Tuesday, July 05, 2005

Keadilan kesal perlantikan Dr. Nordin Kardi

Saya sokong sepenuhnya kenyataan Dr Syed Husin, sebaga bekas gradan UUM saya merasa bangga dengan UUM tetapi apabila melihat kepada trend perlantikan VC UUM sejak daripada perlantikan Fawzi Basri yang memang penyokong UMNO sehingga kepada Nordin Kardi yang juga penyokong UMNO saya meragui keikhlasan kerajaan untuk memartabat pendidikan tinggi negara. Hasrat tersebt hanya gimik politik sahaja, saya merasakan bahawa perlantikkan NordinKardi adalah bertujuan bagi memastikan agenda mengUMNOkan UUM terutama pelajar supaya terus menyokong kerajaan pimpinan UMNO dan melahirkan mahasiswa yang jumud dan menyokong membabi buta tanpa rasional. Saya merasakan ramai lagi Professor yang berkaliber yang boleh diamanahkan untuk memimpin UUM, tapi apa boleh buat pemimpin Melayu yang ada hanya memikirkan survival politik sempit mereka darpada kepentingan agama, bangsa dan negara.


Keadilan kesal perlantikan Dr. Nordin Kardi

Wednesday, July 06 @ 12:18:57 MYT
Sumber:http://www.harakahdaily.net/article.php?sid=14547

Oleh Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Parti Keadilan Rakyat merasa kecewa atas perlantikan Naib Canselor baru Universiti Utara Malaysia (UUM). Kami menghormati Dr Nordin Kardi secara peribadi, akan tetapi meragui perlantikan beliau merupakan satu perlantikan yang bijak.

Adalah lebih baik jikalau seseorang Naib Canselor yang baru dilantik faham akan peranan universiti yang sebenar ataupun mempunyai latar belakang akademik, dari segi pengajaran, penyelidikan dan penerbitan.

Syarat ini perlu ditambah pula dengan kebolehan mentadbir, pandangan terbuka dan kebebasan pendirian, terutama sekali dari pengaruh politik pemerintah.

Propagandis Umno?

Dr Nordin ialah bekas Pengarah Biro Tata Negara (BTN), yang dikenali sebagai sebuah badan propaganda dan indoktrinasi parti pemerintah. Kami harap latar belakang ini akan menjadi halangan kepada beliau untuk memimpin UUM menjadi sebuah universiti cemerlang dan dihormati dunia akademik.

Kami juga berharap sebagai seorang Naib Canselor segala tindak-tanduk pentadbiran dan urusan akademik beliau akan menjurus kepada mengutamakan cita-cita untuk mendirikan sebuah universiti yang “autonomous” dan cemerlang.

Sekarang ini terlalu banyak Naib Canselor yang diangkat atas pertimbangan politik parti. Akhirnya, mereka lebih banyak memikirkan cara untuk menyedapkan hati pihak pimpinan yang mereka anggap sebagai tuan mereka, daripada berusaha mencapai mutu yang tinggi di kalangan pensyararah dan pelajar.

Taraf dunia

Menteri Pendidikan Tinggi sibuk hendak menaikkan mutu Universiti tempatan ke taraf dunia. Beliau telah melantik sebuah jawatankuasa (yang malangnya dipenuhi oleh bekas pentadbir) untuk mengkaji dan memperakukan cara-cara untuk menaikkan taraf universiti awam tempatan.

Kami berpendapat pimpinan universiti yang baik bergantung kepada Naib Canselor yang berwibawa dan boleh memberikan inspirasi, pengiktirafan serta ruang kepada para pensyarah untuk mengajar dengan penuh dedikasi dan menjalankan penyelidikan serta mengeluarkan penerbitan bermutu tinggi secara berterusan.

Galakan harus juga diberi kepada para pelajar untuk menimba segala macam ilmu dan berfikiran kritikal, tanpa kongkongan politik sempit atau undang-undang serta peraturan yang mencekik.

Malangnya, kami melihat perlantikan Naib Canselor di kebanyakan universiti dalam negara sejak akhir-akhir ini tidak membantu kepada mencapai matlamat tersebut.

Tidak hairanlah taraf serta mutu universiti sekarang semakin merosot. Kemerosotan ini hendaklah jangan dibenarkan berterusan. Perlantikan Naib Canselor harus bijak. - um

No comments: