31 Mac ini Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan apabila para penganalisis melihat angka-angka dan butiran-butiran, mereka dapati butiran terbesar dalam belanjawan negara ialah untuk subsidi minyak.

``Ini tidak memberi gambaran yang baik kepada kecekapan kerajaan,'' katanya.

Menurutnya, mengikut pentadbiran kewangan yang baik, kerajaan wajar menamatkan subsidi.

Najib berkata, negara-negara lain telah menamatkan subsidi minyak seperti Indonesia, Thailand dan negara-negara maju lain di mana harga di pam mengikut harga pasaran.

``Bagaimanapun kerajaan tidak akan melaksanakan perkara itu secara mendadak sebaliknya secara berperingkat dan selepas kajian mendalam dijalankan,'' katanya.

Ditanya kemungkinan dengan kenaikan harga minyak ini rakyat akan meminta kenaikan gaji, Najib memberitahu, kemampuan untuk menaikan gaji adalah terhad dan bergantung kepada kemampuan kerajaan.

``Kerajaan memberi Elaun Sara Hidup (Cola) pada awal tahun ini, jadi sedikit sebanyak kakitangan kerajaan telah dapat bantuan kewangan,'' katanya.

Mengenai kuasa pengguna, Najib memberitahu, rakyat perlu melihat kaedah menggunakan kuasa tersebut dan salah satu daripada langkah yang ditekankan oleh Perdana Menteri ialah mewujudkan kedai harga patut.

Katanya, sebagai pengguna, orang ramai boleh membeli di kedai-kedai tersebut.

Najib juga menyarankan kepada orang ramai mempersoalkan kewajaran harga barang dinaikkan sedangkan kerajaan memberi subsidi minyak melalui Fleet- card kepada 80 peratus pengangkutan awam, lori, bas dan syarikat-syarikat pengangkutan sebanyak RM0.15.

``Jadi kos kenaikan hanya 15 sen, bagaimana mereka boleh naikkan harga barang sedangkan telah mendapat subsidi daripada kerajaan.

``Tolong persoalkan sama ada mereka (pekedai) mempunyai asas yang kukuh, tunjukkan kos mereka sebenarnya walhal barangan yang sampai ke kilang dari pengangkutan yang telah diberi subsidi,'' katanya.

Source:http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm


No comments: