Tuesday, January 03, 2006

Semoga kerajaan benar-benar berusaha untuk memberi kemudahan kpd rakyat dngan harga yang berpatutan dan jangan terlalu mementingan keuntungan sykt semata-mata.


Sasaran kelajuan 10MB jalur lebar setiap rumah


Sambungan akhir antara penghalang peningkatan kadar penembusan perkhidmatan jalur lebar, telekomunikasi

KERAJAAN menetapkan matlamat untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan 10MB untuk setiap rumah di negara ini pada 2007 setanding dengan negara maju lain yang menawarkan perkhidmatan yang sama, serta membolehkan lebih banyak kandungan memanfaatkan perkhidmatan terbabit.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, berkata kelajuan 10MB adalah sasaran kerajaan dan pada masa yang sama mana-mana syarikat pengeluar peralatan telekomunikasi dipelawa bersama berganding bahu untuk merealisasikan matlamat berkenaan.

“Ini selaras dengan rangka kerja strategi rangsangan untuk industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dilancarkan baru-baru ini iaitu MyICMS 886 yang menjadi asas kepada pertumbuhan industri berkenaan bermula 2006 hingga 2010,” katanya selepas merasmikan seminar 3G anjuran syarikat telekomunikasi China, Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Huawei, syarikat telekomunikasi gergasi dari China, adalah satu daripada segelintir pengeluar baru di dunia mengadakan sistem komersil 3G hujung ke hujung dan memperoleh 11 kontrak komersil UMTS (sistem telekomunikasi selular universal) di dunia.

Sungguhpun Huawei memasuki pasaran Malaysia pada 2001, ia kini satu daripada vendor kelengkapan komunikasi terkenal di Malaysia, khususnya dalam pasaran telekomunikasi baru seperti 3G dan NGN (rangkaian generasi baru) akan datang.

Lim berkata, cabaran itu dilontarkan kerana perkhidmatan jalur lebar di negara ini dengan kadar penembusan masih rendah manakala kelajuan penghantaran data masih perlahan berbanding negara maju seperti Korea atau Jepun.

Sambil mengakui kadar penembusan perkhidmatan jalur lebar di negara ini masih rendah berbanding Korea atau Jepun, beliau berkata, masalah utama ialah sambungan akhir yang selama ini menjadi antara penghalang kepada peningkatan kadar penembusan perkhidmatan jalur lebar dan telekomunikasi di negara ini.

“Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan ‘unbundling the loop’ bagi sambungan akhir dengan memberi tumpuan kepada teknologi capaian tanpa wayar seperti WiMax. Kerajaan sedang menyediakan spektrum untuk teknologi tanpa wayar itu bagi membolehkan pelaksanaan sambungan akhir,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perkembangan permohonan lesen 3G, Lim menjelaskan, pemohon lesen berkenaan perlu mematuhi kriteria penting yang ditetapkan iaitu perlu memiliki ‘Mobile Virtual Network Operator’ (MVNO), pemegang lesen 3G akan perlu membenarkan pihak lain memanfaatkan perkhidmatan 3G, misalnya, syarikat pembangunan kandungan menggunakan rangkaian itu.

“Perkhidmatan 3G tidak boleh berkembang jika pemegang lesen memegang monopoli. Kita melampirkan syarat ini supaya kita boleh melahirkan atau meluaskan perkhidmatan itu. Kita mahu lebih banyak syarikat terbabit dalam segmen itu,” katanya.

Lim berkata, pemilihan syarikat untuk melaksanakan perkhidmatan 3G akan dilakukan menerusi proses “pertandingan ratu cantik”, iaitu dengan mengkaji cadangan mereka, rancangan perniagaan dana keupayaan kewangan mereka, tetapi mereka juga akan dinilai berasaskan MVNO.

Tiga syarikat sudah mengemukakan bidaan mereka untuk mendapatkan dua lesen 3G, iaitu DiGi, MiTV dan Time DotCom. Sementara itu, pemegang lesen 3G sedia adalah TM Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya Celcom (Malaysia) Bhd, dan Maxis Communications Bhd.


Source:http://www.emedia.com.my/m/BHarian/Monday/Komputer/20060102111336/Article/

FAKTA NOMBOR
Kadar penembusan perkhidmatan jalur lebar


600,000
2005

2.8 juta
2008

No comments: