Friday, September 16, 2005

UMNO Zalimi Bangsa Sendiri

Zaman pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun sudah berlalu, tetapi kesan daripada sikap angkuh dan sombong serta sifat kuku besi beliau kini dapat dilihat. Semasa pemerintahan beliau apa sahaja kehendaknya akan dituruti oleh kepimpinan UMNO dan kerajaan tanpa membantah, ibarat kata pemimpin UMNO yang lain hanya jadi pak turut walaupun dalam perkara yang akan dilaksanakan tersebut akan merugikan bangsa Melayu(Mahathir sediri tak mengaku Melayu). Dimesyuarat MT atau sidang Parlimen para pemimpin UMNO hanya me nyokong membabi buta, walaupun sokongan tersebut membawa rebah bangsa sendiri tetapi asalkan Mahathir suka mereka akan turut sahaja. Mungkin Ibrahim Ali boleh mengesahkan hal ini dan Tuan Haji Mohd Sabu tahu sikap MP-MP UMNO semasa zaman Mahathir. Dalam isu pendidikan, pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (BI) merupakan satu isu yang sangat penting yang akan menentukan masa depan anak bangsa. Dengan mengepikan segala pandangan para pakar dalam bidang pendidikan yang ikhlas dengan ilmu mereka serta berbekalkan keangkuhan dan sokongan beberapa kerat pakar yang mencari habuan Dr Mahathir mengarahkan perlaksanaa pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dengan tergesa-gesa tanpa melakukan kajian mendalam. Kunonnya mereka anggap perkara tersebut akan meningkat penguasaan BI para pelajar terutamnya pelajar Melayu tetapi kini masalah lain pula yang timbul. Sewajarnya pihak kerajaan melalui tenaga pakar dalam bidang pendidikan di institusipengajian tinggi membuat kajian mendalam bagi mencari masalah sebenar mengapa kaedah atau methodologi pengajaran BI yang digunapakai pada masa ini tidak mampu melahirkan para pelajar yang menguasai BI dengan baik. Bagi sayajika belajar BI daripada Darjah 1-6 dan Tingkatan 1-5/6 selepas itu di universiti belajar lagi BI daripada tahun 1-3/4 tetapi pelajar masih belum mampu kuasai BI juga, maka sudah tentu ada yang tidak kena dengan kaedah pengajaran serta polisi kerajaan. Berdasarkan pengalaman saya bersekolah di sekolah luar bandar, biasanya guru yang mengajar BI bukan daripada kalangan guru yang kelayakannya adalah mengajar BI tetapi kadang-kadang seorang ustaz dipaksa mengajar BI, ini merugikan pelajar dan membebankan guru. Satu perkara lagi sistem di Malaysia yang sangat berorietatsikan peperiksaan menyebabkan pelajar diajar menghafal semata-mata tanpa mengambilkira kemampuan mereka menguasai kemahiran berkomunikasi dengan baik dalam BI, ini adalah kerana penekanan awal pembelajaran BI sudah diberi kepada grammar. saya tidak mahu mengulas panjang hal ini, tetapi saya pernah bertanya kepada seorang bekas guru BI yang dilatih di England dan kini sudah bersara, beliau menyatakan bahawa "tindakan kerajaan melaksankan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bagi meningkatkan pengusaan BI adalah satu kesilapan besar". Sekolah-sekolah cina tetap dengan pendirian mereka iaitu mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Cina. Sewajarnya Malaysia menghantar pakar mengkaji bagaimana pengajaran BI dilaksanakan terutama peringkat rendah dan menengah di UK terutama England dan Scotland. Saya amat bersetuju dengan saranan supaya inteletual Melayu membangun menegakkan yang hak serta kepada para pemimpin UMNO janganlah kamu angkuh serta mementingkan perut dan dibawah perut kamu sahaja sehingga sanggup mengkhianati bangsa sendiri. Sekolah agama sudah dikhianati atas alasan yang senada dengan alasan musuh Islam iaitu sarang pengganas tetapi apabila ada pihak yang ingin meniru sekolah ala komunis kamu diam membisu dan menyatakan bahawa Malaysia negara terbuka, silakan. Malang sungguh bangsa Melayu mempunyai pemimpin sebegini, Y a Allah selamatkan Islam dan bangsa Melayu di Bumi Malaysia tercinta.

Gagal Sains Matematik: Intelektual Melayu diseru bangkit

Friday, September 16 @ 16:13:14 MYT


Oleh SAIDATUL AMANI
KUALA LUMPUR, 16 Sept (Hrkh) - Intelektual Melayu perlu bangkit memperjuangkan nasib pelajar Melayu daripada terus tercicir khususnya dalam bidang pendidikan termasuk mengembalikan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

Kebangkitan ini perlu disegerakan berikutan keputusan percubaan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), didapati ramai pelajar Melayu yang mendapat F dalam mata pelajaran Sains dan Matematik sehingga membimbangkan para pendidik Melayu.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata sudah tiba masanya golongan pendidik Melayu berani ke hadapan menyuarakan kepincangan yang berlaku dalam sistem pendidikan sekiranya pengajaran Matematik dan Sains terus diajar dalam bahasa Inggeris.

Ini kerana katanya, dalam isu menentang pembelajaran bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik hanya segelintir bangsa Melayu sahaja yang mendesak kerajaan supaya mata pelajaran itu terus diajar dalam bahasa Melayu.

Tambah beliau, jika golongan intelektual Melayu tidak berjuang untuk membela anak bangsa akhirnya generasi akan datang rosak dan tertinggal dalam pendidikan ekoran kealpaan serta sikap `akur' mereka terhadap pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ustaz Idris mewakili Dewan Pemuda PAS bersama Kelab Penyokong PAS Cina telah mengadakan perbincangan dengan Dong Zong Jiao Zong yang membantah pengajaran serta peperiksaan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Menurut beliau, hasil perbincangan itu Dewan Pemuda dan Dong Zong Jiao Zong sepakat mendesak kerajaan supaya mengembalikan pelajaran Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Melayu.

Sehubungan itu Dewan Pemuda PAS menyeru pejuang pendidikan daripada pelbagai parti di negara ini bangkit menentang penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran Matematik dan Sains.

Beliau berkata, PAS tidak pernah membantah penggunaan bahasa Inggeris di sekolah sebaliknya berpendapat pengajaran itu mesti ditingkatkan contohnya daripada lima jam menjadi tujuh jam tetapi tidak pula menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik.

Mengulas keputusan percubaan PMR, katanya, tidak mustahil Kementerian Pelajaran akan menurunkan graf kelulusan bagi pelajar yang menduduki peperiksaan itu memandangkan ujian percubaan itu mengikut standard yang betul.

"Jika perkara itu berlaku ia membuktikan bahawa kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran mahu menutup segala kelemahan yang pihak mereka sendiri lakukan," katanya kepada Harakahdaily.

Sistem pengajaran dan pembelajaran tidak mantap

Seorang pendidik, Azrin Abdul Majid berkata, kegagalan keputusan percubaan PMR itu membuktikan bahawa sistem pengajaran dan pembelajaran hari ini tidak mantap sehingga memberi kesan negatif kepada pelajar dan guru.

Ini kerana katanya, pelajar Melayu mendapat pendidikan asas selama enam tahun dalam bahasa Melayu dan terpaksa menghadapi perubahan sistem pendidikan Sains dan Matematik ketika mereka berada dalam tingkatan satu.

Tambah beliau, begitu juga dengan guru yang mengajar Matematik dan Sains yang mendapat pendidikan asas dalam bahasa Melayu hingga ke institusi pengajian tinggi dan hanya mengikuti kursus bahasa Inggeris dalam tempoh yang singkat.

"Ini bermakna murid yang mengikuti pelajaran serta guru yang mengajar tidak mampu untuk mengikuti proses pembelajaran bahasa Inggeris," katanya ketika ditanya tentang kegagalan pelajar Melayu dalam percubaan PMR.

Katanya, ini membuktikan bahawa satu kelemahan dasar pendidikan yang ketara dan pemimpin kerajaan perlu bertanggungjawab atas kegagalan pelajar yang baru sahaja mendapat keputusan percubaan PMR.

Mengulas kegagalan tersebut beliau berkata, sebenarnya keputusan percubaan merupakan gambaran sebenar peperiksaan kerana standard peperiksaan sama hanya kualiti soalan sahaja digubal oleh pihak jabatan pendidikan.

Persoalannya sekarang katanya, bagaimana pelajar itu mahu dipilih untuk masuk ke asrama penuh seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) jika pencapaian peperiksaannya terlalu rendah.

"Kita bimbang akan datang lahir generasi yang tidak berkualiti ekoran tindakan pihak kerajaan yang membenarkan graf kelulusan peperiksaan diturunkan mengikut tahap pencapaian pelajar," katanya.

Azrin mempersoalkan apakah pihak kementerian sanggup menerima dan menghadapi hakikat keputusan PMR dan SPM yang teruk dalam peperiksaan sebenar nanti.

Beliau berkata, jika sekolah di bandar sudah menunjukkan kelemahan bagaimana pula dengan pencapaian sekolah di pedalaman seperti di Ulu Tembeling, Ulu Perak serta di Sabah dan Sarawak. – lanh


Sumber:http://www.harakahdaily.net/article.php?sid=15902

No comments: