Thursday, January 19, 2006

Perlunya perjuang Islam terlibat dgn NGOs

Melihat berita dibawah teringat aku kepada kata-kata bapa mertuaku bahawa dia menulis kertas kerja mengenai perlunya didalam Pas diwujudkan satu pergerakan sebagaimana Pengakap tetapi bercirikan Islam. Setelah sekian lama kertas tersebut dibekukan akhirnya tertubhlah Unit Amal. Alhamdulillah aku juga sempat mengikuti satu Jambori Amal Kebangsaan Di Negeri Kedah. Aku punmemang suka aktiviti lasak, yang bagusnya soal KeIslaman dititikberatkan seperti solat dan pengisian rohani. Semoga kenyataan Mursyidul Am akan membuka mata dan hati ahli-ahli Pas bahawa perlunya mereka terlibat dengan NGOs.

Kesilapan besar ahli PAS tidak terbabit dalam NGO - Mursyidul Am

Thursday, January 19 @ 16:01:23 MYT


Oleh WAJDI MAYUSOH
PENGKALAN CHEPA, 19 Jan (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu Unit Amal Malaysia sentiasa mempelopori dan peka terhadap kerja-kerja kebajikan dalam masyarakat.

“Ini kerana satu kesilapan besar yang dilakukan ahli dan pendokong PAS sebelum ini iaitu tidak suka menyertai badan-badan bukan kerajaan. Sedangkan pertubuhan seperti ini amat perlu bagi memudahkan kita mendampingi masyarakat.

“Oleh itu kita berharap anggota Unit Amal membuat perubahan dalam soal ini. Malah, sepatutnya sebagai pendokong dan pejuang Islam kitalah mengetuai setiap NGO yang ada,” katanya merasmi penutup program ‘Brainstorming’ Unit Amal Malaysia di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, sekiranya perubahan itu dapat dilakukan minat orang ramai terhadap perjuangan Islam dan PAS dipercayai akan lebih meluas lagi.

Ia juga secara tidak langsung dapat menjayakan usaha memasyarakatkan PAS yang pernah dilakukan sebelum ini dan tidak menjadikan kegiatan PAS hanya tertumpu di masjid serta madrasah semata-mata.

“Unit Amal perlu melaksanakan kerja-kerja berbentuk kebajikan dan aktiviti kemasyarakatan bagi mencapai hasrat untuk memasyarakatkan PAS.

“Setiap anggota Unit Amal perlu mendampingi masyarakat dan berusaha menjelaskan kepada masyarakat banyak masalah yang berlaku sekarang kerana ada pihak yang menolak Islam sebagai dasar pemerintahan.

“Misalnya gejala murtad dan ‘black metal’ wujud kerana pemerintah membuang semangat takwa dalam diri setiap rakyat dan sebaliknya menanam dalam jiwa mereka hanya takut kepada penguasa semata-mata,” ujarnya.

Program ‘brainstorming’ Unit Amal itu diadakan selama dua hari melibatkan lebih 150 peserta dari seluruh negara. Ia diadakan bagi merangka satu hala tuju baru yang lebih efisyen dan sesuai dengan cabaran semasa.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, Unit Amal diwujudkan pada 19 Februari 1991 berperanan menangani hal-hal kebajikan golongan remaja berpandukan konsep memasyarakatkan PAS.

Menurutnya, setelah hampir 15 tahun diwujudkan, sekarang masa yang sesuai untuk membuat perubahan bagi menyesuaikan dengan perkembangan dan cabaran semasa.

Antara perubahan yang dilakukan menukar nama baru selain memperkenalkan uniform baru Unit Amal yang lebih menarik dan sesuai dengan golongan muda.

Ketua Pengarah Unit Amal, Jamsuru Marsum menjelaskan program yang diadakan itu bertujuan mengembalikan semula fungsi sebenar penubuhan pasukan berkenaan.

“Selain itu bagi membentuk satu gerak kerja yang sesuai bagi menangani isu dan suasana semasa terutamanya berkaitan isu remaja dan pemuda,” ujarnya.
- /mj

Sumber:http://www.harakahdaily.net/article.php?sid=17551

No comments: