Apa saya membaca artikel ini, saya amat bersetuju dengan penulis. Susah kita nak melihat amalan iktikaf seperti yang dinyatakan oleh penulis ditanahair tetpai keaddan tersebut dapat dilihat di Scotland. Masjid-masjid yang rata-ratanya diuruskan oleh masyarakat Islam yang merantau ke Scotland. Mereka akan membuat kawasan khas dimana para peserta iktikaf akan tinggal dan meletakkan barangan mereka. Kedaan sepeerti ini menjadi sukar apabila pemerintah sendiri kurang menggalakan usaha kearaah tersebut, apabila hampi 10 hari terakhir puasa, stesyen TV milik kerajaan dan swasta akan memutarkan lagu-lagu raya dan juga mengiklankan program-program yang bakal ditayangkan sempena hari lebaran. Perkara seperti ini hanya akan berubah jika orang yang memegang tampok pemerintahan adalah orang yang benar-benar beriman dengan Allah SWT.
Semarakkan amalan iktikaf Oleh: MOHD. SHAUKI ABD. MAJID
Sedar atau tidak dalam konteks komuniti Islam di Malaysia sejak awal, ibadah penting yang satu ini iaitu iktikaf di masjid pada bulan Ramadan tidak begitu popular. Padahal al-Quran menyebutnya beberapa kali, walaupun tidak dalam bentuk kutiba (diwajibkan seperti dalam perintah puasa, qishash dan wasiat) atau fi'il amr (kata kerja perintah seperti solat, haji, berperang, dan sebagainya). Dalam kitab-kitab hadis juga banyak membicarakan satu bab khusus tentang iktikaf ini. Wahbah az-Zuhaili, guru besar fikih Universiti Damsyik merumuskan bahawa yang menjadi tujuan iktikaf itu adalah membersihkan hati dengan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. serta menghentikan aktiviti keduniaan pada waktu-waktu tertentu semata-mata untuk beribadah kepada-Nya. Oleh kerana itu, dianjurkan iktikaf dilakukan dalam keadaan berpuasa, bagi mendekatkan lagi diri kepada Allah. Ketika Nabi Ibrahim berjaya menunaikan beberapa perintah Tuhan, termasuk di antaranya membangun Baitullah - (Kaabah) bersama anaknya Ismail - Tuhan lalu memerintahkan kepada keduanya agar tetap menyucikan rumah Allah tersebut bagi melaksanakan tiga kegiatan ibadah. Dan (ingatlah) ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam (tempat berdiri) Ibrahim sebagai tempat solat. Dan kami telah membuat janji dengan Ibrahim dan Ismail agar menyucikan rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang iktikaf, yang rukuk, dan yang sujud. (al-Baqarah [2]: 125). *Fungsi Ayat ini jelas menyebut bahawa salah satu fungsi tempat ibadah ialah iktikaf. Tapi kini di manakah fungsi itu? Hampir kita tidak menemuinya lagi. Bahkan ada sebahagian pengurus masjid melarang orang untuk iktikaf. Iktikaf mereka bolehkan tetapi dalam pengertiannya yang sangat sempit, iaitu sekadar berdiam sejenak. Padahal Nabi jelas mencontohkan iktikaf selama sepuluh hari terakhir di bulan Ramadan. Surah al-Baqarah yang menerangkan secara terperinci pelaksanaan puasa berserta hal-hal yang berkait dengannya juga jelas bersambung dengan masalah iktikaf ini. Perhatikanlah ayat berikut ini: Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri kamu. Mereka adalah pakaian bagi kamu dan kamu (juga) pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan diri, kerana itu Dia menerima taubat dan memaafkan kamu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang Allah telah tetapkan bagi kamu; makan minumlah hingga terang bagi kamu (perbezaan antara) benang putih dan benang hitam, di waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam. Tetapi janganlah kamu mencampuri mereka (isteri kamu) sementara kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah larangan Alah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikanlah Allah menerangkan ayat-ayatnya kepada manusia, mudah-mudahan mereka bertaqwa. (al-Baqarah ayat 187). Membicarakan persoalan ini banyak hadis Nabi dapat kita temui dalam kitab Bukhari-Muslim yang diriwayatkan dari Ibnu Umar, Anas, dan Aisyah seperti berikut ini: Bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. melakukan iktikaf di sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sejak tiba di Madinah sampai beliau wafat. (H.R. Bukhari-Muslim). Riwayat lain menyebutkan: Sesungguhnya Nabi s.a.w. melakukan iktikaf di sepuluh hari kedua dari bulan Ramadan dan sepuluh hari terakhir bulan tersebut. Beliau terus melakukan amalan ini sampai akhir hayatnya. Kemudian amalan tersebut dilanjutkan oleh isteri-isterinya. (Kalau hadis ini benar, bererti ada dua kemungkinan waktu iktikaf Nabi. Pertama, beliau beriktikaf selama 20 hari terakhir dari bulan Ramadan. Kedua, Nabi kadang-kadang melakukannya pada 10 hari kedua dan kadang-kadang 10 hari terakhir.) Nabi menganjurkan sambil mengamalkan iktikaf di masjid dalam rangka perenungan dan penyucian jiwa. Masjid adalah tempat suci. Segala aktiviti kebajikan bermula di masjid. Di masjid pula seseorang diharapkan merenung tentang diri dan masyarakatnya, serta dapat menghindar dari hiruk-pikuk yang menyesakkan jiwa dan fikiran bagi memperoleh tambahan pengetahuan dan pengkayaan iman. Itu sebabnya ketika melaksanakan iktikaf, dianjurkan untuk memperbanyak doa dan bacaan al-Quran, atau bacaan-bacaan lain yang dapat memperkaya iman dan takwa. Memang iktikaf boleh dilakukan di mana saja. (Sebelum diangkat jadi rasul, Nabi Muhammad melakukannya di Gua Hira). Tetapi berdasarkan sunah yang ditunjukkan Nabi sepanjang hidupnya di Madinah, beliau terus melakukannya di masjid. Penekanan masjid sebagai tempat iktikaf menjadi sangat penting mengingatkan tempat tinggal Nabi sesungguhnya bersambung dengan masjid. Ertinya, seandainya masjid tidak begitu penting dalam hal tempat, maka Nabi boleh saja memperbanyak (melakukan dengan tekun) ibadah di masjid tapi kemudian istirahat dan tidur di rumahnya. Tapi nyatanya Nabi tidak melakukan itu. Itu tanda bahawa masjid adalah satu-satunya tempat yang boleh digunakan untuk iktikaf. Tentu saja selama masjid tersebut memiliki kemudahan yang memungkinkan orang untuk tinggal beberapa hari di sana; misalnya tandas, bilik mandi, bilik persalinan menukar pakaian dan sebagainya. Ingatlah iktikaf bukannya wahana untuk berdiskusi, apa lagi untuk berbual kosong. Juga bukan tempat istirahat atau tidur. Tidur dilakukan untuk sekadar menjaga keadaan tubuh agar tetap sihat. Iktikaf adalah wahana untuk bersungguh-sungguh dalam mengintrospeksi diri atau berfastaniqul khairat (berlumba-lumba) dalam memperbanyak ibadah. Pernahkah kita terfikir mengambil cuti bekerja untuk beriktikaf? Pertanyaan ini sangat ganjil. Tetapi ganjil bukan bererti salah. Banyak perkara yang selalunya dianggap ganjil tetapi kini diterima sebagai suatu kebenaran. Sebelum ini kita hanya mengambil cuti berehat ketika untuk bersama keluarga. Demikian juga ketika untuk balik kampung menjelang hari raya. Itu sama sekali tidak salah. Apa yang penting semua itu boleh memberi kebahagiaan diri dan keluarga. Tetapi kalau difikir-fikir secara mendalam apakah semua ini tidak boleh dilakukan sebelum hari raya sehingga harus mengorbankan momentum ibadah yang sangat penting dan hanya datang sekali dalam setahun itu? Mengunjungi orang tua dan sanak saudara boleh dilakukan pada bila-bila masa. Tetapi iktikaf 10 hari terakhir Ramadan tidak dapat dipindah pada waktu yang lain. Dalam hal ibadah ini kita harus mencontohi Nabi. Pernahkah kita mendengar Nabi dan sahabat-sahabatnya membuat persiapan untuk pulang ke kampungnya di Mekah menjelang Aidilfitri? Nabi juga manusia biasa, pasti ada kerinduan kepada kampung halaman dalam dirinya. Tetapi kenapa beliau memilih untuk tinggal di masjid? Ini adalah kerana alasan spirituil dan iktikaf adalah sebahagian dari syariat. Seandainya kita dan keluarga pernah merasakan betapa indah ibadah ini (iktikaf) nescaya kita akan berlumba-lumba memohon cuti untuk melaksanakan ibadah iktikaf itu. Malam Qadar yang ditemui atau yang menemui Nabi pertama kali beliau menyendiri di Gua Hira, merenung tentang diri beliau dan masyarakat, saat jiwa beliau mencapai kesucian, turunlah Ar-Ruh (Jibril) membawa ajaran dan membimbing beliau sehingga terjadilah perubahan keseluruhan dalam perjalanan hidup beliau bahkan perjalanan hidup umat manusia. Kerana itu pula beliau mengajarkan kepada umatnya, dalam rangka menyambut kehadiran lailatulqadar itu, antara lain adalah melakukan iktikaf. Mengapa nabi memilih iktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan, bukan pada 10 hari terawal? Alasannya mungkin berkaitan dengan kedudukan puasa nabi yang kian hari kian meningkat dan alasan kedua kerana ia berkaitan dengan lailatulqadar. Sebenarnya untuk mendapatkan lailatulqadar tidak cukup dengan kesungguhan beribadah pada malam itu saja. Ibadah harus dirintis dari awal sehingga kita bersedia dari segi persiapan rohani untuk menerima kedatanganya. *Pandangan Walaupun iktikaf dapat dilakukan bila-bila masa dan dalam waktu beberapa lama saja bahkan dalam pandangan Imam Syafii, walau sesaat selama disertai oleh niat yang suci-namun Nabi selalu melakukannya pada pada 10 hari dan malam terakhir bulan Ramadan. Di sinilah beliau bertadarus dan merenung sambil berdoa. Salah satu doa yang paling sering beliau baca dan hayati maknanya adalah: Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa neraka. (al-Baqarah [2]: 201). Doa ini bukan sekadar bererti permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan kebajikan akhirat, tetapi ia lebih-lebih lagi bertujuan memantapkan langkah dalam usaha meraih kebajikan, kerana doa mengandungi erti permohonan yang disertai usaha. Permohonan itu juga bererti usaha untuk menjadikan kebajikan dan kebahagiaan yang diperoleh dalam kehidupan dunia ini, tidak hanya terbatas di dunia, tetapi terlanjur hingga hari kemudian kelak. Ibadah yang harus diberi tumpuan semasa iktikaf a. solat-solat sunat b. Membaca al-Quran c. Zikir d. Doa Amalan tambahan yang dapat menyempurnakan iktikaf sesuai dengan falsafahnya. Kita sebut ini sebagai amalan sokongan. Ada tujuh hal yang penting di sini iaitu: Mengurangi lima perkara: a. kurangkan makan minum b. Kurangkan tidur istirahat c. Kurangkan keluar masjid d. Kurangkan bicara e. Kurangkan berkeliaran Menghindari lima perkara: a. Hindari meninggalkan iktikaf b. Hindari berhubungan dengan pihak luar c. Hindari batal wuduk d. Hindari melihat lawan jenis (bukan muhrim) e. Hindari bicara sia-sia Mematuhi lima perkara: a. Tidur/istirahat tepat waktu b. Tidur memakai alas c. Sahur tepat waktu d. Patuhi peraturan masjid e. Patuhi tata tertib Ada tujuh perkara yang dilarang: a. Dilarang mengganggu peserta lain b. Dilarang membangunkan tanpa diminta c. Dilarang menggunakan tempat yang terlarang d. Dilarang memakai barang orang lain (termasuk alas kaki) tanpa izin e. Dilarang menempatkan barang di sebarang tempat f. Dilarang menbazir atau boros ( makan-minum, dan sebagainya) g. Dilarang membuang sampah sebarangan Ada lapan perkara yang tidak boleh ada di hati: a. Amarah b. Bakhil c. Rakus d. Senang dilayani e. Iri hati f. Dendam g. Buruk sangka h. Sentiasa diawasi Ada lapan perkara yang harus ada di hati: a. Sakinah (sikap tenang) b. Senang memberi c. Senang berkhidmat d. Sederhana e. Simpati f. Pemaaf g. Baik sangka h. Memahami
- PENULIS ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
Sunday, October 08, 2006
Subscribe to:
Posts (Atom)