Thursday, July 10, 2008

UMNO/ BN sudah tak relevan

Saya amat bersetuju dengan pandangan YAB Tuan Guru, UMNO jangan hanya hendak lari daripada mengakui apa yang berlaku kepada bangsa melayu dan negara serta Islam itu sendiri adalah akibar kerja tangan atau perbuatan mereka sendiri. Saya telah lama sedar perkara ini, berada dalam jemaah Islam dan mempelajari sedikir banyak politik Islam dan tanggungjawap kita sebagai umat Islam menyedarkan saya bahawa UMNO sudah lama tidak relavan kerana mereka tidak melaksanakan apa yang dituntut oleh Islam bagi mentadbir negara ini. Tulisan YAB sudah cukup bagi mereka yang mahu berfikir. Ahli UMNO perlu belajar mengerti quran bukan sekadar baca.

Pilih Pakatan Rakyat ganti kerajaan Umno/BN
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Thu | Jul 10, 08 | 4:35:35 pm MYT

Permintaan Umno supaya "Yang di-Pertuan Agong campurtangan bagi menangani penghakisan hak-hak keistimewaan bumiputera" (Utusan Malaysia, 8 Julai 2008) ibarat mengesahkan satu perkara sahaja iaitu Umno yang telah mengangkat kedua-dua belah tangan.

Dia sendiri telah secara muktamad mengesahkan kegagalan parti itu sebagai pembela orang Melayu. Sudah selama 50 tahun dia membela(?).

Nasib orang Melayu menjunam dalam hampir semua pentas; agama, bangsa, tanah dan air.

Bertolak dari kegagalan agama yang boleh disukat melalui pemisahan pemerintahan dengan Islam, menukar Islam sejati dengan Islam Hadhari, gejala ratusan ribu umat Islam yang murtad, sejuta penagih dadah, bangsa Melayu yang kekacauan identiti dan jati diri dari segi bahasa, adat, budaya dan budi; tanah rezab Melayu yang semakin susut serta terjual dan tergadainya tanah, air dan pasir dalam bentuk pukal akibat rundingan dan perjanjian yang tidak cermat dengan negara jiran.

Jika orang Umno asyik minta Yang Di-Pertuan Agong campur tangan untuk memperbetulkan setiap kali kesalahan yang dibuat mereka, sedarkah Umno bahawa Yang di-Pertuan Agong inipun adalah Raja bagi seluruh warganegara.

Apa kata jika mereka pun mengangkat memorandum balas membantah dasar-dasar diskriminasi Umno terhadap segala ketidakadilan Umno.

Ini semua bertolak dari perletakan paksi perjuangan yang salah. Jika Umno dari awal tidak meletakkan paksi bangsa dalam perjuangannya, bahkan meletakkan Islam sebagai asas, saya percaya keadaan tidak jadi setenat ini.

Apabila Umno membesar-besarkan bangsa, mengibar keris telanjang, mengacah dan mengucup keris berterusan, orang bukan Melayupun boleh gerun.

Apabila naluri manusia terasa terancam, mereka pada logiknya juga akan menggunakan sentimen bangsa sebagai perisai pertahanan yang sama. Mereka akan mengumpul dan menggunakan persamaan dan perkongsian sentimen sebagai benteng pertahanan.

Ini segala-galanya berpunca dari Umno. Sebab itu, polemik mengenai perpaduan nasional tidak pernah selesai.

Jika Islam yakin bahawa kaedah pengagungan bangsa adalah formula yang tepat, sudah lama Nabi SAW menggunakan keunggulan suku bangsa Quraisy sebagai tunjang perpaduan kaum. Semua orang diwajibkan menerima Quraisy segagai bangsa "superior".

Soalnya, kenapa Nabi Junjungan kita tidak memilih berbuat begitu?

Bahkan sebaliknya, Baginda menempelak asobiyah bangsa dengan sepotong sabda bermaksud, "tiada kelebihan bangsa Arab atas bangsa �Ajam kecuali dengan taqwa."

Kini sesudah 50 tahun, tanpa diatur dan ditunjuk-tunjuk oleh pemimpin Umno sekalipun, orang Melayu sudah lama tahu punca silapnya orang Melayu.

Mereka sangat tahu bahawa kegagalan ini disebabkan pengkhianatan pemimpin Umno dahulu dan sekarang yang tergamak memperkuda dan memperhambakan Melayu sesama Melayu.

Berselindung di sebalik istilah bumiputera, mereka (Umno) ratah daging dan darah sesama Melayu. Jika adapun usaha, mereka cuma berminat mengada-adakan projek yang boleh memperkayakan segelintir pemimpin Umno dan kroni.

Lihat sahaja isu di sekitar penjualan pasir satu waktu dulu, penguasaan saham di ECM Libra, Scomi, pembelian bas-bas RapidKL, isu kapal selam, siapa berada dibelakang Bernas dan terkini pula berbangkit soal tuduhan penglibatan pemimpin Umno dalam kontrak pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang atau disebut LCCT.

Saya cuma sedut beberapa contoh untuk sekadar menggambarkan perihal curiganya rakyat terhadap kerja Umno yang kononnya membela orang Melayu.

Bila terdesak rapat ke dinding, mulalah panggil Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Satu masa nanti, jangan terkejut jika Kebawah Duli Raja-Raja Melayu kitapun boleh tiba ke tahap meragui keupayaan Pemimpin Negara yang ada sekarang. Di peringkat itu, saya tidak tahulah apa yang akan terjadi.

Sekarang, benih yang salah, yang ditanam 50 tahun lalu sudah berbuah. Ia beracun dan cukup pahit bila dimakan.

Ia telah menimbulkan loya dan sedang menyebabkan muntah-muntah di kalangan Melayu dan bukan Melayu. Hakikat jatuhnya hampir separuh kerajaan-kerajaan negeri dari tangan Umno/BN dalam pilihan raya 8 Mac lalu adalah testimoni.

Ini berbeza dengan PAS. Kita tidak bermuka-muka. Kita mahukan Islam sejak dari tahun 1951 hingga kini dan Insya Allah, hingga sampai ke hari kiamat.

Jika Umno bermula dari Islam sejak awal penubuhannya, tentu keadaan tidak menjadi begini.

Dengan menolak Islam dan mengambil faham kebangsaan, Umno secara terbuka sanggup mendepani mana-mana gerakan siasah yang mahukan Islam.

Bermacam-macam tindakan zalim telah dibuat walaupun di luar lingkungan keizinan demokrasi.

Dalam banyak hal, dia (umno) memperalatkan kuasa majoriti yang diperuntukkan dalam amalan demokrasi untuk menyekat dan menyusahkan pergerakan dan kemajuan agamanya sendiri.

Saya masih ingat lagi bagaimana ramai ulama�, ustaz dan aktivis Islam ditangkap dan disiksa.

Ada Adun PAS yang mati dikapak di tengah-tengah pekan Kota Bharu pada tahun 1960an.

Ada Adun dari Pasir Mas yang disumbat ke dalam penjara hingga menjadi hilang ingatan.

Ada jambatan dibakar di Rantau Panjang untuk menyekat pengundi-pengundi PAS dari keluar mengundi.

Ada penjawat awam yang menyokong gerakan Islam yang ditukar, ditahan kenaikan gaji dan disekat kenaikan pangkat.

Ada yang dicerai dan hidup menjanda kerana rumahtangga mereka porak peranda akibat suami yang disumbat ke penjara melalui ISA. Semuanya ini terlalu banyak berlaku di Kelantan.

Di Kedah pula, 14 orang ustaz dan orang awam dikepung dan ditembak hidup-hidup pada tahun 1986. Memali tiba-tiba menjadi kolam darah yang mengambus jasad syuhada, pejuang dan para wali.

Tanpa segan silu, Umno jugalah yang menafikan banyak peruntukan pusat dari mengalir ke Kelantan dan Terengganu. Siapa berani mengatakan bahawa sekatan penerimaan royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu diantara tahun 1999 � 2004, misalnya, tidak berunsur politik?

Kini, Umno memutuskan Kerajaan Terengganu diberikan semula royalti kerana diperintah oleh Umno/BN.

Tidak zalimkah lagi? Lihatlah betapa siksanya pejuang-pejuang, penyokong-penyokong dan pencinta Islam untuk hidup di bawah dasar-dasar kemelayuan Umno yang melampau.

Pendek kata, terlalu panjang senarai kezaliman yang dilakukan oleh Umno kerana mengambil kebangsaan dan meninggalkan Islam.

Kini setelah 50 tahun, segala kudis, nanah, panau dan kurap penyakit asobiyah telah keluar ke permukaan.

Ada kes pembunuh Altantuya yang disebut-sebut melibatkan pemimpin tertinggi Umno. Setelah DSAI tidak terbukti melakukan liwat walaupun dituduh melakukan liwat 10 tahun yang lalu, kini dituduhnya beliau sekali lagi melakukan liwat. Lagi!

Belum reda dengan kemarahan rakyat mengenai kenaikan harga petrol, rakyat dihidangkan pula dengan berita terlepasnya Pulau Batu Putih daripada tangan Malaysia.

Entah. Saya tidak nampak cahaya lagi di hujung terowong masa depan untuk Malaysia baik dunia atau akhirat selagi berada di bawah Umno/BN. Majoriti rakyat pun saya kira sudah berkesimpulan begitu.

Ini boleh dikesan melalui pelbagai tulisan-tulisan kekecewaan baik di akhbar perdana, warta-warta mingguan, media-media nyamuk dan suara-suara berita dari akhbar-akhbar alternatif. Jika orang muda yang selalu buka laman web dan blog, fenomena ini semakin jelas.

Apa yang ada di hadapan rakyat sekarang cuma satu sahaja iaitu memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan alternatif.

TUAN GURU DATO' NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan

Friday, March 28, 2008

PRU-12 Satu ujian.

Keputusan PRU-12 mengejutkan semua pihak yang kalah pun terkejut beruk yang menang terkejut orang. Dua-dua terkejut sampai ada yang sampai membawa maut. Tsunami politik melanda negaar ini semoga yang menang akan mengotakan janji mereka bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira siapa mereka dan apa fahaman politik mereka. Saya amat tertarik dengan peringatan daripada Dr Harun Din dalam harakahdaily.

Bekerja keraslah untuk menjaga kemenangan - Dr Haron Din

Fri | Mar 28, 08 | 10:10:58 am MYT

SOALAN: PAS dan BA memperolehi kemenangan terbesar sepanjang sejarah perjuangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu. Apakah komen Dato' tentang kemenangan tersebut? Sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS, apakah nasihat kepada pemimpin dan ahli PAS di era kemenangan ini? - Mustafa Bakri, Pokok Sena

JAWAPAN: Komen saya mudah. Kemenangan ini adalah suatu anugerah Allah, seperti yang tersebut dalam al-Quran menerusi firman Allah (mafhumnya): "Dan Allah tidak menjadikan pemberian bantuan kemenangan tersebut melainkan sebagai khabar gembira bagi kemenanganmu, dan untuk ketenteraman hatimu. Kemenangan tersebut adalah pertolongan dari Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surah ali'Imran, ayat 126)

Kemenangan ini juga suatu nikmat dari Allah. Nikmat wajib ditangani dengan sebaik-baiknya. Allah memperingatkan kita dalam firman-Nya (mafhum): "Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan bahawa sesungguhnya jika kamu bersyukur di atas nikmat-Ku, pasti akan ditambahkan lagi nikmat itu. Dan jika kamu mengkufurinya, maka sesungguhnya azab aku tersangat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Kemenangan dalam pilihan raya menerusi sistem demokrasi di Malaysia, bukannya kemenangan mutlak. Iaa adalah relatif buat seketika untuk tempoh dalam lingkungan lima tahun.

Selepas itu apa pun boleh berlaku. Apa sahaja yang tidak disangka-sangka mungkin boleh berlaku lagi. Kemenangan tersebut bukanlah kekal selama-lamanya, bergantung kepada anugerah Allah. Sekiranya kita berpegang dengan petunjuk-Nya, kita akan memperolehi lebih banyak pertolongan daripada Allah SWT.

Kemenangan dalam bidang apa pun adalah suatu anugerah Allah yang wajib diterima dan disyukuri nikmat tersebut dengan sebaik-baiknya.

Mensyukuri nikmat tersebut bukan sekadar mengucapkan alhamdulillah atau menyembelih haiwan ternakan atau berkenduri besar atau berceramah sahaja.

Yang lebih penting, kita mesti bersyukur dengan meningkatkan nilai pengabdian kita ke hadrat Allah SWT, lebih komited dengan iman dan takwa. Kita mesti lebih bersungguh-sungguh hendak melaksanakan perintah Allah, lebih patuh kepada ajaran-Nya dengan mencuba sedaya upaya untuk melaksanakan apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang.

Di samping itu jangan lalai dan lupa dengan janji-janji kita dengan pengundi-pengundi yang senantiasa menunggu hak rakyat ditunaikan.

Sebagai umat Islam, jika tidak kita pejuang-pejuang PAS yang melaksana hukum-hukum Allah, maka siapakah lagi yang boleh diharapkan untuk memartabatkan agama Allah, kalau tidak kita.

Kerana itu Allah sudah memberi petunjuk dan panduan, yang memberi anugerah kuasa memerintah. Apa yang sepatutnya dilakukan, misalnya dalam firman Allah SWT (mafhumnya): "Golongan yang diberi kuasa untuk memerintah di muka bumi ini, hendaklah mereka (memperkukuhkan hubungan dengan Allah) mendirikan sembahyang dan (menjaga kepentingan golongan bawahan) menunaikan zakat, dan menegakkan yang makruf, membasmi yang mungkar dan berserahlah kepada Allah, yang kepada-Nya kembali segala urusan." (Surah al-Hajj, ayat 41)

Nabi Sulaiman a.s., ketika Allah mengurniakan kepadanya kekuasaan dan kelebihan yang nyata dengan pelbagai keajaiban, baginda menyebut seperti yang dalam al-Quran (mafhumnya): "...Ini adalah suatu kurnia dari Tuhanku, untuk menguji daku, apakah aku bersyukur atau aku kufur kepada-Nya. Dan barangsiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk kebaikan dirinya, dan barangsiapa yang kufur, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah." (Surah an-Naml, ayat 40)

Ingatlah apa yang berlaku dalam sejarah awal Islam padazaman silam, ketika Allah menguji para sahabat dengan kesusahan dan bala bencana, termasuk kezaliman musuh ke atas mereka sehingga ada yang korban syahid, mereka tahan diuji.

Apabila Allah menguji mereka dengan kemenangan, maka ada yang kecundang, khususnya dalam Perang Uhud, apabila harta rampasan perang bersepah di hadapan mata, tentera Islam yang diperintah mempertahankan Bukit Rumaah di Uhud, tidak sabar berhadapan dengan kilauan kemenangan sehingga sanggup melanggar perintah Rasulullah s.a.w.

Hasil daripada kesilapan itu, akhirnya mereka kecundang. Allah menceritakan perihal ini dalam firman-Nya (mafhum): "Dan sesungguhnya Allah telah menunaikan janji-Nya kepada kamu, ketika kamu mengalahkan musuh kamu dengan izin-Nya (di awal Perang Uhud), sampai kepada saat kamu lemah dan berselisih faham, sama ada hendak terus mematuhi perintah Rasulullah, ataupun melanggarinya, setelah Allah menguji kamu dengan memperlihatkan kemenangan yang sementara.

Antara kamu yang mengkehendaki kesenangan dunia, ada yang mengkehendaki akhirat, (oleh kerana ada yang mengkehendaki kesenangan dunia) kemudian Allah menewaskan kamu untuk menguji kamu. dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu dan Allah memberi limpah kurnia yang banyak untuk orang-orang yang beriman). (Surah ali'Imran, ayat 152)

Ambillah iktibar tersebut, sentiasa beringat dengan nikmat tersebut dan hargai anugerah-Nya, jangan lupa diri dan berlaku adil dalam semua urusan kerana sifat adil itu mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Bekerja keraslah untuk menjaga kemenangan kerana kemenangan itu sifatnya sementara, melainkan dengan pertolongan Allah jua ia akan kekal. Waalhua'lam. - lanh