Tuesday, May 02, 2006

Kembangkan kaedah hafaz al-Quran Nuramirah

Seronok membaca artikel ini, terus aku masukkan dlm blog aku ini, supaya artikel dpt dirujuk kemudian hari.


Kembangkan kaedah hafaz al-Quran Nuramirah

Oleh ZUARIDA MOHYIN

Pencipta kaedah menghafaz al-Quran yang diberi nama Al-Huffaz, Dr. Mohd. Shafie Md. Amin bersyukur dan berkongsi kegembiraan dengan kemampuan Nuramirah Azhari, 10, menghafaz 30 juzuk al-Quran pada usia tujuh tahun.

“Hakikatnya, dari segi keupayaan menguasai al-Quran, ia tidak bergantung kepada faktor usia semata-mata. Kalau kes seperti di atas berlaku, alhamdulillah... namun ia tidak bermaksud anak yang sudah dewasa tidak berpeluang bergelar hafiz atau hafizah. Ini satu tanggapan yang kurang tepat.

“Apa yang kita perlu ingat, setiap kelebihan yang diperoleh itu adalah pemberian Allah s.w.t. dan bagaimana kita berhadapan dengan situasi sedemikian, itulah yang lebih penting. Adakah kejayaan itu menjadikan kita bangga diri atau sebaliknya?

“Saya lebih suka sekiranya dilakukan satu kajian bagaimana kanak-kanak ini mampu menguasai al-Quran kerana berkemungkinan kaedah yang digunakan itu boleh dikongsikan dan manfaatnya adalah lebih meluas,” katanya yang turut mempunyai dua pasang anak yang menghafaz al-Quran semasa di peringkat sekolah rendah lagi.

Sementara itu Imam Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, Ustaz Hassan Al-Fadhli Abdul Rahman, 38, pula berkata, untuk melahirkan seorang hafiz atau hafizah aspek seperti pemakanan, persekitaran dan asuhan adalah amat penting dijaga. Ini kerana banyak kisah yang membuktikan bahawa ia mempengaruhi kemahiran menghafaz seseorang itu.

Katanya lagi, kanak-kanak yang mempunyai al-Quran di dada hakikatnya lebih mudah untuk menimba ilmu-ilmu akademik.

“Ini kerana ia pernah berlaku dalam keluarga saya sendiri serta seorang teman baiknya. Saya dapati lebih sepuluh orang bergelar hafiz dalam keluarga saya mampu menguasai bidang lain biarpun pada usia yang dikira lewat,” katanya. Beliau menasihati sebaik-baiknya seorang itu bukan sahaja bergelar hafiz tetapi turut buktikan kejayaan dalam bidang kerjaya.

Bagi Penyelia Unit Pembangunan Insan di Sekolah Integrasi As-Syakirin, Shah Alam, Arifin Aziz, terdapat beberapa latar belakang seseorang itu berjaya menghafaz al-Quran. Pertama, ibu bapa, pendidikan dan persekitaran.

“Imam Syafie bergelar hafiz sewaktu berusia tujuh tahun kerana keprihatinan ibu bapa beliau tentang agama. Ibunya pula sepanjang mengandung berkali-kali khatam dan sentiasa berdoa agar anaknya menjadi hafiz. Malah para saintis turut mengakui bahawa bayi di dalam kandungan boleh mendengar.

“Dalam kes Syeikh Abdul Kadir Jailani iaitu seorang wali Allah, beliau amat menjaga soal pemakanan. Kisah Nuramirah yang berjaya menghafaz al-Quran pada usia tujuh tahun adalah sesuatu yang tidak mustahil kerana telah dibuktikan oleh ulama sebelum ini.

“Sungguhpun ada yang mengatakan kebolehan ini adalah satu bakat semula jadi tetapi kalau ia tidak diasah dan dididik, hasilnya juga tidak menjadi,” katanya yang turut berkeinginan melihat anak-anaknya bergelar hafiz dan hafizah.

Tambah Arifin, Allah s.w.t. mengurniakan banyak kelebihan dan keistimewaan kepada golongan penghafaz al-Quran antaranya diberi syafaat memilih 10 orang untuk dibawa masuk ke syurga dan mereka adalah orang kedua selepas Baginda Rasulullah s.a.w. yang akan masuk ke syurga Allah.

Motivasi

Penyelia Diniyah dan Hafazan di sekolah yang sama, Basir Mohd. Piah pula berpendapat, kebolehan menghafaz al-Quran pada usia tujuh tahun di Malaysia adalah sesuatu yang luar biasa tetapi jika dilihat di negara-negara Arab, kebolehan menghafaz adalah jauh lebih awal iaitu pada usia lima tahun.

“Peranan ibu bapa amat penting dalam melahirkan hafiz dan hafizah di kalangan masyarakat Islam kita. Mereka bukan sahaja berperanan menyediakan pengajar tetapi pada masa yang sama perlu sentiasa memberi galakan atau motivasi dan memberi insentif di atas segala perkembangan dan pencapaian positif mereka.

“Selain itu aspek kehalalan makanan, sumber rezeki yang diberkati dan niat suci guru yang mengajar juga diambil kira,” katanya.

Ibu beranak tiga, Azlida Nik Noor, 42, berkata, meskipun didikan agama serta penguasaan al-Quran wajib diterapkan ke atas anak-anak namun pendidikan formal juga tidak boleh diketepikan.

“Berkemungkinan pada usia peringkat sekolah rendah mereka tidak menimbulkan masalah. Walau bagaimanapun, cabaran alam remaja adalah satu bentuk cabaran yang terpaksa dilalui oleh setiap yang bergelar ibu bapa,” katanya yang mengakui seronok apabila terbaca kisah Nuramirah.

Pendidik Nor Shafiza Sabudin, 31, pula menyifatkan ibu bapa Nuramirah beruntung kerana memiliki anak-anak yang cemerlang dalam bacaan al-Quran apatah lagi kejayaan tersebut adalah hasil titik peluk mereka sendiri.

“Anak-anak yang ada al-Quran di dadanya sudah pasti ruh al-Quran itu sudah terserap dalam jiwanya. Malah mereka ini juga boleh berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi. Insya-Allah,” kata ibu beranak dua ini.

Pun begitu, beliau ingin berkongsi kisah seorang teman yang hanya menerima pendidikan tahfiz al-Quran sepanjang hidupnya tetapi dalam realiti kehidupannya sekarang menghadapi sedikit kesukaran.

Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

No comments: